Wednesday, April 14, 2010

P094 : UMNO Jangan SIBUK!! - MIC

“Kami tidak gembira apabila mendengar Umno mencuba untuk menentukan terma dalam memutuskan calon sedangkan ia menjadi hak MIC dan presidennya,” kata Ketua MIC Bahagian Puchong A. Saktivel pada sidang media hari ini.


Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 14 April —Dilihat sebagai kali pertama dalam hubungan Barisan Nasional (BN), MIC Selangor hari ini menggesa Umno agar sama sekali tidak campur tangan dalam menentukan bakal calon dengan mengetepikan nama tunggal disyorkan Presiden MIC.

“Kami tidak gembira apabila mendengar Umno mencuba untuk menentukan terma dalam memutuskan calon sedangkan ia menjadi hak MIC dan presidennya,” kata Ketua MIC Bahagian Puchong A. Saktivel pada sidang media hari ini.

Beliau yang mewakili 18 daripada 22 bahagian dalam Selangor berkata, laporan media menggambarkan nama Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, yang dikemukakan oleh parti tidak akan dipilih sebagai calon MIC bertanding pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor.

Ini kali pertama MIC secara terbuka menentang usaha parti komponen BN mencalonkan nama lain selain nama yang dicalonkan oleh parti itu.

Pendirian, yang turut dilihat sebagai ‘kata dua’ sebelum mengambil tindakan tegas susulan, dibuat ketika BN bersiap sedia untuk mengumumkan calonnya petang esok.

Penamaan calon berlangsung Sabtu ini.

“Kami dengar Palanivel yang dikemukakan oleh Samy Vellu tidak akan dipilih sebagai calon, kami dengar nama lain, kami dengan V. Mugilan (Ketua Pemuda HUlu Selanghor) akan dipilih sebagai calon.

“Kami tidak mahu calon yang dipilih menerusi pintu belakang,” kata beliau dengan diapit ketua-ketua bahagian dalam MIC Selangor serta ketua sayap Pemuda dan Wanitanya.

Ketika Saktivel memberikan pandangannya ada seorang pemimpin MIC kedengaran memberitahu, pihaknya akan keluar MIC jika keputusan presiden parti itu tidak dihormati.

Palanivel juga merupakan Ketua MIC Selangor.

Kata beliau, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menyebut bakal calon merupakan “anak tempatan”.

Sambil mempersoalkan laporan akhbar bahawa Mugilan lahir di Ladang Kerling, Saktivel berkata, Timbalan Ketua Pemuda MIC itu lahir di Ladang Getah Glory, Beruas di Perak.

“Dia lahir di Pantai Remis, bukannya di Ladang Kerling, Hulu Selangor,” kata beliau sambil mengedarkan salinan surat beranak Mugilan.

Sehubungan itu kata Saktivel, mereka merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Muhyiddin akan menghormati kehendak MIC dengan mengekalkan nama yang dicadangkan setakat ini iaitu Palanivel.

Dengan kenyataan beliau disambut dengan tepukan, Saktivel yang juga anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC berkata, pihaknya mahu pendirian MIC dan syor Presiden MIC dihargai dan dihormati.

“Jika Presiden parti dan nama Timbalan Presiden parti sendiri tidak dihormati, apa akan jadi kepada ketua-ketua bahagian.

“Kami juga mahu parti-parti lain seperti Gerakan dan PPP sedar perkara... jika ini boleh berlaku kepada kami, ia juga boleh berlaku kepada parti-parti lain satu hari nanti,” kata beliau pada sidang media yang diadakan di tingkat tujuh Ibu Pejabat MIC di sini pagi ini.

Dalam kenyataan yang diedarkan, Saktivel berkata pihaknya mahu semua pihak mengelak daripada mempromosikan calon masing-masing untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor.

“Kami terganggu dengan laporan-laporan dalam media online dan akhbar tempatan bahawa ada satu calon yang menjadi pilihan BN.

“Kami merasakan bahawa ini sebahagian daripada strategi untuk memperkecilkan MIC, malah usaha mempromosikan seorang calon yang bertindak bertentangan dengan norma dan prinsip demokrasi MIC,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails