Monday, April 5, 2010

Hulu Selangor : Amaran SPR hanya ditertawakan

Amaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya berhenti berkempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor kerana tempoh kerja-kerja itu belum lagi bermula, sudah pasti akan ditertawakan ramai.

Ini disebabkan meskipun amaran oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar itu kepada semua pihak kerana tempoh rasmi berkempen hanya bermula selepas selesai tempoh penamaan calon iaitu pada 17 April, namun apakah beliau sedar BN sudah menghantar dua orang pembesar negara ke sana untuk berkempen?

Yang melanggar undang-undang SPR dengan berkempen itu pula bukan sebarangan orang, melainkan orang nombor satu dan nombor dua negara!

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Sabtu lalu mengumumkan projek perumahan baru untuk warga Felda di Gugusan Sungai Dusun. Projek bernilai RM32 juta ringgit ini membabitkan 2,50 unit, setiap satunya bernilai antara RM42,000 dan RM75,000 ringgit.

Sehari sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Hulu Selangor akan mendapat empat sekolah baru, dan projek pembinaan banjir bernilai RM2 juta ringgit. Muhyiddin juga berkata Kementerian Pendidikan sedang mengenalpasti tapak sesuai untuk membina sebuah sekolah aliran Cina.

Itu belum lagi dikira kempen-kempen dan janji-janji secara bisik-bisik semasa mereka ke sana.

Nah, ini apa ini kalau bukan berkempen? Bukan sekadar berkempen kepada di hadapan penduduk Hulu Selangor, bahkan kempen itu tersiar dalam semua media cetak dan elektronik pro-BN. Apakah semuanya buta dan tuli dan melihat semua itu?

Dan ini bukan kali pertama kempen seumpama ini berlaku, bahkan setiap kali pilihan raya dan kempen pula menggunakan segenap jentera kerajaan dan media.

Pengerusi Badan Pemantau Pilihan Raya (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, BN jelas tidak menghormati proses pilihan raya demokratik dan menggesa SPR bertindak tegas terhadap BN.

”Ini satu jenis kempen dan kalau berbalik kepada peraturan pilihan raya, tindakan itu adalah kesalahan mengikut peraturan pilihan raya.

“Jadi, seharusnya SPR memberikan amaran dan mengeluarkan arahan supaya tidak ada apa-apa kempen sehingga hari penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Mafrel berkata, Kerajaan Pusat mungkin mendakwa apa yang dilakukan itu terkandung dalam rangka menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat jawatan kerajaan tetapi hakikatnya ia jelas berunsur kempen.

"Kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor sepatutnya belum boleh dimulakan selagi proses penamaan calon pada 17 April belum berlangsung.

"Tindakan BN jelas bercanggah Perkara 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2006) yang menyebut seseorang didapati bersalah jika melakukan sogokan sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung," katanya.

Jika begitu, jika SPR benar-benar serius dan bermaruah, ada baiknya kita cabar SPR bertindak sesuatu terhadap pemimpin tertinggi negara ini yang jelas dan terang-terang melanggar peraturan dan undang-undang SPR.

Mungkin juga SPR benar-benar insaf dan tidak mahu dipandang seperti ‘ternakan kerajaan’ lagi. Justeru bertindaklah.

Jika tidak, amaran SPR – sampai bila-bilapun – akan hanya dan tetap dianggap sebagai lelucon serta bahan penglipur lara, yang hanya mahu masuk sekadar hiasan di dada akhbar semata-mata!


Harakah Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails