Sunday, April 25, 2010

Bila Kami Mati?? - 3 ADUN Selangor

Sesiapa yang pernah hadir di hari penamaan calon PRK Penanti yang lepas pasti juga telah mendengar khabar angin yang mengatakan seorang ADUN di Kelantan telah meninggal dunia di hari penamaan calon itu..

Padahal ADUN yang dikatakan meninggal itu masih hidup dan sedang menjalani rawatan di China kalau tak silap aku..

Hari ini pula bertiup lagi khabar angin yang mengatakan ada lagi ADUN yang meninggal dunia walaupun mereka masih hidup lagi..

Kenapa perlu ada berita begini? Mungkin ada pihak yang seronok bila pilihanraya kecil tiba, jadi selepas habis satu PRK mereka terus mendoakan agar ada ADUN lain pula yang meninggal dunia..


3 ADUN S'gor nafi 'khabar angin' meninggal dunia

Bermula dengan ADUN Kota Damansara (PSM) Dr Mohd Nasir Hashim, khabar angin itu kemudian dikaitkan dengan ADUN Damasara Utama Dr Cheah Wing Yin (DAP) dan juga ADUN Sungai Burong Shamsuddin Lias (BN), hingga menimbulkan kekeliruan banyak pihak.

Bilik berita Bernama dan telefon bimbit wartawan hari ini dihujani dengan panggilan bertalu-talu daripada orang ramai yang ingin mendapatkan pengesahan tersebut selain daripada ingin mendapatkan perkembangan mutakhir keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Nyata khabar angin itu tidak berasas apabila Shamsuddin ketika dihubungi Bernama menjawab panggilan tersebut sambil menyatakan rasa kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu itu.

"Alhamdulillah saya masih sihat, tiada apa-apa. Memang saya terima banyak panggilan dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) bertanyakan kesahihan khabar angin bahawa saya sakit tenat dan sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya beliau sihat dan berada di Hulu Selangor bagi membantu jentera BN dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

"Saya kecewa dengan dengan budaya suka menabur fitnah dan khabar angin seperti ini. Ia perlu dicegah dan dihentikan kerana boleh merosakkan masyarakat," katanya.

Shamsuddin turut meminta orang ramai khususnya rakan-rakan dan pengundi di kawasannya supaya bertenang dan tidak mempercayai khabar angin itu.

"Terima kasihlah kerana menelefon dan menghantar SMS kepada saya. Ramai terperanjat dengan berita kematian saya ini. Apapun saya masih sihat dan masih hidup," katanya.

Dr Mohd Nasir pula walaupun gagal dihubungi untuk mendapatkan reaksinya berhubung khabar angin itu tetapi disahkan sihat dan tidak terbabit dalam sebarang kemalangan jalan raya oleh Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S.Arutchelvan yang memaklumkannya melalui twitter.

"Dr Nasir, pengerusi PSM dalah selamat dan sihat. Beliau tidak terlibat dalam sebarang kemalangan seperti disebarkan dalam khabar angin," tulisnya dalam twitter itu yang menggunakan identiti twitter Arul PSM Sec-Gen, yang disiarkan di lamanweb rasmi PSM.

ADUN Damasara Utama, Dr Cheah yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Sunway selepas terlibat dalam kemalangan 13 Mac lepas, turut menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Bagaimanapun pembantu khas beliau, Richard Yap ketika dihubungi menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai khabar angin semata-mata.

Sebaliknya Yap berkata, keadaan Dr Cheah kini bertambah stabil dan beliau dijangka dipindahkan ke wad biasa esok.

"Selepas Rabu ini, kami jangkakan pelawat dibenarkan melawat beliau," katanya.

ADUN itu mengalami kecederaan serius di kedua-dua belah kakinya selepas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails