Thursday, April 29, 2010

Kes Aminulrashid : Kerajaan perlu Minta Maaf

KUALA LUMPUR, 29 April: Kerajaan digesa memohon maaf secara terbuka kepada keluarga arwah Aminulrasyid Hamzah, 15 ekoran kenyataan pihak polis yang mendakwa remaja adalah suspek geng samun.

Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Kementerian Dalam Negeri harus bertanggungjawab terhadap kenyataan pihak polis tersebut kerana telah mencemarkan imej mangsa dan keluarganya.

"Walau apa pun keputusan kabinet semalam, nama arwah dan keluarganya sudah tercemar, kononnya arwah ditembak sebab dia geng penyamun.

"Menteri Dalam Negeri sekurang-kurangnya kena minta maaf mewakili Polis kerana mengfitnah arwah sekeluarga," jelas beliau kepada Harakahdaily pagi tadi.

Menurutnya, tindakan menyuarakan rasa simpati seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Noh Omar, adalah tidak memadai.

Tambahnya lagi, Noh selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor merangkap Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani sepatutnya boleh mendesak kerajaan secara tegas supaya arwah sekeluarga mendapat pembelaan.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoal layanan istimewa kerajaan terhadap kesemua empat anggota polis yang disyaki membunuh remaja terbabit.

"Kalau yang membunuh ini orang adalah orang awam atau saya sendiri, tentu akan direman Polis beberapa hari."

"Tetapi, saspek adalah anggota dan mungkin sebab itu mereka dilayan istimewa hanya ditukarkan ke kawasan yang lain serta merta," ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut mendesak Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar supaya bersikap adil kepada keluarga arwah.

Dalam pada itu, beliau mewakili PAS menawarkan khidmat bantuan guaman kepada keluarga arwah, walaupun keluarga dilaporkan telah melantik seorang peguam, kelmarin.

Apa yang dilakukan PAS, menurut Mahfuz, demi memastikan remaja terbabit mendapat pembelaan dan keadilan yang sewajarnya dari kerajaan.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails