Tuesday, April 20, 2010

P094 : Felda Sungai Buaya, mimpi ngeri buat UMNO!

Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pengundiaanya akan berlangsung pada 25 April ini pastinya merupakan mimpi ngeri buat Umno dan Barisan Nasional di Hulu Selangor terutamanya bagi pengundi Melayu bagi Felda di situ.

Ini kerana Syarikat Murna Jaya Development Berhad, yang juga proksi Umno didakwa berhutang ratusan ribu ringgit terhadap peneroka Felda di Kampung sungai Buaya, di Hulu Selangor.

Hutang terhadap 363 peneroka itu sejak 16 tahun lalu sehingga ke hari ini gagal dilangsaikan walaupun perjanjian asal itu syarikat berkenaan mesti melunaskan hutang mereka sebelum tahun 1998 lagi.

Kejadian itu mula berlaku apabila satu perjanjian antara 363 peneroka Felda di Kampung Sungai Buaya terbabit dengan Syarikat Murna Jaya Development Berhad ditandatangani pada 23 Disember 1994.

Perjanjian itu yang disediakan sendiri oleh pihak pemaju didakwa berat sebelah apabila anak-anak penoraka itu dihalang menyemak dan membaca syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) di Felda Kampung Sungai Buaya, Saidin Busu, 42, berkata, akibatnya perjanjian itu bukan sahaja zalim tetapi menindas peneroka apabila nilai tanah yang mengikut perjanjian asal sepatutnya dijual RM5.20 untuk sekaki persegi tetapi dalam perjanjian yang tertulis hanya RM2.80 iaitu setengah daripada perjanjian asal.

Menurutnya, pihak pemaju pula mendesak agar peneroka yang hampir keseluruhanya warga emas menandatangani sahaja perjanjian itu.

“Pihak pemaju bersikap samseng apabila mengarahkan peneroka ketika itu menandatangani sahaja perjanjian itu secara serentak dalam masa yang singkat selain menghalang anak-anak peneroka daripada membacanya apatah lagi menyemak isi kandungan itu,” katanya kepada erapakatan.com semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Saidin memberitahu, perjanjian itu menyebut Syarikat Murna Jaya Development Berhad perlu melunaskan hutang itu dalam tempoh 36 bulan atau sebelum tahun 1998.

Sehinggalah pada tahun 1999, syarikat itu tetap gagal melunaskan perjanjian itu yang membawa kepada perjanjian kedua.

“Dalam perjanjian ini, syarikat itu mendakwa akan melunaskan hutang mereka yang berbaki ratusan ringgit dalam tempoh 24 bulan atau sebelum tahun 2003.

Namun, kami hairan dari tahun 1999 sehinggalah ke hari ini, kami langsung tidak pernah ditunjukkan perjanjian itu dalam bentuk hitam putih.

Mana perjanjian itu, kami mahu lihat, kalau betul adalah… kerana sehingga tahun 2003 syarikat itu tetap gagal melunaskan hutang mereka yang mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya kesal.

Saidin menjelaskan, setiap peneroka mengikut perjanjian pertama pada Disember 1994 mesti dibayar RM1 juta seorang dan pembayaran pendahuluan oleh syarikat itu hanya dilunaskan RM10,000 ketika itu.

“Bayaran itupun mereka bayar secara ansuran dan sehingga tahun 2003, kami hanya menerima RM 270,000 seorang bagi setiap peneroka dan ada di antara kami menerima kurang daripada jumlah itu.

Tetapi yang pasti, syarikat masih berhutang hampir RM800,000 bagi setiap peneroka dalam perkampungan Felda Kampung Sungai ini,’ katanya.

Tuntut Janji

Sehubungan itu, beliau menuntut Syarikat Murna Jaya Development Berhad yang juga kroni Umno, bekas Menteri Besar (MB) Umno, Mohd Taib, dan kerajaan pusat serta semua bekas MB Umno seperti Khir Toyo, Abu Hassan Omar yang mencengkam negeri Selangor sejak puluhan tahun lalu bertanggung jawab dengan perbuatan mereka ini kerana hutang tetap hutang.

“Kalau kamu tidak selesaikan hutang kamu di dunia ini, ingatlah, azab yang pasti pedih menanti kamu di akhirat sana,” jelasnya.

Sebanyak enam Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Murna Jaya Development Berhad telah dilantik yang ke semuanya merupakan ahli dan penyokong kuat Umno yang bertujuan menjaga kepentingan dan imej mereka di kampung itu sejak tahun 1994.

Sejumlah lima cawangan Umno wujud di perkampungan Felda itu dan lima daripada enam Ahli Lembaga Pengarah Umno itu masih hidup dan kaya raya termasuklah memiliki rumah mewah berbanding peneroka yang terus dihimpit kemiskinan.

Saidin turut menjelaskan bahawa isu hutang dari syarikat kroni Umno-BN itu pernah disiarkan oleh media berkali-kali sebelum ini namun pimpinan Umno dan syarikat itu kekal membisu.

Ditanya apa respon menteri berhubung perkara itu selepas didedahkan oleh media, Saidin dengan nada tegas menjawab hipokrit.

“Pemimpin BN terkenal dengan sikap hipokrit mereka yang suka menabur janji. Tabur janji, janji dan janji kononnya kami akan menyelesaikan masalah anda,’ katanya.


Seterusnya sila sambung bacaan anda di sini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails