Friday, April 16, 2010

P094 : MIC Semakin lemah....

Pilihan raya kecil ini memperlihatkan MIC walaupun menyelesaikan kemelut penentuan calon atas semangat setiakawan BN dan formula menang-menang tetapi pengaruh dan kekuatan parti itu semakin mengecil berbanding ketika era sebelum tsunami politik.




16 APRIL — Drama dalam tempoh 12 jam menjelang majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) sememangnya cukup menarik. Situasi ini tidak pernah berlaku dalam sejarah enam dekad MIC.

Usaha menghimpunkan sokongan mempertahankan maruah MIC, yang tercalar ketika pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu, cuba digerakkan untuk diperbaiki. Bagaimanapun ia ia memperlihatkan MIC semakin lemah dalam mengharungi percaturan politik.

Perkembangan terbaru ini — penentuan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor sebenarnya memperlihatkan MIC masih belum pulih dengan sepenuhnya selepas tsunami politik 2008.

Malah perkembangan semalam juga menunjukkan buat kali kedua seorang timbalan presiden keciciran tiket untuk mempertahnkan kerusi yang ditandinginya. Kes yang sama pernah disaksikan pada 1990 dan 2004 melibatkan Datuk S. Subramaniam. Dalam kenyataan dua minggu lalu Subramaniam meletakkan harapan episod lama yang menimpanya tidak berulang dan kedudukan Palanivel diiktiraf sebaik mungkin.

Nampaknya sejajar dengan hasrat itu, sekumpulan penyokong kuat Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel kelmarin menegaskan “kami tidak mahu calon yang ikut jalan belakang.” Kumpulan yang sama semalam pula berkata “kami tidak rela melihat Datuk Palanivel berada di Parlimen seolah-olah menggunakan jalan belakang dan akhirnya dipandang rendah kerana dilantik ke Parlimen, bukannya dipilih.”

Penyokong kuat Palanivel itu seterusnya berkata, “apakah perasaan Palanivel jika beliau hanya diberikan jawatan timbalan menteri sedangkan beliau seorang timbalan presiden manakala naib presiden parti diberikan jawatan menteri.” Naib presiden itu dirujuk kepad Datuk Dr S. Subramaniam yang kini merupakan Menteri Sumber Manusia.

“Jika ini berlaku saya pasti Datuk Palanivel tidak akan dihormati. Saya rasa lebih baik Datuk Palanivel menolak daripada menerima jawatan senator dan timbalan menteri demi maruah beliau dan juga MIC,” kata penyokong ini yang awalnya kelihatan bersemangat dan gembira apabila Jawatankausa Kerja Pusat (CWC) mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan pendirian berhubung kemelut penentuan calon MIC-BN bagi pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor.

Nadanya yang bersemangat kelihatan terjejas selepas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu selesai mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi semalam.

Pemimpin ini juga mendakwa jika CWC boleh mengadakan mesyuarat tergempar untuk membuat pendirian kata dua, mengapa Samy Vellu tidak memanggil satu lagi mesyuarat untuk membincangkan tawaran kedua. Nadanya sekali lagi memperlihatkan kekecewaan sambil menganggap ahli-ahli MIC dari seluruh negara diketepikan begitu sahaja.

Pemimpin bertaraf timbalan ketua bahagian ini, salah satu bahagian penting dalam Selangor kemudian mendakwa dengan pandangan keras “Presiden MIC telah menjual MIC kepada Umno.”

Pandangan yang serupa juga diberikan oleh seorang pembantu kanan Palanivel. Menurut pembantu ini “Samy sudah menjual MIC, MIC dipandang hina, MIC sudah hancur di bawah Samy Vellu.”

Ini sebahagian daripada luahan hati yang kedengaran sejak pagi semalam sebaik sahaja Samy Vellu keluar dari bilik pertemuan dengan Muhyiddin.

Persoalan yang ditimbulkan ialah apakah yang sebenarnya berlaku dalam pertemuan antara Samy Vellu dan Muhyiddin — pertemuan yang diadakan tidak sampai 12 jam selepas CWC membuat keputusan tidak akan bertanding jika Palanivel, calon tunggal yang dikemukakan oleh MIC diketepikan oleh pucuk kepimpinan.

Pemerhati dan penganalis melihat perkembangan ini menunjukkan Samy Vellu dan Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berhadapan dengan kesukaran yang amat mendalam dalam menentukan calon pilihan raya kecil. Suasana menunggu sehingga saat-saat terakhir untuk menentukan calon jarang berlaku, boleh dikatakan tidak berlaku kecuali disebabkan aspek-aspek teknikal, khususnya dalam pilihan raya.

Adalah lebih sesuai jika dikatakan MIC dan BN kini berhadapan dengan masalah menggunakan pendekatan tradisi lama dalam menentukan calon bagi kedua-dia pilihan raya umum dan kecil. Kini tiba masanya BN melihat untuk mencari pendekatan baru dalam memilih calon dan tidaka lagi bergantung pada kaedah-kaedah lama.

Sehari selepas penyandang kerusi Hulu Selangor meninggal dunia, Samy Vellu dengan segera mengumumkan bahawa MIC akan meletakkan semula Palanivel, yang bertanding di kawasan itu sejak 1990, untuk membawa cabaran BN.

Difahamkan Samy Vellu telah diminta mengemukakan lebih daripada satu nama tetapi ketua MIC itu tidak berbuat demikian. Bagaimanapun kepimpinan BN dikatakan telah menerima nama tambahan iaitu Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan dan Timbalan Ketua Pemuda MIC pusat V. Mugilan daripada sumber-sumber rasmi dan tidak rasmi. Beberapa pemimpin Umno mengatakan bahawa mereka terpaksa membawa nama Kamalanathan dan Mugilan ke perhatian BN berdasarkan kehendak akar umbi yang inginkan muka baru.

Sejak itu, Samy Vellu mempertahankan Palanivel akan mewakili MIC ketika Umno melobi untuk mendapatkan semula kerusi itu. Pada hari Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pilihan raya Palanivel mengatakan bahawa hanya nama beliau telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk pertimbangan.

Palanivel merupakan penyelaras parlimen Hulu Selangor.

Awal minggu ini Muhyiddin mengatakan bahawa bakal calon Hulu Selangor merupakan “orang tempatan”. Istilah “orang tempatan” telah menguatkan spekulasi bahawa Palanivel akan diketepikan dan kerusi itu akan diberikan kepada Mugilan. Sejak itu pemberonkan dalaman mula wujud. Sebahagian pemimpin MIC Selangor sudah mengambil langkah dingin untuk menyokong jentera BN.

Sebenarnya kemelut penentuan calon MIC-BN ini menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penyelesaian yang diharapkan akan membawa BN menawan kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor. Bagi BN kerusi Hulu Selangor dilihat sangat penting untuk bertapak semula dalam pilihan raya umum ke-13.

Antara persoalan yang timbul berkaitan dengan persaraan Samy Vellu daripada menerajui MIC selepas ini. Persoalan-persoalan ini berfokus apakah Samy Vellu menerima tekanan agar menentukan dengan tepat tarikh untuk melepaskan kepimpinan MIC. Desas-desus mengatakan sebahagian daripada kandungan kompromi semalam ada kaitan dengan pelan persaraan.

Kepimpinan BN pula dikatakan bersedia untuk memberikan peluang kepada MIC agar menamakan calon baru sebagai gantian kepada Mugilan, yang berada dalam senarai teratas senarai pemilihan, bagi membolehkan Samy Vellu berundur dari mengetuai parti kelak. Spekulasi awal menyebut BN sanggup menerima nama Palanivel jika Samy Vellu sedia menyatakan pendirian jelas tentang pelan peralihan kuasa.

Selain demi survival Samy Vellu, kompromi ini tidak dapat dielakkan kerana MIC sedang mengusahakan beberapa pelan menyelamatkan sayap pelaburannya Maika Holdings, yang masih berada dalam tahap perbincangan. Maika Holdings diterajui anak Samy Vellu, S. Vell Paari.

Di tapak pengumuman calon Samy Vellu mengumumkan bahawa Palanivel boleh mengambil alih kepimpinan parti dalam tempoh 14 bulan lalu dengan boleh menentukan kerusi yang beliau mahu tanding dan calon-calon pilihannya bagi pilihan raya umum ke-13.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider Isnin lalu, beberapa pemimpin Umno berkata walaupun mereka menyambut baik istilah “anak tempatan” yang merujuk kepada Mugilan tetapi mereka sedia menerima Palanivel bertanding semula di Hulu Selangor atas imejnya sebagai “pemangku presiden”. Akhir bulan lalu seorang anggota Majlis Tertinggi Umno pula berkata mereka menghormati prinsip perkongsian kuasa dan kerusi tetapi mahukan “Panivel yang baru”.

Mesej-mesej ini gagal difahami dengan baik oleh kepimpinan MIC. Jika difahami dengan baik sudah pasti kemelut penentuan calon boleh dihindari dari awal-awal lagi.

Pokoknya, pilihan raya kecil ini memperlihatkan MIC walaupun menyelesaikan kemelut penentuan calon atas semangat setiakawan BN dan formula menang-menang tetapi pengaruh dan kekuatan parti itu semakin mengecil berbanding ketika era sebelum tsunami politik.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails