Monday, April 12, 2010

MIC Mesti menang!

Bukanlah menjadi satu rahsia lagi bahawa MIC telah mencalonkan Datuk G.Palanivel sekali lagi untuk kerusi itu tetapi sebagaimana kata PM, yang menentukannya ialah beliau. Walaupun Samy Vellu tidak mencalonkan nama lain selain Palanivel, difahamkan dua nama lain turut menjadi perhatian Aras 4 Seri Perdana.


ANALISIS MSTAR Oleh B. ANBUMANI

MALAYSIAN Indian Congress ataupun MIC yang ditubuhkan pada tahun 1946 kini sudah menjangkau usia 64 tahun. Perjuangan politik dan sumbangan MIC dalam turut sama membangunkan negara tidak dapat dinafikan.

Namun MIC kini dilihat macam sudah kehilangan taringnya selepas pilihanraya umum ke 12 (Mac 2008) selepas ramai pemimpin utama mereka tersungkur.

Kekalahan Presidenya Datuk Seri S. Samy Vellu, Timbalanya Datuk G.Palanivel, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan ramai lagi telah meletakkan MIC dalam situasi yang cukup kritikal dan tidak pernah ia lalui sepanjang sejarah kewujudannya.

Malah MIC turut menerima tamparan yang kuat selepas gerakan pertubuhan Hindraf mula mendapat sambutan yang luar biasa dikalangan masyarakat India – ketika PRU yang ke-12.

MIC kalah enam kerusi parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU 2008. Tapi Samy Vellu begitu optimis masyarakat India sudah menerima balik MIC dalam tempoh dua tahun ini. Itu pandangan Samy, tapi diluar sana MIC masih lagi menjadi sasaran pelbagai pihak.

Selepas PRU 2008, dalam tempoh dua tahun ini persoalan sama ada MIC masih relevan masih lagi dilontarkan oleh kumpulan tertentu yang dilihat cuba memperlekehkan kuasa parti tersebut. Selepas kecundang di pilihanraya kecil Bukit Selambau, MIC kini mendapat satu lagi peluang untuk menebus semula maruah mereka di pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April ini. Penamaan calon pada 17 April.

Umno dan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah bersedia untuk berganding bahu bersama MIC untuk merampas semula kawasan tersebut yang kini “ ditakluk” oleh PKR pada PRU 2008 menerusi kemenangan tipis 198 undi.

Dari segi sejarahnya Parlimen Hulu Selangor merupakan kubu kuat BN sejak 1955, namun kegagalan Palanivel untuk mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal yang kelima telah meletakkan dirinya dan juga MIC dalam keadaan yang meruncingkan. Itulah sebabnya kerusi tersebut mula dituntut oleh Umno kerana mereka merasakan “kemenangan pasti milik mereka” sekiranya di beri peluang bertanding.

Hujah dan pandangan Umno ada kewajarannya kerana tiga daripada dua kerusi Dewan Undangan Negeri di Parlimen Hulu Selangor – Hulu Bernam dan Batang Kali dimenangi oleh Umno dengan majoriti yang besar pada PRU 2008. Manakala DUN Kuala Kubu Bharu pula dimenangi oleh MCA dengan majoriti yang tipis.

Namun, setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan secara rasmi MIC akan bertanding di Hulu Selangor semua parti komponen termasuk Umno, MCA, PPP dan Gerakan sudah mula turun padang untuk memastikan kemenangan calon BN dan MIC. Malah mereka dilihat sudah mula berkampung disana sejak dua minggu lepas.

Masing–masing dilihat begitu bersemangat sekali setelah mendengar amanat Najib Tun Razak yang juga Pengerusi UMNO dan BN Selangor ketika di Konvensyen BN Selangor baru–baru ini. Tapi mereka mahukan calon yang “ berjiwa rakyat “ dan “ disenangi” oleh rakyat Hulu Selangor.

Kini segala tumpuan tertumpu ke arah bakal calon yang akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 April ini. Muhyiddin telahpun memberi indikasi awal bahawa calonnya adalah anak tempatan yang bermastautin di Hulu Selangor - sekaligus menimbulkan teka-teki sama ada Palanivel akan tersenarai atau tidak. Ini kerana Palanivel tidak bermastautin di Hulu Selangor.

Yang bermastautin di sana ialah Naib Ketua Pemuda MIC Pusat, V. Mugilan. Satu lagi nama yang disebut-sebut kini ialah P. Kamalanathan, iaitu Ketua Penerangan MIC Pusat.

Memang tidak dinafikan sama sekali faktor calon merupakan formula penting bagi BN sekiranya mahu menawan parlimen Hulu Selangor.

Perdana Menteri telah memberikan amaran supaya jangan asyik khusyuk bercerita pasal bakal calon. “Berikan kuasa memilih calon kepada saya. Saya mahu semua pihak berhenti bercakap pasal calon. Buat kerja masing–masing. Jangan malas...” kata PM dalam nada yang cukup serius ketika berucap di hadapan pemimpin–pemimpin BN Selangor di Konvensyen BN Selangor minggu lalu.

Bukanlah menjadi satu rahsia lagi bahawa MIC telah mencalonkan Datuk G.Palanivel sekali lagi untuk kerusi itu tetapi sebagaimana kata PM, yang menentukannya ialah beliau. Walaupun Samy Vellu tidak mencalonkan nama lain selain Palanivel, difahamkan dua nama lain turut menjadi perhatian Aras 4 Seri Perdana.

Mugilan, 35, merupakan anak watan Hulu Selangor manakala Kamalanathan 44, pula berasal dari Kuala Lumpur tapi menetap di Rawang.

Mugilan menang jawatan Naib Ketua Pemuda MIC pusat setelah menewaskan ADUN Kahang R. Vidyananthan pada pemilihan MIC tahun lepas. Manakala Kamalanathan pula dilantik oleh Samy Vellu sebagai Ketua Penerangan MIC.

Di sebalik pelbagai spekulasi ini, Palanivel, 61, beryakinan yang beliau akan diberi peluang sekali lagi untuk merampas kerusi tersebut memandangkan parlimen tersebut sudah sebati dengan dirinya sejak 1990 hingga 2008. Walaupun ada pelbagai persepsi mengenai dirinya sejak tewas pada 2008, beliau yakin kali ini landskap politik Hulu Selangor sudah berubah. Tetapi pengumuman Timbalan Perdana Menteri pagi Isnin telah mengubah semua senario ini.

Palanivel yang juga merupakan Ketua MIC Bahagian Hulu Selangor dan Pengerusi MIC Selangor mendapat sokongan padu dikalangan ahli – ahli MIC di Hulu Selangor termasuk dari pergerakan Pemuda, Wanita , Puteri dan Putera MIC pusat untuk dicalonkan semula di Hulu Selangor.

Rekod cemerlang Palanivel di Hulu Selangor berjaya dileburkan oleh Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin dengan mendapat 23, 177 undi manakala Palanivel mendapat 22, 979 undi. Sudah pasti rekod cemerlangnya selama empat penggal sukar dijadikan “ kajian ataupun panduan” di Hulu Selangor kerana landskap politik negara telah berubah setelah negara dikejutkan dengan Tsunami PRU 2008.

Apapun sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor sejak 1990 hingga 2008 sebelum kecundang pada PRU 2008 , berdasarkan rekod perkhidmatanya selama 18 tahun, MIC pusat melihat Palanivel sudah tentu boleh bangkit semula di kawasannya sendiri sekiranya jasanya serta baktinya masih dikenang oleh para pengundi. Di mana – mana kawasan Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN), rakyat sukar menolak wakil rakyat mereka sekiranya calon tersebut telah menjiwai hati mereka.

Palani juga perlu sedar penentangan terhadap dirinya datang dari mana dan mencari punca sebenar kekalahanya pada PRU 2008. Isu – isu seperti pemilikan tanah, pembangunan sekolah tamil , pembangunan di Hulu Selangor , projek terbengkalai,masalah kerajaan tempatan dan isu kemiskinan luar bandar antara isu – isu yang perlu ditangani segera. Beliau kena berani berdepan dengan isu–isu yang ditimbulkan oleh rakyat ketika berkempen sekiranya terpilih nanti. Kalau rekod empat penggal lepas menjadi pertaruhan Palanivel, beliau tak perlu risau sekiranya dicalonkan semula. Tetapi kenapa pula ada tekanan yang kuat terhadap dirinya? Apakah sudah ada perang psikologi terhadap Palanivel ataupun ada usaha untuk menjatuhkanya? Inilah antara persoalan cepu mas yang menjadi tajuk perbualan hangat dikalangan ahli–ahli parti ketika ini.

Ada juga berpandangan, sebagai orang no 2 dalam MIC beliau perlu keluar dari bayang–bayang Samy Vellu sekiranya mahu dilihat seorang pemimpin yang berkalibar.

Namun begitu pada masa yang sama, ramai juga yang berpandangan BN perlu menampilkan calon berwibawa untuk menandingi kekuatan Pakatan Rakyat yang dijangka akan menurunkan calon yang terbaik dikalangan mereka. Antara nama yang paling kuat disebut ialah bekas Menteri kabinet yang kontroversi, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagi BN pula calon yang akan terpilih nanti, bukan sahaja akan membawa bendera MIC tetapi turut membawa bendera BN. Justeru itulah, calon BN perlu mesra rakyat dan jangan terlalu ikut “ stail” lama. Penampilan diri merupakan antara elemen penting yang perlu diutamakan oleh calon yang terpilih nanti. Jangan terlalu ikut kepada kemahuan dan kehendak diri sendiri.


B.Anbumani ialah Perunding Media dan Pemerhati Politik

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails