Wednesday, April 28, 2010

P212 : Ho Leng (DAP) menentang Robert Lau (BN)

KUCHING, 28 April — Peguam Robert Lau Hui Yew diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei ini.

“Perdana Menteri tertarik dengannya (Hui Yew),” kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud di sini sekembalinya dari Kuala Lumpur di hangar Hornbill Skyways di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini hari ini.

Surat pencalonan Hui Yew diserahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selaku Pengerusi BN, kepada Abdul Taib, iaitu pengerusi BN Sarawak, dalam satu perjumpaan di Putrajaya semalam.

Hui Yew, 45, yang turut dikenali sebagai Robert Lau Junior, adalah sepupu kepada mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, penyandang kerusi Parlimen Sibu, selama lima penggal, yang meninggal dunia pada 9 April lalu.

Hui Yew merupakan Penolong Bendahari SUPP cawangan Sibu dan menjadi ahli parti itu sejak 17 tahun lalu.

“Saya harus mengucapkan tahniah kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kerana memilih calon yang terbaik,” kata Abdul Taib.


Dalam pada itu, Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng, dipilih oleh Pakatan Rakyat (PR) negeri sebagai calon DAP untuk bertanding pada pilihan raya kecil ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat pengumuman tersebut pada majlis jamuan malam yang dihadiri oleh pemimpin empat parti gabungan dalam PR di sebuah restoran di Sibu malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri oleh setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali, timbalan pengerusi Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Johnny Wong Sie Lee, timbalan pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wan Zainal Abidin Wan Sanusi dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Turut hadiri ialah pengarah kempen pilihan raya Chong Chieng Jen, yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching.

Wong, 50, seorang peguam, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan yang juga Presiden SUPP berkata parti itu telah melangkah ke era penjenamaan semula bagi memikat hati pengundi dan penyokong pada pilihan raya kecil itu.

“Kami memilih Hui Yew kerana mahu memberi golongan muda dan bertenaga dalam parti supaya memberi khidmat kepada rakyat, satu permulaan dalam parti,” katanya.

Dr Chan berkata Hui Yew mepunyai sikap yang mudah didampingi dan ia merupakan nilai kejayaan untuk meraih sokongan pengundi Sibu.

Beliau menjadi calon pilihan kerana pembabitan aktif dalam kerja-kerja parti dan pendekatan mesra apabila berurusan dengan peniaga pelbagai kaum di pusat bandar Sibu dan masyarakat Iban di rumah panjang di luar kawasan bandar itu.

Bapanya, Lau Swee Nguong, merupakan Pengerusi Kumpulan syarikat GTS, yang terbabit dalam perniagaan pembalakan, pembuatan papan lapis, perladangan kelapa sawit dan perkapalan.

Kerusi Parlimen Sibu menjadi kosong berikutan kematian Robert Lau dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 8 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon dan 16 Mei sebagai hari pengundian.

Dalam pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, dengan menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng dan Lim Chun Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 undi pos.

SPR akan membuka 45 stesen mengundi dengan 110 saluran mengundi yang akan diuruskan oleh 1,149 petugas SPR.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails