Saturday, April 17, 2010

Fuziah: Dakwaan Mugilan tak berasas

Oleh G. Manimaran

HULU SELANGOR, 17 April — “Ia kenyataan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab sama sekali.”

Demikian kenyataan Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh kepada The Malaysian Insider di Kuala Kubu Baru hari ini.

Fuziah menegaskan, Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan tidak wajar membuat kenyataan sembarangan macam itu tanpa bukti kukuh.

“Ia satu kenytaan melulu. Kalau betul terima tawaran sedemikian, buktikan... jangan buat kenyataan tidak berasas,” katanya.

Mugilan yang awalnya disebut-sebut akan mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor membuat dakwaan ini semalam.

Bagaimanapun ekoran protes MIC BN terpaksa menggugurkan beliau daripada bertanding.

Pada sidang media semalam, Mugilan mendakwa beliau telah ditawarkan tanah dan wang sebagai ganjaran menyokong calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim di Hulu Selangor.

Tawaran itu — wang tunai RM2 juta dan tanah 20 hektar (50 ekar) dibuat malam tadi beberapa jam selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan calonnya, P. Kamalanathan.

Pada sidang akhbar pertama sejak namanya munculnya sebaga calon yang berpotensi pilihan raya kecil Hulu Selangor, Mugilan berkata beliau menolak tawaran kerana mahu bersama Umno.

Pakatan Rakyat menerusi PKR menurunkan anggota Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim.

Ketika ditanya sama ada Pakatan Rakyat khususnya PKR akan menggesa Mugilan mengemukan bukti, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, pihaknya mahu memberi tumpuan terhadap usaha menghadapi pilihan raya kecil ini.

“Lagipun mana kami ada duit sampai RM2 juta, dan tanah untuk diberikan,” katanya lagi.

“Kami tiada duit dalam jumlah itu,” katanya.

Mengenai peluang mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor, Fuziah berkata, sokongan kepada calon PKR-PR Zaid semakin bertambah baik.

Kata beliau, sokongan kepada pihaknya dilihat bertambah baik ekoran janji seorang guru, J. Anuradha, yang didakwa dinafikan peluang untuk menyerahkan borang penamaan calon pagi tadi.

Fuziah berkata, Anuradha yakin boleh menarik 6,000 pengundi berdasarkan pengalaman dan pengaruh beliau.

Menurut Anuradha, bapanya merupakan pengasas MIC Hulu Selangor.

Selain itu, pihaknya melihat saingan dua calon Bebas masing-masing dari Umno dan MIC akan menjadi satu kelebihan kepada calon PR-PKR, kata beliau.

“Faktor kedua-dua calon Bebas dan sokongan Anuradha kami anggap sebagai undi bonus kepada calon kami,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails