Wednesday, April 21, 2010

P094 : Tolak 'tuah' jika tolak Zaid - Mat Sabu

Pengundi Hulu Selangor dikatakan "menolak tuah" jika tidak memilih calon PKR sebagai wakil rakyat mereka pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Ahli Jawatankuasa PAS pusat Mohamad Sabu berkata ini kerana calon yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat itu adalah seorang yang terbukti prinsipnya dalam membela rakyat.

"Zaid Ibrahim manusia berprinsip. Beliau (adalah) menteri, bila ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) digunakan, beliau tidak bersetuju.

"Kalau kita tidak bersetuju dengan percakapan lawan dengan percakapan, kalau tulisan, lawan dengan penulisan, wartawan lawan dengan kewartawanan, bukan dengan ISA. Lainlah kalau angkat senjata.

"Oleh itu, Zaid ambil keputusan untuk meletak jawatan (sebagai menteri). Dalam dunia ini nak cari orang macam begini (memang) payah," kata Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramah di Jalan Padang Tembak di Kuala Kubu Baru, malam semalam.

"Walaupun beliau mempunyai banyak kelemahan sebagai manusia, tapi sebagai menteri yang berprinsip, beliau meletakkan jawatan sedangkan banyak kemudahan dan kelebihan disediakan oleh kerajaan.

"Kalau tak angkat Zaid Ibrahim sebagai wakil rakyat, memang orang Hulu Selangor menolak tuah. Jarang ada di dunia orang seperti Zaid Ibrahim apabila beliau tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, dia letak jawatan dan kemudiannya menyertai pembangkang," katanya yang juga bekas naib presiden PAS.

Kira-kira 500 orang hadir pada majlis ini walaupun cuaca begitu sejuk berikutan hujan lebat pada sebelah petang.

Dakwa Mohamad Sabu, selepas pilihan raya umum pada 2008, kerajaan BN cuba menimbulkan pelbagai isu perkauman yang sensitif, termasuk memfitnah exco Selangor Teresa Kok yang didakwa cuba menghalang azan daripada berkumandang dan menahan seorang wartawan smengikut ISA.

Hal berkenaan katanya, mendorong Zaid yang juga bekas ketua Umno bahagain Kota Bharu membantah dan seterusnya meletakkan jawatan.

"(Inilah) Zaid (yang) saya hormat. Ada satu perkara yang orang lain tidak tidak boleh buat. Orang yang ada prinsip memang kita hormat," katanya.

Pada ceramah yang sama Mohamad Sabu turut membidas kerajaan BN kerana membuat perjanjian dengan firma-firma yang mempunyai kepentingan Yahudi.

"Unsur Yahudi amat bahaya. Politik Yahudi adalah menghapuskan orang yang tidak disukainya. Kita bimbang politik Yahudi masuk ke Malaysia," katanya.

Menurut Mohamad Sabu beliau kuathir berlakunya kebocoran maklumat negara ini yang tidak boleh dipandang kecil.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat memilih Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil itu pada 25 April ini sebagai membantah tindakan kerajaan BN.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails