Sunday, April 18, 2010

P094 : Muhyiddin.. Jangan cepat melatah..

Ketika waktu yang singkat saya memegang jawatan Menteri, bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dan saya mencadangkan supaya semua menteri kabinet diwajibkan mengiytiharkan harta mereka.

Ramai daripada menteri kanan menentang idea ini. Mereka menentang apa sahaja kebaikan yang hendak dilakukan oleh Pak Lah.Saya ingin tahu apa yang hendak diperkatakan oleh Muhyiddin tentang hal ini sekarang ini.


Oleh Zaid Ibrahim

Memandangkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor menjelang tiba, roda kempen kotor Umno berputar ligat, pada kelajuan tertinggi.

Sudah dapat kita ramalkan, kempen Umno tidak bertumpu kepada isu-isu yang menyentuh rakyat. Umno hanya memberi fokus kepada apa yang mereka tahu, iaitu: untuk menyebar pembohongan dan maklumat yang mengelirukan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan orang-orang upahannya, salah satu isu yang menyelubungi kawasan parlimen saya ialah rekod disiplin saya, terutama isu pemecatan saya dari Umno kerana politik wang.

Berdasarkan hal ini, mereka secara mudah menggunakan isu ini untuk menuduh saya apa saja: rasuah, tamak, kekayaan dan sebagainya.

Seperti biasa, kebenaran akan membebaskan saya. Ini merupakan sesuatu yang asing buat Umno. Berkali-kali, mereka merendah- rendahkan daya fikir rakyat dan cuba mengelirukan mereka dengan cerita dongeng, tetapi rakyat lebih tahu.

Sudah banyak kali, saya mempertahankan diri dari segala tuduhan ini tetapi saya akan melakukannya sekali lagi.Jadi, ceritanya begini…..

Dalam tahun 2001, saya memenangi kerusi Ketua Umno Bahagian Kota Bharu.Saya mencuba sebanyak tiga kali dan mengambil masa selama 10 tahun untuk memenanginya dan akhirnya saya berjaya.

Kemenangan saya membuat mereka tiada pilihan melainkan dengan meletak saya sebagai calon dalam pilihan raya umum (PRU) 2004.Saya memenangi kerusi parlimen Kota Bharu setelah menerima tentangan sengit walaupun ketiga-ketiga kerusi dewan undangan negeri di menangi oleh PAS.

Keadaan ini nampak hampir sama dengan situasi di Hulu Selangor dewasa ini di mana tiga kerusi dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU 2008 dan kini saya mencuba untuk memenanginya semula untuk Parti Keadilan Rakyat.

Ketika menang di Kota Bharu, saya mengharapkan reaksi berupa sokongan yang lebih dari Umno berdasarkan kerusi itu amat penting bagi BN. Itulah pertama kali sejak 15 tahun di bawah pemerintahan PAS, BN dapat memenangi kerusi Kota Bharu.

Tetapi sangkaan saya meleset. Mereka bersedia untuk menjatuhkan saya sekali lagi. Pada Jun 2008, terdapat satu lagi pertandingan buat Umno Bahagian Kota Bharu.Nasib baik, saya dapat mempertahankan kerusi sebagai Ketua Bahagian, tanpa bertanding.

Akuan bersumpah palsu

Tetapi jawatan-jawatan lain dalam parti terpaksa dipertandingkan. Ketika pemilihan, beberapa individu telah membuat aduan dengan menandatangani akuan bersumpah palsu bahawa saya telah memberi wang kepada "agen saya", mendiang Datuk Zahari Wahab sebagai tukaran untuk undi, kononnya bagi pihak saya.

Pada 16 Oktober 2004, saya didakwa atas politik wang. Saya mendapati dakwaan ini adalah pelik kerana saya memenangi kerusi itu tanpa bertanding. Tidak ada pencabar. Jadi, bagaimana boleh saya didakwa atas politik wang apabila tidak ada pertandingan? Tetapi di dalam Umno, apa-apa pun boleh berlaku.

Untuk membuat dakwaan seseorang mesti mempunyai bukti yang sahih,mesti ada saksi untuk menyokong tentang tuduhan politik wang itu.

Jika benar tuduhan terhadap kawan saya Zahari Wahab memberi wang untuk mendapatkan undi, bolehkah mereka memastikan ianya bukan untuk tujuan kempen Zahari sendiri.

Pada ketika itu, Zahari sendiri sedang bertanding untuk jawatan Naib Presiden Bahagian itu. Walaupun jika benar sekali pun bahawa Zahari terlibat dengan politik wang, beliau mungkin melakukannya untuk dirinya sendiri kerana beliau sendiri bertanding.

Apabila Lembaga Disiplin Umno menetapkan tarikh perbicaraan pertama, kebetulan Zahari Wahab telah meninggal dunia.Beliau turut didakwa kerana politik wang yang saya yakin, juga satu penipuan.

Dengan pemergian beliau, Lembaga Disiplin Umno tidak boleh mengemukakan dakwaan mereka terhadap Zahari.Mereka tidak dapat mengemukakan saksi lain untuk menyokong tuduhan mereka, selain dari akuan bersumpah palsu di mana saya tidak mempunyai peluang untuk mencabar pencipta akuan bersumpah itu.

Saya menganggap prosiding ini sebagai satu penipuan dan ini membuat mereka marah. Mereka bersungguh-sungguh dalam membuat penghakiman terhadap saya tanpa asas apa pun.

Jelas saya diperangkap. Saya cabar dan menyoal sistem bagaimana Lembaga mencapai keputusan itu tanpa adanya apa-apa bukti dan dalil bagi menyokong dakwaan mereka.

Akhirnya, Lembaga Disiplin Umno memutuskan saya bersalah kerana Kononya mengamalkan politik wang. Tetapi mereka memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan dengan syarat saya memohon maaf kepada Lembaga kerana mempersoalkan proses dan bidang kuasa mereka.

Saya sekali-kali tidak akan memohon maaf kepada Lembaga.Sebarang permohonan maaf kepada Lembaga akan memberi gambaran bahawa saya mengaku bersalah (atas kesalahan yang saya tidak lakukan).

Saya tidak mahu berkompromi dengan prinsip hidup saya.Apabila saya enggan memohon maaf maka pada ketika itulah Lembaga menggantung saya selama tiga tahun.

Pada 2008, apabila saya dilantik sebagai Menteri, saya tidak mahu ada kesangsian terhadap keperibadian dan kredibiliti diri saya kerana saya anggap pelantikan itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab, dalam sebuah kerajaan yang saya anggap ingin melaksanakan reformasi.

Saya mahu membersihkan nama saya dari sebarang rasa curiga mengenai dakwaan-dakwaan tersebut. Oleh itu, saya meminta Biro Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat saya dengan lebih lanjut, untuk membersihkan nama saya sekali gus.

Sehingga hari ini, mereka tidak datang membawa sebarang maklumat atau keputusan. Sekiranya saya bersalah seperti mana dakwaan mereka, kenapa mereka mengambil saya sebagai Menteri?

Kenapa saya dilantik sebagai Menteri?

Sebenarnya saya tidak membuat apa-apa kesalahan seperti yang didakwa oleh lawan saya dalam Umno, sebab itu saya dilantik sebagai Menteri.

Muhyiddin baru-baru ini menyatakan pemilihan saya sebagai calon di Hulu Selangor kerana saya seorang yang kaya. Isteri yang tercinta dan anak saya, Alysha menjadi terpegun sekarang ini.

Mereka tanya di mana saya menyembunyi harta kekayaan itu dan mereka mendesak saya membawa mereka pergi membeli-belah. Kini, saya menghadapi masalah.

Saya cadangkan supaya Muhyiddin menjaga mulutnya. Amat tidak sesuai bagi seseorang timbalan perdana menteri membuat dakwaan-dakwaan begitu.Jika dia mahu membuat dakwaan itu, beliau mesti bersedia mempertahankan kenyataan-kenyataannya.

Saya tidak pernah menjadi kaya, tidak seperti menteri-menteri Umno yang lain.Saya hanya menjadi Menteri selama enam bulan. Dan sebelum itu, saya bukan kroni sesiapa, atau mendapat apa-apa konsesi atau AP (permit import kereta) atau saham-saham syarikat.

Untuk tujuan ketelusan, saya bersedia untuk mendedahkan apa yang saya miliki dan apa yang disebut sebagai "kekayaan", termasuk apa yang dimiliki oleh isteri dan anak saya dengan syarat Muhyiddin dan rakan-rakan kabinetnya sanggup bersama-sama mendedahkan apa yang mereka miliki, keluarga mereka, anak-anak dan penama-penama (nominee) mereka.

Ketika waktu yang singkat saya memegang jawatan Menteri, bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dan saya mencadangkan supaya semua menteri kabinet diwajibkan mengiytiharkan harta mereka.

Ini untuk membuktikan menteri-menteri BN adalah bersih dan tidak takut kepada ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam urusan mereka.

Ramai daripada menteri kanan menentang idea ini. Mereka menentang apa sahaja kebaikan yang hendak dilakukan oleh Pak Lah.Saya ingin tahu apa yang hendak diperkatakan oleh Muhyiddin tentang hal ini sekarang ini.

Jika beliau tidak ada apa-apa yang penting untuk ditambah, saya cadangkan supaya Muhyiddin menangani isu-isu yang saya sentuh untuk rakyat di Hulu Selangor dan isu-isu yang dihadapi oleh negara ini.Mari kita bertanding secara saksama dan lihat siapa yang mendapat sokongan rakyat!


Zaid Ibrahim

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails