Sunday, April 25, 2010

BN Menang tapi majoriti kecil banding sasaran 6,000


2 UMNO + 1 MIC + 1 MCA = 1 Malaysia.. sekolah mana ajar ni??

HULU SELANGOR, 25 April — Barisan Nasional (BN) merampas balik kerusi Parlimen Hulu Selangor daripada Pakatan Rakyat dalam pilingan raya sengit yang dianggap sebagai penentuan referendum, tetapi majoriti diperoleh tidak sebesar disasarkan sebelum ini.

Pun begitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gembira dengan pencapaian ini dengan menyifatkan rakyat mula menerima dasar BN dan konsep 1 Malaysia di bawah pimpinannya.

Hari ini genap sebulan penyandang kerusi Hulu Selangor ini meninggal dunia.

“Ini satu permulaan yang baik bagi BN,” kata Pengerusi BN ini sambil menambah, pihaknya gembira dengan prestasi hari ini kerana BN terpaksa berhadapan dengan jentera kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat.

Keputusan diumumkan kira-kira 9.15 malam di Kompleks Sukan Kuala Kubu Baru di sini dengan dihadiri Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyddin Yassin sendiri.

Calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan dari MIC, muka baru dalam pilihan raya, menerima 24,997 undi manakala calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim memperioleh 23,272.

Walaupun BN menang dengan majoriti 1,725 undi, tetapi ia jauh lebih kecil daripada kira-kira 6,000 yang disasarkan oleh Muhyiddin.

Undi rosak direkodkan ialah 731 - separuh sahaja berbanding 1,461 undi rosak dua tahun lalu.

“Kemenangan Kamalanathan akan membawa erti kepada BN kerana berdasarkan keputusan 2008 dan masa sekarang terdapat perubahan sokongan kepada BN hampir 2,000 undi,” katanya.

“Perubahan ini sangat bermakna kerana kami bersaing di negeri yang dikuasai oleh pembangkang tetapi kami berjaya merampas balik bahagian ini,” kata Najib pada sidang media selepas keputusan diumumkan dengan diapit oleh Muhyiddin dan Kamalanathan.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, pihaknya akan bersama rakyat untuk melihat lebih banyak keputusan positif.

“Mereka gembira dengan pengumuman, dengan pemikiran dan hala tuju dasar tetapi kita mesti memastikan bahawa kita menyajikan hasilan,” kata yang berkempen hampir setiap hari selepas pulang dari lawatan ke Amerika Syarikat dan Jepun.

Menjawab soalan berhubung majoriti lebih kecil berbanding sasaran 6,000 diletakkan oleh Muhyiddin, Najib memberitahu majoriti diperoleh mengecil kerana kerajaan negeri tidak dikawal oleh BN.

“Kami menyedari ini negeri pembangkang. Pada masa lalu kami mengawal negeri, kami ada kekuatan antara kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan. Jadi dalam konteks ini, saya gembira dengan keputusan ini,” kata beliau.

Berhubung kekalahan di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina, Najib melihat ada peningkatan berbanding pilihan raya umum 2008.

“Saya tidak mahu membuat rumusan cepat walaupun kami tewas di kebanyakan peti undi di kawasan masyarakat Cina. Kami tewas tetapi berdasarkan pada permulaan kempen, saya percaya ada peningkatan,” kata Najib yang juga Pengerusi Umno Selangor.

Pada sidang tengah hari tadi, Muhyiddin berkata, pihaknya meletakkan sasaran KPI majoriti 6,000 undi dengan mengambil kira prestasi peringkat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri pada 8 Mac 2008 yang dimenangi BN.

Sebelum keputusan diumumkan, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang ditemui wartawan berkata, pihaknya tetap gembira dengan pencapaian walaupun meletakkan awalnya meletakkan sasaran lebih tinggi.

Tengku Adnan juga mengakui BN tidak memperoleh undi yang memuaskan daripada kalangan masyarakat Cina di Hulu Selangor.

“Undi yang kami peroleh daripada masyarakat Cina lebih rendah berbanding pilihan raya umum 2008. BN menerima sokongan besar daripada kalangan pengundi Melayu dan India.

“Kami akan lakukan bedah siasat mengapa pengundui Cina tidak memihak kepada BN dan akan membantu menyelesaikan isu mereka hadapi,” katanya.

Di peringkat awal perjumlahan rasmi undi, Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR mendahului Kamalanathan ketika keputusan 100 daripada 137 peti undi diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Ketika di peringkat itu Zaid berada di depan dengan majoriti antara 1,000 hingga 1,500 undi.

Bagaimanapun, Kamalanathan mengatasi kedudukan itu apabila peti-peti undi dari kawasan Felda diumumkan.

Kamalanathan, Ketua Penerangan MIC pusat pula berkata beliau akan menyenaraikan senarai masalah dan janji kepada penduduk Hulu Selangor.

“Ini akan menjadi keutamaan saya,” katanya.

Dalam pilihan raya umum 2008, PKR menang dengan majoriti 198 undi.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan peratusan keluar mengundi 75.9 peratus atau 48,935 pengundi.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Kamalanathan, 45, dan Zaid 59.

Pada hari penamaan calon, SPR menerima borang daripada empat calon termasuk dua calon Bebas. Bagaimanapun kedua-dua calon Bebas terbabit menarik diri.

Ini adalah pilihan raya kecil ke-10 sejak selepas pilihan raya umum 2008 dan pilihan raya kecil pertama di negeri Selangor.

Kawasan itu mempunyai 64,500 pengundi dengan 34,020 atau 52.7 peratus adalah Melayu, 16,964 atau 26.3 peratus Cina, 12,453 atau 19.3 peratus India dan kira-kira 1,000 Orang Asli.

Kerusi Parlimen kawasan itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac akibat barah otak. Penamaan calon telah diadakan pada 17 April lalu.

Zainal Abidin memenangi kerusi kawasan itu pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 198 undi selepas menewaskan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang menyandang kerusi itu selama empat penggal.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails