Tuesday, April 27, 2010

Kemenangan yang tak perlu dibanggakan


Sebaik keputusan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor diumumkan, kalungan tahniah dan puji-pujian melimpah sesama pemimpin Barisan Nasional. Namun jika diteliti, kemenangan oleh P Kamalanathan itu bukan sesuatu yang membanggakan.

Majoriti yang diperolehinya adalah 1,725 undi dan jika undi pos sebanyak 627 yang terdiri daripada anggota keselamatan yang lazimnya berpihak kepada BN diketepikan, BN cuma mendapat majoriti 1,078.

Jumlah itu agak jauh lebih kecil daripada jumlah undi 6,176 yang dimenangi oleh BN di tiga kerusi dewan undangan negeri yang terletak di parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Ini menjelaskan mengapa Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pengundian begitu yakin Kalamanathan mampu menang dengan sekurang-kurangnya majoriti 6,000 undi.

'Undi pecah'

Pada pilihan raya umum yang lalu, pengundi memberikan undi mereka kepada PKR pada peringkat persekutuan tetapi bagi kerusi negeri, mereka memilih BN.

Antara faktor yang mempengaruhi trend pengundian ketika itu adalah kerana rakyat di Hulu Selangor, khususnya masyarakat Melayu dikatakan cukup tidak berpuas hati dengan G Palanivel dari MIC yang memegang kerusi parlimen berkenaan dari 1990 hingga 2008.

Sebelum ini, MIC berkeras mahukan timbalan presiden mereka sekali bertanding di Hulu Selangor, namun akar umbi, Umno menentang keputusan itu.

Tindakan itu menyaksikan BN kali ini meletakkan muka baru dengan mengetengahkan Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan.

Selain calon muka baru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mengumpan penduduk Hulu Selangor dengan pelbagai janji dan sogokan.

Dua yang paling ketara ialah peruntukkan RM3 juta untuk SRJK (C) Rasa dan RM5 juta sebagai bayaran pampasan peneroka Felda Sungai Buaya. Namun umpan itu dengan syarat jika BN memenangi kerusi Hulu Selangor.

Di sebalik semua itu, BN masih gagal mengubah trend pengundian kerana majoriti yang diperolehi mereka pada Ahad lalu masih kekurangan 4,451 daripada apa yang sepatutnya dikumpul daripada tiga kerusi negeri pada pemilihan 2008.

Majoriti yang dimenangi BN hanya mewakili 3.5 peratus daripada jumlah undi yang dibuang dan dianggap antara yang paling rendah. Lazimnya majoriti BN berlegar melebihi paras 8,000 undi sejak 1990.

Justeru, Hulu Selangor tidak lagi boleh dikatakan kubu kuat BN.

Najib yang menyedari hakikat berkenaan, cuba mengelak soalan wartawan apabila ditanya sama ada keputusan pilihan raya itu adalah bukti rakyat menyokong agenda pembaharuannya.

Sebelum ini, Najib dilaporkan berkata pilihan raya kecil Hulu Selangor adalah medan terbaik sebagai pungutan suara bagi rancangan pembaharuannya termasuk Model Ekonomi Malaysia, gagasan 1Malaysia dan program tranformasi kerajaan.

Melayu sokong BN, Cina undi Pakatan

Bagi tujuan perbandingan, keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor hampir menyerupai keputusan pilihan raya di Bukit Gantang dan Bagan Pinang yang menyaksikan pertambahan undi Melayu untuk BN dan pada masa yang sama peningkatan sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan Rakyat.

Ini amat ketara sekali di Hulu Selangor apabila BN menang di semua daerah mengundi yang mempunyai majoriti masyarkat Melayu manakala Pakatan menyapu bersih di kawasan Cina.

Pada pusingan kali ini, dianggarkan BN berjaya menguasai 65 peratus undi Melayu yang sekali gus meranapkan harapan PKR untuk merampas sekurang-kurangnya 40 peratus undi Melayu.

Sebagai rujukan, berikut sampel enam daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu: Kpg Soeharto (66.1 peratus mengundi BN), Gedangsa (60.6), Sungai Tengi (68.4), Batang Kali (61), Hulu Kali (62.7) dan Sungai Buaya (73.5).

Menurut laporan akar umbi, insentif kewangan yang ditaburkan oleh Najib dan konco-konco BN serta serangan peribadi ke atas calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi Melayu.

Namun umpan dan serangan berkenaan tidak berkesan di kalangan masyarakat Cina seperti yang dilihat pada sampel daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Sampelnya seperti berikut: Kalumpang (77.2 peratus mengundi PKR), Ulu Yam Timur (71.1), Kerling (68), Kuala Kubu Bharu (78.4), Kampung Baru Batang Kali (80.5), Ulu Yam Lama (71.1) dan Kampung Baru Rasa (82.5).

Sepanjang tempoh berkempen, PKR dan DAP menjaja isu Muhyiddin yang mengakui bahawa dia adalah Melayu terlebih dahulu dan kemudian baru rakyat Malaysia.

Selain itu, kenyataan Datuk Seri Noh Omar yang menggesa masyarakat India dan Cina supaya berterima-kasih kerana diberi taraf warga negara serta isu kematian Teoh Beng Hock terus menjadi modal mereka.

MCA ternyata tidak berdaya menangkis atau mampu memberikan jawapan yang bertenaga tetapi sebaliknya terpaksa membawa Najib datang ke Hulu Selangor untuk menaburkan janji-janji.

Bagi sesetengah penganalisis, pemenang terbesar pada pilihan raya kecil Hulu Selangor ini adalah masyarakat Cina. Ini kerana mereka berjaya menyampaikan mesej secara jelas kepada BN dan pada masa yang sama, menerima habuan ataupun akan menerima ganjaran yang dijanjikan.

Apa seterusnya?

Di kalangan pengundi India, PKR hanya memenangi satu daripada lima daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi India.

Ada yang berpendapat kegagalan PKR menarik sokongan masyarakat India adalah kerana kerajaan negeri Selangor lembap dalam menagani masalah yang dihadapi oleh komuniti itu.

Kegagalan Pakatan Rakyat mendapatkan sokongan daripada Hindu Rights Action Force (Hindraf) dan Parti Hak Asasi Manusia juga dikatakan membawa padah.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails