Thursday, April 15, 2010

P094 : Akan terkencingkah Muhyiddin hari ini?

Samy Vellu akan memberi kata dua atau mengertak Muhyiddin hari ini.. samada meletakkan Palanivel sebagai calon atau MIC akan tarik diri daripada bertanding dan biarkan Umno saja meletakkan calonnya.

Ala... cakap saja si Samy tu.. Selepas jumpa Muhyiddin nanti diamlah dia.. Gempar saja lebih tu..


Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 15 April — Presiden MIC akan mengadakan pertemuan ‘terakhir’ dengan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini dengan membawa ‘kata dua’ diputuskan dalam mesyuarat tergempar MIC malam tadi — formula menyelesaikan kemelut berkaitan calon pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Datuk Seri S. Samy Vellu akan kembali ke Putrajaya untuk menegaskan agar BN menerima nama tunggal yang disyorkan — timbalan beliau Datuk G. Palanivel untuk diturunkan semula, dan jika tidak MIC akan tarik diri daripada bertanding dan biarkan Umno saja meletakkan calonnya.

Pertemuan Muhyiddin-Samy Vellu berlangsung kira-kira lapan jam sebelum BN dijadual mengumumkan bakal calonnya di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Keputusan itu dicapai selepas Samy Vellu dikatakan menjelaskan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dengan panjang lebar hasil pertemuan bersemuka dan komunikasi surat-menyurat antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga Muhyiddin beberapa kali sejak kerusi Hulu Selangor kosong.

Muhyiddin telah diberi amanat untuk mengumumkan calon BN kira-kira 4 petang ini tetapi kedua-dua Umno-MIC berhadapan dengan jalan buntu berhubung soal pemilihan calon.

Pendirian keras ini, yang dilihat akan menjadi ujian pahit kepada hubungan antara MIC dalam BN khususnya membabitkan Umno-MIC, diputuskan dalam mesyuarat tergempar yang bersejarah CWC malam tadi.

MIC tidak pernah mengadakan pertemuan khas seperti ini dalam sejarah 60 tahun penubuhannya, lebih-lebih lagi pada waktu malam dan beberapa jam menjelang saat pengumuman calon untuk membuat pendirian protesnya.

Mesyuarat tergempar diadakan lebih sejam bermula pukul 10 malam tadi untuk menyatakan pendirian ekoran protes daripada ahli-ahli MIC dari seluruh negara.

The Malaysian Insider difahamkan Samy Vellu yang sepatutnya mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin semalam, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Prsiden Umno semalam, akan berbuat demikian kira-kira pukul 8.30 pagi ini.

Pertemuan mereka ditangguhkan dua kali dipercayai kerana jadual ketat Muhyiddin.

“Datuk Seri Samy akan menyampaikan keputusan yang sukar ini kepada Tan Sri Muhyiddin... kedua-dua mereka sepatutnya bertemu semalam, tetapi ditangguhkan dua kali dan akan bertemu pagi ini,” katanya.

“Perkara ini tidak pernah berlaku dalam MIC tetapi ini yang diputuskan oleh CWC malam tadi iaitu sama ada terima nama Palanivel ataupun kami tidak mahu bertanding di Hulu Selangor kali ini, biar Umno meletakkan calon,” kata seorang anggota CWC kepada The Malaysian Insider.

Majoriti CWC yang hadir bersetuju dengan keputusan ini.

Tiada nama lain diputuskan dalam pertemuan CWC malam tadi.

The Malaysian Insider difahamkan ada anggota CWc yang berpendapat MIC sewajarnya menerima keputusan muktamad Najib selaku Pengerusi BN.

Mesyuarat tergempar itu juga kata sumber itu, memutuskan MIC tidak akan menerima nama lain selain daripada Palanivel.

“Jika ada mana-mana ahli MIC yang menerima tawaran untuk bertanding mewakili MIC akan dipecat dari parti dengan serta-merta... jadi bermakna sehingga kini hanya satu nama yang diserahkan oleh MIC dan ahli atau pemimpin lain tidak boleh menerima tiket bagi pihak MIC,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada keputusan itu seolah-olah mengugut kepimpinan BN, pemimpin itu memberitahu, “ia bukan satu bentuk ugutan tetapi pendirian tegas mempertahankan maruah MIC.”

Akhir bulan lalu Samy Vellu mengemukakan nama Palanivel, bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor dari 1990 hingga 2008, untuk bertanding semula dalam pilihan raya kecil kerusi itu.

Bagaimanapun Palanivel, yang juga Pengerusi MIC Selangor dan Ketua MIC Hulu Selangor tidak mendapat sokongan padu akar umbi untuk dicalonkan semula.

Sebaliknya nama-nama lain muncul, antaranya paling popular ialah V. Mugilan iaitu Timbalan Ketua Pemuda MIC pusat dan Ketua Pemuda Hulu Selangor.

Difahamkan nama beliau dibawa ke perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menyebabkan perkembangan itu menyinggung Samy Vellu.

Mugilan yang disifatkan sebagai “proksi Umno” kini berhadapan dengan keputusan dipecat dari MIC hari ini.

Nama Mugilan dikemukakan kepada kepimpinan BN hasil pungutan suara dijalankan oleh badan-badan rasmi dan bukan rasmi dilantik Umno dan BN.

Justeru, nasib beliau dijangka akan diputuskan pukul 10 pagi ini selepas pertemuan Samy Vellu dengan Muhyiddin.

Tengah malam tadi Samy Vellu memberitahu pemberita bahawa Mugilan mengetuai senarai mereka yang bakal dikenakan tindakan disiplin.

“Sesiapa yang bertindak bertentangan dengan kepentingan parti... mahu mencuri kerusi dari MIC akan diambil tindakan.

“Berada dalam senarai teratas ialah Mugilan,” kata Samy Vellu.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails