Thursday, April 1, 2010

Perkasa dedah kompleksiti gagasan 1 Malaysia

1 APRIL — Kemunculan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam politik Malaysia mendedahkan lagi kompleksiti politik perkongsian kuasa Barisan Nasional dalam lanskap politik baru negara hari ini.

Gagasan 1 Malaysia yang menjadi retorik pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menghadapi kritikan meluas pembangkang dan rakyat sejurus dilancarkan.

Gagasan ini dibaca sebagai bertentangan dengan dasar afirmatif DEB yang diperjuangkan Umno selama ini dan sikap Umno secara keseluruhan dalam isu-isu melibatkan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

Sebagai contoh, isu hukuman sebat ke atas model Kartika Sari Sukarno masih menjadi isu yang menjejaskan usaha Najib untuk dilihat sebagai kerajaan yang lebih liberal.
Ekoran tekanan yang dihadapi, Najib sendiri dalam satu ucapannya menyarankan agar Kartika merayu hukuman itu.

Sekarang, dengan segala tekanan yang dihadapi untuk membuktikan kesungguhan kerajaan diketuai Umno melaksanakan gagasan 1 Malaysia, Umno dilihat mendapat sokongan daripada Perkasa yang separuh daripada ahlinya ialah anggota atau mempunyai kaitan dengan Umno.

Realiti ini boleh memberikan implikasi negatif terhadap Perkasa, pertubuhan berhaluan kanan yang mahu menunjukkan dirinya sebagai pejuang Melayu tulen yang tidak berkait dengan parti politik.

Ironinya, Perkasa memerlukan dan menikmati sokongan daripada seorang tokoh politik, Tun Mahathir Mohamad, yang tempoh pemerintahannya menyaksikan pelaksanaan DEB dan peningkatan korporat Melayu melalui hubungan dengan Umno.

Mahathir menyampaikan mesej tentang pentingnya Perkasa dalam ucapannya dalam majlis Perkasa baru-baru ini, menggesa Umno tidak mengabaikan perjuangan Melayu.

Hakikatnya, Umno dan Perkasa boleh bergerak berasingan tetapi mengkoordinasikan isu-isu tertentu dalam politik Melayu.

Perkasa dijangka tidak akan terlibat dalam isu-isu yang akan membawanya bertentangan dengan Umno seperti ISA dan undang-undang keras yang lain.

Disebabkan Perkasa tidak terlibat sebagai sebuah pertubuhan dalam politik, kesan positifnya boleh dituai oleh Umno dalam bentuk sokongan dan undi orang Melayu.

Perkasa dilihat berperanan sebagai sayap Umno yang lebih berhaluan kanan untuk menggerakkan isu-isu yang tidak dapat ditangani Umno tanpa terpaksa berdepan kos politik yang tinggi akibat tidak sehaluan dengan gagasan 1Malaysia.

Ketika suara dan sikap perkauman dalam Umno masih kelihatan, penting bagi Najib untuk membuktikan gagasan 1Malaysia bukan satu retorik sebagai usaha memperbaiki imej pentadbirannya demi mendapatkan kembali sokongan kaum-kaum bukan Melayu menjelang pilihan raya ke-13.

Dalam perkembangan terbaru di Hulu Selangor, sentimen Melayu ini dilihat apabila sesetengah pihak dalam Umno bertegas untuk meletakkan calon Umno di kawasan Parlimen itu dan bukan MIC yang telah bertanding di situ sejak 1990.

Umno terpaksa menjaga sentimen parti-parti komponen pelbagai kaum dalam Barisan Nasional yang semakin terbuka menyuarakan pendapat.

Dengan adanya Perkasa, isu-isu tertentu dapat diperjuangkan secara terpisah daripada Umno, walaupun hakikatnya pertubuhan itu selari dengan Umno pada dasarnya.

Seperti dijelaskan oleh pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider, “Boleh katakan Umno dan Perkasa adalah selari cuma Umno adalah sebuah parti besar serta perlu seimbang dengan parti komponen yang lain manakala Perkasa pula hanya sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak orang Melayu.”

Sehingga kini, ketika Perkasa masih belum menampakkan hubungan yang baik dengan Umno, pertubuhan sayap kanan ini masih mampu menarik sokongan kelompok garisan keras dalam politik Melayu.

Bagaimanapun, Umno dijangka tidak akan membiarkan pertubuhan itu menunjukkan yang ia berjaya mempengaruhi Umno dan mengatasi parti itu, sekaligus menjejaskan slogan perpaduan 1 Malaysia Najib.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails