Tuesday, April 6, 2010

P094 : Dah pasti MIC bukan UMNO..

Jika benar kerusi itu kekal milik MIC, parti itu perlu menebus kembali maruah mereka apabila calonnya yang merupakan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel kalah tipis dengan majoriti 198 undi di tangan wakil rakyat PKR, Allahyarham Dr Zainal Abidin Ahmad.

ANALISIS MSTAR Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

BELUMPUN sempat gelanggang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dibuka secara rasmi mulai 17 April ini, spekulasi berhubung siapakah calon yang bakal berentap bagi mewakili dua parti politik utama iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat makin bertiup kencang.

Sana sini semua pihak sibuk membuat 'perkiraan' dan 'ramalan' tentang muka-muka yang difikirkan layak serta berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon.

Bagi penyokong BN, keresahan mengenai wakil parti komponen mana yang akan dipilih sebagai calon mungkin semakin reda berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu berkemungkinan besar akan mengekalkan calon dari MIC untuk bertanding.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN juga dilaporkan berkata, perkara itu berasaskan formula yang telah dipersetujui oleh semua pimpinan komponen parti berkenaan.

Jadi maknanya hampir pastilah bahawa BN akan menurunkan calon dari MIC sebagai perisai utamanya pada pilihan raya kecil kali ini.

Oleh itu, skop telahan masyarakat berhubung calon BN sedikit menguncup dan kini ia menjurus pula kepada siapakah wakil dari MIC yang cukup bertaring untuk berhadapan dengan calon PR yang nampaknya sudah hampir pasti akan diwakili oleh calon PKR.

Mungkinkah BN akan mengaplikasikan formula sama seperti yang digunakan pada pilihan raya kecil Bagan Pinang yang lalu dengan meletakkan calon kitar semula?

Jika benar kerusi itu kekal milik MIC, parti itu perlu menebus kembali maruah mereka apabila calonnya yang merupakan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel kalah tipis dengan majoriti 198 undi di tangan wakil rakyat PKR, Allahyarham Dr Zainal Abidin Ahmad.

Sehingga kini nama Palanivel mendahului senarai dan kemungkinan beliau akan diberi kepercayaan semula untuk mengangkat kembali maruah MIC di persada politik tanah air adalah sangat besar.

"Presiden parti dah calonkan nama saya... hanya nama saya. Mengikut prinsip amalan BN, presiden parti mencalonkan nama dan kemudian Pengerusi BN akan buat keputusan," katanya ketika ditemui di Batang Kali Jumaat lepas.

Selain itu kata Palanivel, rekod bersihnya selama ini boleh diambil kira dalam membuat pertimbangan memilih calon bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti.

"Kecualilah saya dituduh ada kesalahan jenayah, amalkan rasuah ataupun terlibat dalam merebut tanah di kawasan ini, saya tak buat semua itu.

"Kalau saya buat barulah saya jadi satu masalah (kepada parti)," katanya yang juga Pengerusi MIC Selangor dan Ketua MIC Bahagian Hulu Selangor.

Selain Palanivel, nama lain yang turut hangat diperkatakan berpotensi sebagai calon ialah Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat, V. Mugilan yang juga secara kebetulan Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Selangor.

Ada cakap-cakap Mugilan melobi untuk dipilih sebagai calon. Bagaimanapun beliau menafikan dakwaan itu. Namun begitu jika ditanya di kalangan pemimpin pemuda BN yang lain, mereka tidak menolak peluang Mugilan untuk terpilih sebagai calon.

"Mugilan adalah pemimpin muda yang mungkin dilihat dapat mewakili aspirasi orang muda dan generasi muda jadi kita tidak menolak kemungkinan dia juga berpeluang untuk mewakili BN pada pilihan raya kecil ini apatah lagi dia adalah dari kawasan ini," ujar seorang exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia ketika dihubungi.

Mugilan dikatakan calon popular kerana beliau merupakan anak tempatan kelahiran Ladang Kerling.

Ahad lepas, Pergerakan Pemuda BN sendiri mengadakan pertemuan di Hulu Selangor sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil ini.

Namun begitu spekulasi mengenai senarai calon BN tidak terhenti setakat itu sahaja. Turut disebut-sebut ialah Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor, K. Balasundram; Setiausaha Agung MIC, S. Murugesan; Anggota Jawatankuasa MIC Hulu Selangor, K. Arunasalam; Ketua Penerangan MIC kebangsaan, P. Kamalanathan malah bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam turut tidak terlepas daripada menjadi bahan spekulasi.

Bagaimanapun Kamalanathan menyifatkan spekulasi berkenaan adalah perkara biasa dalam proses pemilihan calon.

"Memang ada banyak spekulasi tentang nama-nama yang akan bertanding, itu perkara biasa.Tapi pada asasnya, berdasarkan maklumat yang dimaklumkan oleh Presiden MIC (Datuk Seri S. Samy Vellu) parti kami hanya akan mencadangkan satu nama sahaja kepada pucuk pimpinan BN iaitu Datuk G. Palanivel," katanya kepada mStar Online.

Namun katanya, MIC menyerahkan sepenuhnya kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk membuat keputusan muktamad mengenai calon BN.

Jelasnya MIC akan akur kepada apa jua keputusan yang bakal diputuskan Najib demi kepentingan parti dan rakyat.

"MIC calonkan Datuk G. Palanivel, tapi kami juga bersedia menerima siapa sahaja calon yang akan diputuskan oleh Perdana Menteri.

"Apa yang penting calon BN mesti menang... spekulasi adalah pandangan umum orang ramai semata-mata," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan wujudnya tekanan daripada sayap pemuda agar calon dari kalangan mereka diberikan peluang serta kepercayaan bagi menguji kemampuan mereka di kerusi Parlimen Hulu Selangor, Kamalanathan berkata: "Golongan muda akan dapat peluang nanti, parti dah sedia untuk ketengahkan golongan muda pada pilihan raya umum yang ke-13 nanti.Jangan bimbang, mereka akan diberi peluang nanti."

Para pemerhati melihat, pemilihan wakil MIC sebagai calon di Hulu Selangor mampu merungkai banyak perkara bagi BN.

Pertama, ia mampu mengukur sejauh mana parti yang mewakili kaum India itu masih releven serta masih mempunyai taring bagi terus bergandingan dengan rakan komponen lain dalam BN untuk berkhidmat kepada rakyat.

Kedua, sama ada MIC sendiri sudah pulih sepenuhnya daripada sindrom ditolak rakyat ataupun masih tercari-cari hala tuju mereka dalam arena politik negara akan dapat diketahui dalam pilihan raya kecil ini.

Selain itu, ia juga sebenarnya boleh menjadi medan kepada BN secara keseluruhan untuk menguji tahap penerimaan rakyat kepada parti pemerintah itu terutamanya di negeri Selangor yang terlepas ke tangan pembangkang pada Mac 2008.

Walau apapun, harus diingat, trend pengundian pada setiap pilihan raya kecil adalah berdasarkan kepada faktor calon berbanding parti itu sendiri.

Jika calon itu dipilih berdasarkan 'denyut nadi' rakyat, apa jua lambang yang diwakili mereka pasti akan menjadi pilihan.

Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Daripada jumlah itu, 34,020 orang atau 52.7 peratus adalah pengundi Melayu, manakala pengundi Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus pengundi.

Pada asasnya, Hulu Selangor adalah kubu kuat BN. Bagaimanapun, ia tercalar pada pilihan raya lepas apabila Palanivel tewas di tangan Allahyarham Dr Zainal Abidin.

Namun kemenangan pembangkang di kawasan berkenaan bukanlah kemenangan mutlak kerana tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Selangor dimenangi BN iaitu Hulu Bernam (majoriti 3,459 undi - Umno), Batang Kali (2,179 undi - Umno) dan Kuala Kubu Bahru (448 undi - MCA).


mStar

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails