Friday, April 23, 2010

P094 : UNDILAH calon PR Zaid Ibrahim - Nik Aziz

Mesej kepada pengundi Hulu Selangor

Oleh staf FMT

Perjuangan Umno yang menjadi parti teras Barisan Nasional adalah salah kerana mereka sentiasa mengasing-asingkan rakyat dengan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum.

"Akibat dari amalan salah Umno itu, akhirnya orang Melayu dibeza-bezakan dengan bukan Melayu," kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusannya kepada para pengundi Hulu Selangor.


Menurut beliau yang juga Mursyidul Am PAS, lebih menjadi kesalahan apabila membeza-bezakan antara Melayu yang sokong Umno sebagai Melayu-Umno dan yang sokong PAS sebagai Melayu-PAS.

Beliau menambah, kemudian berlaku pula pengasingan hak Melayu dengan hak bukan Melayu, diikuti pula hak Melayu-Umno dengan hak Melayu-PAS.

Paling teruk katanya, orang Melayu-PAS telah dibeza-bezakan dari segi jawatan dan kenaikan pangkat, subsidi dan bantuan, dan hak-hak antara negeri diperintah Umno-Barisan Nasional (BN) dengan negeri diperintah PAS-Pakatan Rakyat.

"Seperti juga berlaku pada akhir-akhir ini, bila mana persoalan wang royalti petroleum untuk Kelantan sendiri tidak diberikan kepada kerajaan negeri, sedangkan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak terus diberi," terang beliau.

Apa yang berlaku katanya, ‘royalti’ ditukar kepada ‘ihsan’ dan pemberian ihsan pula adalah kepada Umno bahagian.

BN telah mendera rakyat Kelantan

Demikianlah buruknya amalan membeza-bezakan itu. Ia telah mendera rakyat Kelantan kerana kerajaan Kelantan hari ini dipilih atas hak dan kehendak rakyat. Amalan Umno sebegitu telah mengenepikan langsung nilai keadilan yang diajar oleh Islam.

Nik Aziz berkata, ini bertentangan dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu (esa), tetapi satu segala-galanya.

"Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itu pun adalah disatukan di bawah satu keturunan iaitu keturunan Adam AS," tambahnya.

Oleh itu katanya, kembalilah kita kepada ajaran Islam dan mengamalkan cara hidup beragama. Sesungguhnya sistem Islam adalah benar dan adil untuk semua kaum.

Ingatlah firman Allah (Surah Ali Imran, Ayat 102 & 103) yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai."

Beliau menerangkan, sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Menolak perjuangan Umno sudah pasti membebaskan diri kita daripada segala-gala amalan salah.

"Sehubungan itu, saya menyeru kepada sekalian pengundi Hulu Selangor yang budiman lagi bijaksana, undilah calon Pakatan Rakyat Dato’ Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat.

Beliau berkata, "saya penuh yakin dan percaya di atas pengalamannya selaku bekas ahli parlimen dan menteri kabinet, sesungguhnya beliau mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk membela dan menunaikan harapan rakyat di Parlimen Hulu Selangor.

"Keluarlah mengundi beramai-ramai, jangan hiraukan ugutan Umno-BN dan selamat mengundi. Semoga tuan-tuan dan saudara saudari sekalian dirahmati Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang," ujar beliau.


FreeMalaysiaToday

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails