Tuesday, April 20, 2010

Keldai Kehabisan Akal..

Pada zaman dahulu kala, di provinsi Guizhou, atau yang dikenali dengan nama singkatnya Qian, tidak ada keldai. Pada suatu hari, seorang lelaki yang suka menjaga tepi kain orang, telah mengangkut seekor keldai dengan perahu ke kawasan tersebut. Bagaimanapun, orang di sana tidak tahu apa gunanya binatang yang begitu besar itu. Maka, mereka pun meninggalkannya di kaki sebuah gunung.

Seekor harimau yang bersiar-siar di gunung itu ternampak keldai tersebut, dan menyangkanya sebagai seekor raksasa yang ganas, kerana tubuhnya memang agak besar. Sang harimau itu pun menyembunyikan diri, sambil mengintai-intai di celah rimbun pokok. Tidak lama kemudian, ia pun cuba mendekati keldai itu dengan penuh cermat, tetapi tetap tidak tahu apa binatang itu sebenarnya.

Beberapa hari kemudiannya, tiba-tiba, keldai itu berteriak dengan kuat. Sang harimau itu berasa sangat takut hingga ia lari lintang pukang meninggalkan tempat itu. Fikirnya, "raksasa" itu mungkin terlalu lapar dan mahu memakannya.

Selepas memperhatikan keldai itu berulang-ulang kali, sang harimau itu menjadi semakin biasa dengan teriakannya. Ia mendapati bahawa keldai itu sebenarnya tidak memiliki apa-apa kebolehan pun selain daripada berteriak. Jadi, ia menjadi lebih berani untuk mendekati keldai itu, tetapi belum cukup berani untuk menyerangnya.

Lama-kelamaan, sang harimau itu menjadi semakin bebas berbuat sesuatu kepada keldai itu, hinggakan ia berani menyentuh keldai itu, bersandar padanya, malah bertindak seolah-olah mencabarnya. Keldai itu tidak dapat menahan kesabarnya lagi, lalu ia pun mengangkat kakinya, dan menendang sang harimau itu sekuat-kuatnya.

Tendangan ini membuatkan sang harimau itu menjadi sangat gembira, kerana melalui tindak balas itu, ia pasti bahawa keldai itu memang tidak ada apa-apa kepandaian lain. Maka, ia pun menerkam ke arah keldai itu, sambil mengaum dengan kuatnya, lalu menggigit lehernya hingga patah, dan memakan dagingnya habis-habis. Setelah selesai makan, barulah ia meninggalkan tempat itu dengan penuh kepuasan.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Qian Lu Ji Qiong" atau "Keldai di Guizhou Kehabisan Akal" ini membawa erti, kebolehan yang terhad digunakan hingga habis. "Keldai" yang disebut dalam cerita tersebut pula merujuk kepada orang atau golongan yang nampaknya sangat kuat atau berkuasa, tetapi sebenarnya tidak berupaya.


Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails