Tuesday, April 27, 2010

Zaid rekod kelebihan undi 6 ganda di DUN KKB



Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 27 April — Pakatan Rakyat, yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor kelmarin, telah mencatatkan peningkatan kelebihan undi membabitkan kawasan Dewan Undangan (DUN) Kuala Kubu Baru, yang majoriti pengundi merupakan masyarakat Cina.

Peningkatan ketara undi itu dikatakan telah menghalang Barisan Nasional (BN) daripada memperoleh majoriti lebih besar.

BN mengharapkan majoriti lebih 6,000 undi.

Calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim memperoleh lebih 2,030 undi berbanding calon BN P. Kamalanathan.

Zaid dan Kamalanathan masing-masing menerima 7,194 dan 5,164 undi daripada pengundi bahagian DUN Kuala Kubu Baru.

Dua tahun lalu calon Pakatan Rakyat, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad hanya mencatatkan lebih 344 undi dari bahagian itu.

Pada 8 Mac 2008 Allahyarham Zainal memperoleh 6,146 undi untuk menewaskan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang menerima 5,802 undi.

Kuala Kubu Baru merupakan salah satu daripada tiga kerusi DUN yang terdapat dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor yang menyaksikan pilihan raya kecil ekoran kematian Zainal bulan lalu.

Di DUN Kuala Kubu Baru, 45.1 peratus daripada 18,040 pengundi adalah kaum Cina dan diikuti oleh Melayu 30 peratus, India (22 peratus) dan Orang Asli pula 1.7 peratus.

Antara daerah mengundi yang memihak kepada Pakatan Rakyat ialah Kampung Baru Cina, bandar Kuala Kubu Baru sendiri, Kampung Baru Rasa, pekan Rasa, Kampung Baru Batang Kali, Ladang Kerling dan Hulu Yam Lama.

Analisis awal menunjukkan Pakatan Rakyat menerima peningkatan undi daripada masyarakat Cina sehingga menimbulkan persoalan mengapa pengundi kaum ini tidak memberi sokongan kuat kepada BN.

Ekoran situasi itu Perkasa meminta kerajaan pusat BN menangguhkan bantuan dan peruntukan kepada masyarakat Cina.

Peratusan undi kaum Cina di Hulu Selangor kepada BN dikatakan kurang daripada 30 peratus, lebih kecil berbanding prestasi tahun 2008.

Bagaimanapun BN memenangi bahagian Batang Kali, yang menawarkan 29,026 pengundi, daripada “penguasaan” Pakatan Rakyat dua tahun lalu.

Kali ini calon BN menerima 11,820 undi berbanding Zaid 10,519 yang bersamaan dengan perbezaan 1,301 undi di Batang Kali.

Dua tahun lalu Zainal menguasai undi kawasan DUN Batang Kali dengan menerima 11,407 berbanding Palanivel 9,618 undi. Kelebihan undi Zainal dari kawasan itu ketika itu ialah 1,789 undi.

Seramai 59 peratus pengundi di Batang Kali merupakan orang Melayu, India pula 20 peratus, Cina (19.7 peratus) dan Orang Asli 1.1 peratus).

Bahagian DUN Hulu Bernam yang lazimnya dianggap sebagai kubu sokongan bagi Umno terus memperlihatkan arah aliran undi kepada calon BN.

Hulu Bernam menyumbangkan undi dari kawasan Felda, antaranya membabitkan daerah mengundi Kampung Sungai Dusun dan Kampung Sungai Tengi Selatan.

Zaid pula memperoleh sokongan daripada pengundi di daerah mengundi Kampung Baharu Kalumpang dan Kampung Hulu Bernam.

Dalam pilihan raya kecil kelmarin, calon BN menerima 7,246 undi di Hulu Bernam berbanding 6,855 undi diterima Palanivel dua tahun lalu, meningkat 391 undi.

Bagaimanapun undi diterima calon Pakatan Rakyat kali menurun 31 undi berbanding 5,470 pada Mac 2008.

Hulu Bernama terdiri daripada 17,434 pengundi dengan 66.4 peratus merupakan pengundi Melayu, Cina (17 peratus), India (15 peratus) dan Orang Asli pula 0.5 peratus).


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails