Wednesday, April 7, 2010

YBK: K'jaan S'gor keluar kertas putih

Semoga dengan pendedahan lengkap fakta-fakta mengenai YBK ini akan menghentikan fitnah fitnah dari blog-blog pro UMNO hendaknya..



Kerajaan Selangor akan mengedarkan kertas putih mengenai Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kepada umum pada 12 April ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kertas putih yang disediakan berdasarkan maklumat hasil laporan bahagian audit dalaman kerajaan negeri.

Menurutnya, kertas putih yang mengandungi maklumat lengkap mengenai YBK termasuk tanah dan aset yang dimilikinya, akan diedarkan sewaktu sidang Dewan Negeri Selangor yang akan bersidang Isnin depan.

“Bahagian audit dalaman sudah menyiapkan laporan mengenai YBK dan kita akan edarkan kepada umum sempena sidang Dewan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Pejabat Daerah Hulu Selangor, hari ini.

Difahamkan, isu YBK akan dibangkitkan oleh BN dalam kempen pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor hubung bulan ini.

YBK menjadi perhatian apabila kerajaan negeri Selangor yang mahukan Khalid selaku menteri besar memegang jawatan pengerusi yayasan tersebut.

Selain itu, dilaporkan, kerajaan negeri juga mahu tiga orang lantikan mereka memegang jawatan ahli pemegang amanah YBK.

Bagaimanapun,YBK menolaknya kerana bermakna kerajaan Selangor mahukan jawatan empat daripada enam ahli pemegang amanah yayasan tersebut.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom dilaporkan berkata, YBK tidak akan tunduk kepada ugutan kerajaan negeri itu yang ingin menyekat segala kegiatannya jika tidak mematuhi syarat tersebut.

Selepas itu dilaporkan bahawa tanah milik YBK akan diambil semula jika pertubuhan itu gagal melunaskan tunggakan cukai RM5.7 juta.

YBK merancang untuk membangun kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sebidang tanah seluas 876 hektar tersebut.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menolak bayaran daripada RM5.7 juta Yayasan Melaka untuk menjelaskan tunggakan cukai YBK itu.

Sementara itu, Menteri Besar juga berkata, mesyuarat MMKN hari ini juga meluluskan pemberian tanah tambahan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Rasa, Hulu Selangor, yang telah tertangguh sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, tanah itu memang sudah digazetkan untuk sekolah berkenaan dan sekolah hanya perlu membayar premium tanah sebanyak RM1, yang menjadi polisi kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Abdul Khalid juga berkata, kerajaan negeri akan mencari jalan untuk membantu petani yang menjalankan aktiviti pertanian di tapak tanah yang menggunakan status pendudukan sementara (TOL).

“Kita akan cari jalan supaya mereka boleh menyewa atau sewa beli untuk jangka panjang,” katanya.

Menteri Besar juga berkata, semenjak tahun lalu kerajaan negeri telah berusaha memberi peluang kepada setinggan di negeri itu untuk menduduki tanah secara sah.

Katanya, peluang itu diberikan kepada setinggan dan mereka yang tidak memiliki tapak tanah dengan syarat telah menduduki tanah itu melebihi 15 tahun.

Katanya, mereka boleh memohon untuk pajakan antara 60 hingga 99 tahun bergantung kepada bayaran premium yang dibayar pemohon.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails