Saturday, April 24, 2010

‘Saya bukan rasis, saya rakyat Malaysia yang rasis

HULU SELANGOR, 24 April — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi menyelar tindakan parti pembangkang sambil mengulangi bahawa beliau bukan seorang yang bersikap perkauman dan rasis.

Muhyiddin (gambar) berkata beliau adalah rakyat Malaysia dan pihak pembangkang kini memutar belit kenyataan dan menyebar fitnah di kalangan masyarakat Cina dan India bahawa beliau seorang rasis.

“Semua orang ada asal usul mereka dan saya orang Melayu. tetapi dalam jiwa saya, saya seorang rakyat Malaysia. Saya pernah menjadi seorang menteri Besar, menteri dalam pelbagai kementerian dan pada sepanjang masa itu, tiada sesiapa yang menuduh saya seorang rasis.

“Tapi sekarang, tak semena-mena saya menjadi seorang rasis... saya seorang rakyat Malaysia yang tulen. Tolong jangan putar belit fakta saya. (Penasihat DAP Lim) Kit Siang telah menuduh saya seorang yang rasis tapi saya sudah begitu lama memegang banyak jawatan di dalam kerajaan tapi tidak pernah digelar seorang yang rasis,” kata beliau dipetik berucap pada majlis makan malam di SRJK (C) Khing Ming di Kuala Kubu Baru di sini — 24 jam sebelum kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor berakhir.

Bulan lepas, Muhyiddin berkata beliau menganggap dirinya seorang “Melayu dahulu dan kemudian seorang rakyat Malaysia”, sebagai respons ke atas cabaran yang dilemparkan oleh Lim.

Beliau berkata ini sebagai respons kepada cabaran Lim untuk Muhyiddin menyatakan bahawa beliau rakyat Malaysia dahulu dan orang Melayu selepas itu bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar percaya dengan konsep 1 Malaysia, yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya orang Melayu dahulu tetapi sebagai orang Melayu tidak bermakna kamu bukan rakyat Malaysia. Ini bukan satu isu bangsa. Ia merupakan pemahaman kepada konsep gagasan. Saya tidak fikir Kit faham apa itu makna perkataan gagasan,” kata Muhyiddin seperti yang dilaporkan.

Tetap konsisten dengan kenyataan awalnya, Muhyiddin berkata pembangkang tidak habis-habis menggunakan isu itu bagi melaga-lagakan beliau dengan Najib.

Timbalan Perdana Menteri sedang dalam siri kempennya bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Ahad ini yang akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails