Wednesday, April 28, 2010

Pengundi Cina peduli apa…

Oleh: ROSLI ISMAIL

Mereka yang berada di sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak jauh dari pekan Simpang,Taiping tentu masih ingat bagaimana meriahnya suasana waktu itu.

Ramai sekali masyarakat Cina di situ hadir.Tepukan gemuruh kedengaran bergema semasa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan segera RM1 juta untuk sekolah berkenaan.

Itu masa kempen pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang bulan April 2009.

Keputusannya, BN tewas di peti undi dimana bantuan segera itu dihulurkan.

Harapan BN untuk menawan balik kerusi tradisi Parlimen Bukit Gantang dari PAS juga diranapkan oleh pengundi di kawasan Kuala Sepetang yang majoriti orang Cina.



Maka tindak tanduk pengundi di Rasa,Hulu Selangor tidak mempedulikan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hendak memberi bantuan RM3 juta kepada SKJC Rasa jika BN menang semasa kempen pilihanraya kecil di situ - dimana majoriti mereka mengundi PKR - bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Begitu juga halnya dengan pengundi Cina di Kalumpang,Hulu Yam,Kuala Kubu Bharu,Serendah dan kawasan majoriti Cina lain di Hulu Selangor.

Orang kuat DAP Lim Kit Siang dengan nada menyindir menulis menerusi Twitter : Smart Rasa voters, gave no votes to BN but get most payback…

Untuk menangkis sindiran Kit Siang itu ,Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ketua Pemuda MCA,Datuk Wee Ka Siong sekadar boleh menjawab menerusi Twitter: Last year MOE ( Kementerian Pelajaran) gave outright grant of RM12.48mil to 65 chinese schools, no by elections!

Jelas sekali ‘ wakeup call ’ pada UMNO dan BN tentang trend pengundi Cina sepatutnya bukanlah dari keputusan pilihanraya kecil Hulu Selangor.

Amaran awal yang diberikan semasa di Bukit Gantang sudah cukup.

Ini bukan kerana ada cacat celanya dalam slogan 1 Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri atau kerana pertubuhan Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali hendak memperkasakan Melayu atau kerana krisis MCA yang berlarutan.

Senang cakap ia lebih menjurus kepada apa yang tersirat disebalik naluri pengundi Cina kebelakangan ini.

Ada pemerhati yang mengaitkan apa yang berlaku di Bukit Gantang semata-mata kerana hendak membalas dendam kerana kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Kebanyakan masyarakat Cina di negeri itu dikatakan melihat kerajaan negeri Perak adalah kerajaan Cina DAP sekalipun Datuk Seri Nizar Jamaluddin dari Melayu PAS menjadi Menteri Besar.

Siapa yang boleh sekat jika ia terus menjadi bisikan sentimen itu menjalar ke telinga pengundi Cina di Hulu Selangor atau ke tempat-tempat lain di serata negara.

Datuk Zaid Ibrahim tidak perlulah cakap besar mendabik dada sokongan pengundi Cina Hulu Selangor kerana beliau calonnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak payah cakap tentang hebatnya PKR hingga mendapat dokongan meluas orang Cina.




Datuk Nik Aziz Nik Mat bolehlah terus berdoa seperti papan tanda yang banyak dipasang oleh PAS di Hulu Selangor menunjukkan beliau mendoakan kemenangan Zaid.

Cuba tanya hati kecil masing-masing mengapa pengundi Cina begitu kuat menyokong Pakatan Rakyat.

Apakah ia kerana keadilan yang menjadi slogan pakatan itu atau kerana suasana dalam negara penuh kezaliman sosial dan politik yang menjadi lagu popular nyanyian mereka di setiap pentas ceramah?

Kita ada istilah TST… ringkasan pada ‘ tahu sama tahu’ .

Jawapannya terbentang di depan mata – ia lebih kepada sentimen untuk meruntuhkan kerajaan BN yang ditunjangi oleh Melayu UMNO.

Anwar pun tahu sejak zaman beliau lama dalam UMNO jadi Timbalan Perdana Menteri lagi dan sebelum itu pengundi Cina misalnya di kawasan Parlimen Cheras,Kepong,Seputeh dan Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan tidak pernah menyokong BN.

Yang pasti ia bukan kerana soal pembangunan kerana kawasan-kawasan berkenaan di sekitar ibu kota serba lengkap dengan segala prasarana.

Cuba tanya orang Cina Pulau Pinang apakah negeri itu tidak pesat membangunan semasa di bawah pentabiran BN-Gerakan yang Ketua Menterinya orang Cina kalau nak dibandingkan dengan Kelantan yang 20 tahun ditabir Nik Aziz.

Pokok pangkalnya kini pengundi Cina baik di Bukit Gantang dan Hulu Selangor peduli apa.

Fakta tentang pembangunan bukan lagi menjadi sandaran.Janji berjuta bantuan itu ini belum tentu mengoyangkan mereka.

Kit Siang pasti tersenyum lebar melihat trend ini kerana beliau tahu DAP tidak mungkin dapat dicapai matlamat politiknya menerusi DAP secara solo.

Paduan impian Anwar hendak menawan Putrajaya dengan iringan doa restu Nik Aziz sudah cukup untuk menjadi pintu kepada harapanya.

Soalan terbesar ini ialah bagaimana UMNO dan BN hendak menghadapi ‘ perang sentimen’ dan bukan isu pembangunan menjelang pilihanraya umum ke 13.

Mahu tidak mahu hakikat ini harus diakui.

Seperti di Hulu Selangor jika kawasan Melayu di Felda menjadi fixed deposit yang menyelamatkan BN – Anwar, Kit Siang dan Nik Aziz kini tentu sudah boleh goyang kaki melihat akaun simpanan tetap mereka di kawasan majoriti Cina sudah memberi pulangan lumayan.


Agenda Daily.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails