Friday, April 2, 2010

P094 : Peringatan Buat PKR/PR!!

Kebanyakkan pemimpin PR telah menyatakan peluang untuk mempertahankan kerusi Hulu Kelang ialah 50/50, jadi jika tiada tindakan yang diambil untuk mengubah peratusan ini menjadi lebih tinggi memihak kepada PR pasti kerusi ini akan terlepas kepada BN.

Selain dari ceramah-ceramah yang telah dimulakan apakah gerak kerja lain yang dilakukan oleh PR untuk memenangi hati pngundi..

Dan pihak UMNO telah menggunakan isu pembatalan pembinaan UITM dan isu tanah YBK sebaik mungkin menjelang PRK ini tetapi hinga ke hari ini kita masih tidak mendengar pendedahan fakta sebenar isu YBK dan UITM oleh pihak kerajaan Negeri Selangor..

Adakah Tan Sri Khalid dan seluruh pimpinan PR Selangor masih lena dibuai mimpi?



Peluang memihak BN tawan semula Hulu Selangor?

Oleh G. Manimaran, Neville Spykerman dan Yow Hong Chieh

KUALA LUMPUR, 2 April — Barisan Nasional (BN) rata-rata dipercayai boleh menguasai semula kubu kuatnya — kerusi Parlimen Hulu Selangor — jika meletakkan calon selain Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, demikian hasil tinjauan umum kendalian The Malaysian Insider baru-baru ini.

Malah, The Malaysian Insider juga mendapati pengundi-pengundi Melayu sedia menerima sesiapa sahaja calon BN dan akan mengundi wakil MIC, tetapi pengundi kalangan masyarakat India, yang mewakili 19 peratus daripada 60,000 pemilih berdaftar, tidak “gembira” idea agar Palanivel bertanding semula di Hulu Selangor meskipun MIC menamakan beliau.

Samy Vellu telah menamakan semula Palanivel atas dasar kedudukan nombor dua beliau dalam parti.

Setakat ini hanya satu nama yang telah diserahkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak oleh MIC.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil ini di Putrajaya, pagi ini.

Selain MIC, kerusi Hulu Selangor pernah ditandingi wakil MCA.

BN menganggap Hulu Selangor sebagai kubu kuat mereka dan tidak pernah tewas dalam mana-mana pilihan raya umum di kawasan tersebut.

“Saya rasa bukan Palanivel,” kata seorang pemilik kedai gunting rambut, A. Rao ketika ditemui di kawasan Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Palanivel merupakan Ahli Parlimen Hulu Selangor sejak 1990 tetapi tewas pada Mac 2008 dengan perbezaan tipis 198 undi kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, wakil Parti Keadilan Rakyat.

Pada pilihan raya umum 2004 beliau merupakan antara wakil rakyat mendapat undi terbanyak di Selangor.

Malangnya BN memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi tewas di peringkat Parlimen.

Pandangan Rao itu menunjukkan dia sebahagian daripada pengundi tempatan mengharapkan muka baru atas alasan bekas wakil rakyat itu jarang dilihat di kawasannya.

Kata Rao, kebanyakan pelanggannya sama ada pengundi India, Cina atau Melayu merupakan penyokong BN.

Sentimen beliau turut dikongsi oleh seorang lagi pemilih dari Kuala Kubu Bharu, M.K. Sekaran yang terlibat dalam perkhidmatan restoran.

Premisnya tidak jauh dari pusat perkhidmatan Palanivel tetapi pandangannya agak memeranjatkan walaupun timbalan presiden MIC itu terus-menerus turun kawasan meskipun tewas 8 Mac.

Ahli MIC itu telah mengundi di kawasan Hulu Selangor sejak tahun 1964 tetapi melahirkan kekecewaan dengan kepimpinan Palanivel.

Kekecewaan beliau lebih bersifat parti berbanding dengan masalah peringkat BN.

Sementara itu, seorang lagi pengundi S. Shanmugam bersetuju dengan pandangan kedua-dua pemilih tadi.

Katanya, dia bukan sahaja kecewa dengan Palanivel, malah dengan prestasi BN pada keseluruhannya.

“Saya telah mengundi dalam lima pilihan raya umum termasuk yang terakhir dua tahun lalu tetapi saya mendapati Pakatan Rakyat ada membawa lebih banyak perubahan dalam dua tahun lalu,” kata Shanmugam yang membayangkan dia sebenarnya merupakan penyokong “tegar” BN.

Tidak jauh dari tempat dia ditemui The Malaysian Insider Umno telah mengadakan program Juara Rakyat awal Januari lalu.

Pengundi ini berkata dia di antara beribu-ribu yang hadir untuk mendengar ucapan Najib selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri.

“Saya hadir dan dengar apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri,” katanya yang tinggal di Taman Bukit Terajai dengan mengharapkan wakil rakyat akan melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Sehingga awal 1990, wakil rakyat kawasan ini buat yang terbaik tetapi selepas itu tidak,” katanya.

Sehubungan itu, pesara dari Bukit Beruntung ini juga merasakan PR mempunyai peluang untuk mengekalkan kerusi Parlimen itu.

Bagaimanapun menurut Norlina Mohd Noor, kegagalan Palanivel kepada Zainal dua tahun lalu merupakan sesuatu yang tidak disangka sama sekali.

Suri rumah berusia 44 tahun ini dan ahli Umno dari Bukit Beruntung ini mendakwa ramai pengundi tidak dapat membezakan antara Allahyarham Zainal dengan bekas ADUN Batang Kali Datuk Zainal Abidin Sakom yang kini merupakan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor.

“Kebanyakan pengundi merupakan orang tua dan mereka terkeliru di antara dua nama Zainal ini,” katanya.

Katanya, ahli-ahli Umno tiada masalah untuk mengundi mana-mana calon dari MIC-BN walaupun ada usaha untuk meletakkan wakil Umno di kerusi tersebut.

Katanya, ia hanya merupakan cadangan daripada Umno tetapi Umno akan tetap menghormati prinsip asal perkongsian kawasan.

Ketika ditemui bersama suaminya semasa menikmati sarapan pagi di sebuah restotan di Bandar Sentosa, Norlina berkata BN memenangi kesemua tiga kerusi Kuala Kubu Bharu (MCA), Hulu Bernam (Umno) dan Batang Kali (Umno) pada 2008.

“Tetapi kalah di kerusi Parlimen, saya dengar kerana ramai terkeliru... mereka ingat Zainal Sakom,” katanya.

Suaminya, Rusli Muhammad, 49 memberitahu pemimpin pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak popular di kawasan itu.

“Saya tidak percaya beliau,” kata bekas staf Tentera Udara Diraja Malaysia.

Seorang kontraktor Ferdaus Sulan, 44, berkata, dia lebih berminat jika kerusi itu dikembalikan kepada Umno dengan meletakkan bekas naib presiden dan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Katanya, langkah itu sesuai memandangkan majoriti merupakan pengundi Melayu.

“Tetapi jika MIC bertanding, kami akan memberikan sokongan,” kata penyokong Umno ini.

Mengenai peluang BN, dia beliau, “saya meletakkan 60 peratus kepada BN.”

“Daripada 10 orang ditemui, enam masih memihak kepada BN,” kata beliau sambil menambah ada kesan ekoran program Juara Rakyat.

Ubim Ahmad dari Kelantan tetapi kini tinggal Bukit Beruntung berkata, pengundi-pengundi kemungkinan besar akan mengembalikan BN dalam pilihan raya kecil ini.

“PAS atau PKR kemungkinan ada penyokong tetapi tidak cukup... Saya fikir pengundi kepada status asal iaitu memilih BN,” katanya.

Bagaimanapun pengundi-pengundi Cina yang ditemui kebanyakannya belum membuat keputusan sama ada menyokong BN ataupun PR.

Eddy Shee, 36, dari Bukit Sentosa berkata BN kelihatan menikmati sokongan terbanyak tetapi tidak bermakna ia boleh menang.

“Itu bukan kesnya... rakyat akan mengundi calon yang boleh memberi jaminan akan membawa pembangunan di kawasan itu,” kata Shee yang menyediakan perkhidmatan pendawaian di ibu negara tetapi tinggal di Hulu Selangor.

Di Kuala Kubu Bharu, Cheng Ming Chee memberitahu komuniti Cina menyokong penuh kerajaan negeri kepimpinan PR.

Pemilik kedai telefon ini memberitahu penduduk Kampung Baru Asam Kumbang telah menerima kebenaran daripada kerajaan negeri untuk terus tinggal selama 60 tahun akan datang.

Kampung itu mempunyai lebih 400 rumah dengan lebih daripada dua pertiga telah menerima kelulusan kerajaan negeri.

“Selama ini MCA (yang menang kerusi Kuala Kubu Bharu) tidak melakukan apa-apa. Nampaknya ada perubahan di bawah kerajaan negeri,” kata Low Chee Keong, 53.

Adiknya, Low Chee Chuan, 46, yang memiliki kedai emas di Hulu Selangor memberitahu tiada masalah besar di Kuala Kubu Bharu dan gembira dengan kerajaan negeri.

“Tiada masalah. Saya boleh bersara di di sini,” katanya lagi.

Seramai 53.9 peratus daripada 60,000 pemilih di Hulu Selangor merupakan orang Melayu manakala pengundi Cina terdiri daripada 26.7 peratus manakala India dalam lingkungan 19 peratus dan lain-lain 0.41 peratus.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails