Tuesday, April 13, 2010

P094 : UMNO, MIC Demam nak cari Calon..

Difahamkan pertemuan telah diadakan membabitkan pemimpin parti komponen BN malam tadi untuk memupuk persefahaman menjelang hari pengumuman calon BN Khamis ini.

Pada pertemuan itu adalah dimaklumkan bahawa semua pihak mesti menerima keputusan pucuk kepimpinan.



Oleh G. Manimaran dan Adip Zalkapli

HULU SELANGOR, 13 April — Teka-teki siapa calon akan mewakili Barisan Nasional (BN) terus bermain dalam fikiran pelbagai pihak dengan fokus terbaru adalah debat tentang definisi dan takrifan “anak tempatan” yang dimaksudkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Arena politik Umno dan MIC khususnya mereka yang inginkan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan anak didiknya, V. Mugilan masing-masing melihat perkataan “anak tempatan” dari sudut yang berbeza.

Masing-masing mempertahankan skop “anak tempatan” dari perspektif masing-masing.

Kumpulan yang ingin melihat perubahan dalam calon yang bakal diletakkan melihat “anak tempatan” sebagai muka baru, yang lahir di bahagian di Hulu Selangor.

Di sudut lain, kumpulan penyokong Palanivel, ahli Parlimen Hulu Selangor sejak 1990, menganggap “anak tempatan” sebagai rujukan kepada wakil rakyat itu yang sudah lebih 10 tahun tinggal di Hulu Selangor dengan memiliki rumah di Hulu Selangor.

“Apakah ini bukan tanda Palanivel bukan anak tempatan,” kata seorang penyokong kuat Palanivel yang ditemui di Kuala Kubu Baru malam tadi.

Katanya, walaupun Palanivel yang merupakan Pengerusi MIC Selangor lahir di Pulau Pinang dan tinggal di Taman Melawati, tetapi mempunyai sebuah rumah di Bukit Sentosa.

“Sebenarnya apa yang dimaksudkan anak tempatan ialah Palanivel, yang merupakan Ahli Parlimen selama 18 tahun dan ada rumah di sini dan tinggal di sini.

“Mugilan (Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor) tidak tinggal di sini, dia tinggal di Rawang. Begitu juga P. Kamalanathan (Ketua Penerangan MIC), tinggal di Rawang.

“Walaupun Mugilan lahir di Ladang Kerling (dalam bahagian Hulu Selangor), dia tidak tinggal di sini... jadi apa yang dimaksudkan Muhyiddin ialah Palanivel,” kata pemimpin MIC ini yang ditemui di hadapan pejabat MIC Hulu Selangor kira-kira 11 malam tadi.

Operasi pejabat itu sudah berakhir ketika itu dan tinggal hanyalah beberapa penyokong Palanivel di luar pejabat itu sambil berbual ringan.

Pemimpin itu menjustifikasikan definisi mereka dengan berkata, perkataan “anak tempatan” digunakan Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN untuk mengelirukan Pakatan Rakyat (PR).

Pakatan Rakyat akan mengumumkan bakal calon mereka di kawasan Serendah malam ini.

Tinjauan The Malaysian Insider di kawasan pejabat Umno Hulu Selangor beberapa jam sebelum itu menunjukkan persekitaran berbeza.

Pagi semalam Muhyiddin memberitahu wartawan bahawa calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini adalah “anak tempatan.”

Menurutnya, senarai calon sudah hampir disenarai pendek tetapi beliau enggan mengulas mengenai bilangan calon BN itu.

“Kita ada beribu tokoh di Hulu Selangor, hampir-hampir nak disenarai pendek. Dalam tempoh tiga hari lagi akan tahulah... (calon) dari Hulu Selangor. Insya-Allah daripada orang tempatanlah,” katanya.

Selain nama Palanivel, dua nama lain disebut-sebut dalam pertimbangan pucuk kepimpinan ialah Mugilan dan Kamalanathan.

Sumber Umno memberitahu nama Mugilan dan Kamalanathan dikemukakan pihaknya berdasarkan sentimen di akar umbi yang ingin melihat muka baru.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN berkata, banyak faktor yang diambil kira dalam menentukan calon termasuk latar belakang, kelayakan dan boleh bekerjasama dengan pemimpin.

Seorang pemimpin Umno tempatan ditanya siapakah calon jika mengambil kira perkataan “anak tempatan”, beliau berkata, “sudah jelas, siapa lagi?”

“Mugilan, yang merupakan anak tempatan... timbalan perdana menteri sudah memberi bayangan,” kata beliau dengan merujuk kepada Mugilan yang lahir di Ladang Kerling, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Kuala Kubu Baru di mana terletaknya pejabat Umno Bahagian Hulu Selangor.

“Anda pun tahu siapa anak tempatan... anak tempatan adalah seorang yang lahir di sini,” katanya.

Pun begitu kata beliau, nama Palanivel masih dalam senarai pertimbangan pucuk kepimpinan.

“Nama beliau tidak diketepikan,” katanya sambil menafikan penolakan Palanivel adalah kerana Umno.

“Sebab anda sendiri tahu. Ini bukan keputusan Umno, ini sentimen orang ramai,” kata beliau.

The Malaysian Insider difahamkan pertemuan diadakan membabitkan pemimpin parti komponen BN malam tadi untuk memupuk persefahaman menjelang hari pengumuman calon BN Khamis ini.

Pada pertemuan itu adalah dimaklumkan bahawa semua pihak mesti menerima keputusan pucuk kepimpinan.

Bagi sesetengah pemimpin Umno termasuk dari pusat pengumuman akan ada “anak tempatan” telah menyuntik semangat untuk mereka bekerja dengan lebih kuat, sekali gus membawa kemenangan.

Ketua Penerangan Wanita BN Datuk Hamidah Osman menterjemahkan “anak tempatan” dengan melihat akan berlaku perubahan dalam keputusan meletakkan calon kali ini dengan mengambil kira sentimen penduduk tempatan.

“Saya yakin ia memberikan semangat... pengumuman Tan Sri Muhyiddin adalah satu berita baik... meletakkan calon baru, dengan harapan akan meningkatkan peluang mendapatkan semula Parlimen Hulu Selangor,” kata beliau yang juga Exco kerajaan negeri Perak.

Ada juga pemimpin yang menganggap perkataan “anak tempatan” menunjukkan sudah ada keputusan “menang-menang” dalam memilih calon ‘terbaik’ mewakili BN.

Pemimpin berkenaan juga yakin keputusan itu akan diterima dengan baik oleh semua termasuk Palanivel, yang merupakan penyelaras Parlimen Hulu Selangor.

“Saya tidak kata kompromi, tetapi satu persefahaman untuk menerima muka baru... mesej ini sudah disampaikan kepada kepimpinan MIC,” kata beliau apabila ditanya sama ada sudah ada kompromi dengan MIC dalam isu ini.

Ada pemimpin Umno yang mengatakan pihaknya sudah menyampaikan mesej itu kepada Palanivel, tetapi tiada pihak yang dapat mengesahkannya.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad yang juga bekas setiausaha politik Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, semua pihak termasuk Palanivel perlu menerima keputusan Khamis ini dengan terbuka.

“Jika anda ahli parti, anda mesti menerima untuk memastikan parti, bukannya parti kalah,” kata beliau sambil menambah, ia ujian kepada konsep 1Malaysia dengan mengambil kira dua kerusi DUN diwakili Umno, satu oleh MCA manakala MIC pula di peringkat Parlimen.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails