Monday, April 12, 2010

P094 : Calon Hulu Selangor - BN & PR dalam dilema...

Palanivel sebelum ini telah menyebabkan parlimen Hulu Selangor terkenal dengan beberapa isu antaranya projek perumahan terbengkalai, peneroka Felda terabai dan ramainya golongan belia tidak berpekerjaan serta permasalahan parit dan banjir. Kuil Hindu Sri Sithi Vinayagar juga terbengkalai sejak 2007


Wan Nik Wan Yussof

Barisan Nasional (BN) telah menetapkan calon dari parti India (MIC) bakal bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor bermula 17-25 April nanti. Demikianlah jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib selaku Pengerusi BN.

Jaminan itu dianggap selari dengan tradisi kuota kerusi yang bakal meneruskan cabaran di bahagian pilihan raya campuran yang majoriti pengundi Melayu mewakili Barisan Nasional (BN). Ia adalah suatu keputusan yang diumumkan Mohd Najib pada Konvensyen BN Selangor di Shah Alam, 7 April lalu. Ia satu konvensyen BN yang dianggap sebagai konvensyen Umno oleh komponen BN sendiri berikutan dominasi Umno sepanjang penganjurannya.

Sudah pasti ia mengecewakan Datuk Ramli Abd Rahman, bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor merupakan orang kuat Tan Sri Muhammad Mohd Taib, mantan Menteri Besar Selangor. Ini kerana Ramli (dalam mStar.com, 3 April) penah membuat kenyataan media yang meminta supaya kerusi parlimen Hulu Selangor dikembalikan ke pangkuan Umno selepas hampir 51 tahun 'diserahkan' kepada MCA dan MIC. Mungkin pendirian Ramli itu selari dengan kehendak 53 peratus pengundi Melayu di parlimen pedalaman negeri Selangor itu.

Bagi BN, kata putus kuota calon parlimen Hulu Selangor adalah kepada parti MIC dilihat sebagai penyelamat maruah MIC khususnya Presiden MIC, Samy Vellu. Ini kerana Samy sejak awal lagi menegaskan calon dari parti MIC akan bertanding mewakili BN. Sebagaimana lapor MyKMU.net (5 April), Presiden MIC, Datu Seri Samy Vellu tetap mahukan timbalan beliau, Datuk G Palanievel bertanding di situ.

Ekoran keputusan Presiden BN menetapkan calon parti MIC sebagai calon, Umno Bahagian Hulu Selangor dilihat patuh. Kenyataannya, Umno Hulu Selangor (seperti dilapor Malaysiakini.com, 9 April) telah menamakan Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor, V. Mugilan sebagai calon mewakil BN. Sikap itu boleh dianggap sebagai membantu Presiden MIC dalam mengenal pasti calon yang terbaik sekiranya Presiden MIC tidak memilih Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel.

Pun begitu, tindakan Umno Hulu Selangor itu adalah membuktikan strategi bersetuju menjadi pilihan secara terpaksa kerana realiti politik di paras bawahan (terutama pemimpin Umno cawangan) dilihat kecewa dan terpaksa bersetuju. Apa pun, mesej penting dari Umno Hulu Selangor itu ialah mereka boleh bersetuju sesiapa sahaja menjadi calon, tetapi terpampang sikap tidak bersetuju terhadap Datuk G. Palanivel sebagai calon. Jelasnya, mereka mahukan perubahan yang menjurus kepada calon yang lebih muda dan kalangan pemimpin lokal. Mungkin Umno di Hulu Selangor telah serik dengan perkhimatan Palanivel yang sudah empat penggal (1990-2004) mewakili mereka.

Maka, pemerhati politik melihat penentuan calon BN di Hulu Selangor bertaraf rumit dan mungkin mendatangkan masalah. Justeru itu, pandangan ahli politik vateren Umno, Datuk Abdullah Ahmad (dalam kolum Sinar Harian, 11 April) boleh dipertimbangkan. Menurut Abdullah, “kalaulah saya berpengaruh, saya akan menggesa Perdana Menteri Najib Tun Razak untuk melihat jauh ke depan: mencalonkan seorang muda yang berpotensi, muka baru yang belum ada ‘kudis’ lagi walaupun belum teruji…”

Mungkin Abdullah berpandangan begitu kerana melihat Palanivel sebelum ini gagal memikul amanah rakyat sehingga parlimen Hulu Selangor terkenal dengan beberapa isu keterbelakang dari segi pembangunan. Kesannya, di ketiga-tiga bahagian dewan negeri adalahcpaling sarat dengan projek perumahan terbengkalai, peneroka Felda terabai dan ramainya golongan belia tidak berpekerjaan serta permasalahan parit dan banjir. Di samping tinjauan dibuat (The Sun, 12 April) juga mendapati kuil Hindu Sri Sithi Vinayagar yang terbengkalai sejak 2007 dan tiadanya pusat beli belah bertaraf hypermarket.

Bagi pihak Pakatan Rakyat pula, calon yang bakal dipilih adalah dari parti KeADILan. Ia sesuai dengan prinsip pematuhan kepada kuota parti bertanding yang dicapai ketika pilihan raya umum 2008 lalu. Namun, melihat kepada senario pilihan raya kecil Bagan Pinang pada Oktober 2009 lalu, Pakatan Rakyat perlu cermat dan mengambil kira kehendak pengundi tempatan. Ini kerana kemerosotan besar undi ketika itu disebabkan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat tidak selari dengan aspirasi setempat berbanding Barisan Nasional yang mencalonkan Tan Sri Isa Samad, tokoh yang dianggap rapat dengan rakyat. Apakah KeADILan akan mengambil model Bagan Pinang atau Permatang Pauh untuk menampilkan calon?

Apapun, isu calon hendaklah dilihat sebagai sebahagian daripada factor kemenangan. Bagi KeADILan dan Umno isu calon pasti dilihat sebagai faktor pertama untuk meraih sokongan oengundi Hulu Selangor. Meskipun di sana sarat dengan isu dan permasalahan rakyat yang perlu diurus, tetapi petanda kepada berkeupayaan atau tidak untuk menang ada kaitan erat dengan siapa calon yang bakal dipilih nanti. Apabila calonnya tepat pada hemat parti dan rakyat, sudah pasti ia akan mempengaruhi mood dan rentak kempen dan pengundian.

Segala-galanya akan terjawab nanti. Sekiraya tiada apa-apa halangan bagi Pakatan Rakyat akan mengumumkan calonnya pada 13 April dan Barisan Nasional 15 April. Kedua-duanya akan pasti sebaik selesainya proses pencalonan bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor pada jam 11 pagi, 17 April nanti.


Harakah Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails