Saturday, April 3, 2010

Pro Mat Taib mula berkempen di Hulu Selangor

Kain rentang yang berbunyi “Demi perpaduan kami mahu Tan Sri Dato' Hj Muhammad Bin Hj Muhd Taib sebagai calon MP Hulu Selangor” dipasang di persimpangan tiga jalan Batang Kali-Ulu Yam-Kuala Lumpur-Kuala Kubu Bharu.


Oleh Adil Zalkapli dan G. Manimaran

HULU SELANGOR, April 3 — Meskipun tarikh penamaan calon sudah diumumkan tetapi usaha Umno untuk mendapatkan balik kerusi Parlimen Hulu Selangor kelihatan berterusan dengan kain rentang digantung mendesak wakil parti itu diturunkan kali ini.

Wakil calon yang dimaksudkan ialah bekas menteri besar Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang lazimnya turut dikenali sebagai “Mike Tyson”.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati kain rentang meminta Muhammad diturunkan sebagai wakil BN diletakkan di kawasan strategik di Batang Kali, berhampiran dengan bangunan parti itu.

Kain rentang yang berbunyi “Demi perpaduan kami mahu Tan Sri Dato' Hj Muhammad Bin Hj Muhd Taib sebagai calon MP Hulu Selangor” dipasang di persimpangan tiga jalan Batang Kali-Ulu Yam-Kuala Lumpur-Kuala Kubu Bharu.

Kawasan strategik itu turut dilalui Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam — salah satu daripada dua persinggahan beliau beberapa jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya.

Semalam Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) singgah di Ulu Yam dan kemudian di Kampung Sentosa, Batang Kali — kawasan yang pernah diwakili Muhammad sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.

Satu lagi kain rentang, tetapi kecil saiznya, didapati digantung di kawasan Ulu Yam.

Ia antara lain berbunyi “1Malaysia, 1 Parlimen MIC + 2 DUN Umno + 1 DUN MCA” yang merujuk kepada kombinasi dan pengagihan kerusi dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor yang bakal menyaksikan pilihan raya kecil, yang pertama selepas 8 Mac 2008.

Usaha itu kelihatan cuba mahu mengatasi usaha lobi Umno.

Seorang bekas wakil rakyat yang namanya tidak dipetik memberitahu The Malaysian Insider, soal Umno menuntut agar dikembalikan kerusi Parlimen Hulu Selangor bukan sesuatu yang baru.

“Dulu-dulu kita pernah minta tetapi ia kini menjadi satu desakan selepas pilihan raya umum yang lalu... ia dibangkitkan semula dalam mesyuarat bahagian yang lalu,” katanya ketika ditemui di Batang Kali semalam.

Naib Ketua Umno Hulu Selangor Datuk Adnan Buyong mengakui nama Muhammad masih popular di kalangan penduduk Hulu Selangor.

“Namanya sangat popular di sini. Hulu Selangor pernah dianggap sebagai kawasan mundur, tetapi bukan lagi apabila Tan Sri Mat Taib menjadi menteri besar,” kata Adnan.

Pun begitu katanya, Muhammad tiada kaitan langsung dengan kain rentang.

Usaha mendapatkan komen Muhammad gagal.

Muhammad telah berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor dari 1986 hingga 1997.

[Kain rentang meminta Muhammad diturunkan sebagai calon didapati di kawasan Batang Kali. Mat Taib terus jadi tumpuan lobi Umno ganti MIC.]

Kain rentang meminta Muhammad diturunkan sebagai calon didapati di kawasan Batang Kali. Mat Taib terus jadi tumpuan lobi Umno ganti MIC.
Malah beliau pernah berkhidmat sebagai wakil Batang Kali — salah satu daripada kerusi DUN dalam Hulu Selangor dari tahun 1982 hingga 1995.

Muhammad kini “mendiamkan diri” selepas tewas dalam pemilihan Umno awal tahun lalu. Beliau tewas kepada Muhyiddin dalam persaingan jawatan timbalan presiden Umno.

“Jika beliau kembali kita boleh melihat satu lagi gelombang pembangunan di Hulu Selangor,” kata Adnan kepada The Malaysian Insider.

Adnan berkata beliau yang turut menyelaraskan jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung bagi Hulu Selangor berkata, beliau sudah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak awal minggu ini meminta Umno diletakkan semula sebagai calon.

“Kami sangat serius sebab itu kami menghantar memorandum,” kata Adnan ketika ditemui di Kampung Sentosa, Batang Kali.

Memorandum itu ditandatangani oleh lebih 50 ketua kampung di Hulu Selangor, sebahagiannya merupakan pengerusi cawangan Umno.

“Ia bukan permintaan saya seorang sahaja... ia daripada akar umbi. Anda boleh pergi dan tanya mereka,” tambah Adnan.

Timbalan Ketua Umno Hulu Selangor Mohd Isa Abu Kassim menyifatkan permintaan agar Muhammad diletakkan sebagai calon bukan sesuatu yang luar biasa.

“Tidak salah. Kita ada 64,000 pengundi dengan berlainan harapan. Apa yang penting ialah mereka bersama kami, mereka masih merupakan penyokong BN,” kata Mohd Isa.

BN dijangka menurunkan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang telah tewas kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dua tahun lalu.

Palanivel yang turut ditemui di Kampung Sentosa semalam berkata, beliau berharap “tiada gangguan” dengan permintaan seperti itu memandangkan Hulu Selangor terdiri daripada pemilih campuran pelbagai kaum.

Malah katanya, kerusi itu secara tradisi diwakili oleh MIC sejak tahun 1986.

Zainal Abidin, bekas timbalan menteri besar Selangor telah meninggal dunia kerana barah otak minggu lalu.

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April manakala penamaan calon pada 17 April.

Daripada 64,000 pengundi, kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails