Wednesday, April 28, 2010

Biar Khir mabuk dengan kemenangan Hulu Selangor

Khir Toyo melonjak gembira dengan kemenangan BN di Hulu Seleangor. Manakan tidak, setelah diterajang dari kerusi kuasa pada 8 Mac 2008 lalu, pastilah sekurang-kurangnya dapat menguis tubuh Pakatan Rakyat Selangor pun satu pencapaian besar baginya.

Dendam terus membara dalam dada angkara luka tersungkur 2 tahun lalu.

Tak mengapalah. Biarlah beliau bergembira dari terus murung dan duka. Jangan lupa banyak lagi sampah-sampah buruk dan busuk beliau di bawah tikar sepanjang menjadi MB yang masih belum selesai dan dibongkar.

Bergembiralah tapi jangan menabur onar dan duri, jangan membakar api adu-domba kerana mabuk sakan dengan satu kemenangan. Posting terbaru dalam blognya ternyata mendedahkan betapa ultra chauvinis perkaumannya Khir Toyo.

Beliau menulis:

Jika dilihat dari pola pengundian ini ternyata konsep 1 Malaysia dan pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB) tidak diingini oleh kaum Cina di Selangor

Sebahagian besar kaum Cina di Selangor lebih cenderung untuk mengukuhkan kuasa Democratic Action Party (DAP). Sebab itu kita lihat dalam pilihan raya kecil ini, BN dibelasah teruk di peti undi-peti undi yang bermajoriti pengundi Cina. Apakah ini boleh ditafsirkan sebagai satu pola pengundian bersifat cauvinis cina?

Pada hemat saya kaum Cina memilih untuk setia kepada Pakatan bukan bersandarkan isu pembangunan mahu pun isu polisi tetapi lebih kepada isu kuasa orang Cina di Selangor yang lebih besar berbanding konsep perkongsian kuasa dalam BN. Ramai rakyat Selangor beranggapan yang menguasai kerajaan hari ini ialah DAP manakala Menteri Besar sekadar pembuat kenyataan bukannya keputusan. DAP juga dilihat menguasai kerajaan negeri dan potfolio penting.

Saya tidak pasti apakah tulisan Khir ini telah melanggar mana-mana peraturan atau undang-undang. Cumanya Khir saya kira tidak berlaku adil kerana membuat suatu “sweeping statement” tanpa berpijak pada fakta dan hakikat sebenar.

Aduhai Wak Khir, yang bertanding di Hulu Selangor adalah BN dan Pakatan Rakyat. Calonnya dari MIC dan PKR. Bangsa kaumnya adalah India dan Melayu, kenapa jauh sangat perginya Wak.

Pakatan Rakyat telah membelah dan mengenepikan politik perkauman apabila tiga parti PAS, PKR dan DAP (yang masing-masing punya prinsip, sejarah dan penyokongnya tersendiri) dapat bekerjasama demi kepentingan dan kebajikan rakyat dan negara. Di Hulu Selangor faktor kaum tidak pernah menjadi ukuran Pakatan Rakyat.

Kalau Khir mahu menjadi juara perkauman, kenapa Umno tak bertanding di Hulu Selangor? Kenapa letak calon MIC sedangkan kaum India merupakan kelompok terkecil di Hulu Selangor? Tidakkah meletakkan calon MIC membuktikan yang Umno melutut pada MIC atau Umno cuba selamatkan diri takut-takut kalah?

Memang di Hulu Selangor calon BN menang besar di peti-peti undi Melayu tetapi bukan semua orang Melayu mengundi BN! Contohnya Peti Undi Kg. Gumut, kawasan Melayu, saluran 1 BN memperolehi 172 undi PKR 104. Ini bermakna bukan semua orang Melayu sokong BN!

Memang di Hulu Selangor calon Pakatan Rakyat menang besar di peti-peti undi Cina tetapi calon kami bukan dari DAP tetapi dari PKR. Bukan kaum Cina tetapi Zaid Ibrahim, takkan Khir dah lupa atau buat-buat lupa!

Wak Khir, PAS menang dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu lalu sedangkan pengundi Cina nya tak sampai 11%. Siapa yang memenangkan PAS di sana, pengundi Cina juga kah?

Menisbahkan bahawa kuasa politik orang Cina di Selangor besar berbanding semasa BN dahulu saya kira adalah tindakan membakar api perkauman. Kerajaan PR Selangor bukan macam kerajaan BN Selangor dahulu. Jika benar besar sangat kuasa politik Melayu bawah Khir dahulu apakah yang orang Melayu dapat dari kuasa yang besar sangat tu? Ahli politik Melayu yang tidak bermoral, penipu, rampashak rakyat, rasuah.

Ketika ledakkan kebangkitan rakyat di Selangor pada pilihan raya umum lalu kalau sekadar pengundi Cina sahaja yang mengundi calon-calon PR, kerajaan PR Selangor tidak akan terbentuk. Tetapi ia terbentuk hasil dari kombinasi sokongan ketiga-tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Mungkin lonjakkan sokongan kaum Cina lah yang terbesar ketika itu namun ia tidak bermakna orang-orang Melayu tidak menyokong PR.

Bukitnya Ustaz Azrul Khakim tewas di DUN Sg Air Tawar majoriti 83.6% Melayu dengan cuma 123 undi. Ustaz Sallehen Mukhyi tewas di DUN Sabak majoriti 79.7% Melayu cuma 117 undi. Dato Dr Hasan Ali menang di DUN Gombak Setia majoriti 80.3% Melayu dengan majoriti 2,797 undi!

Khir boleh terus dengan politik sorong papan tarik papannya, tetapi PR Selangor tidak akan mengalah dengan tewas cuma 1 kerusi Parlimen di Hulu Selangor. Kerajaan PR Selangor terbentuk dengan sikap saling hormat-menghormati antara ketiga-tiga kaum terbesar di negeri ini. Sikap ini tidak berjaya ditegakkan semasa BN memerintah puluhan dekad lalu. Malah ketempangan dan kepincangan kerajaan BN semasa Khir dan mereka yang terdahulu darinyalah yang telah mengakibatkan rakyat bangkit menghukum mereka. Rakyat Selangor bosan dan mual dengan kerajaan BN yang korap, kronisma dan nepotisma.

Kami akur sokongan Melayu di Hulu Selangor merosot buat kami Ahad lalu, insyallah selaku parti yang membentuk kerajaan negeri, kami akan gunakan sepenuh daya dan kekuatan bagi menebus kemerosotan itu. Khir boleh terus menyanyi dan menari tetapi kami tidak akan meratapi Hulu Selangor, sebaliknya akan pastikan PR kekal sebagai tunggak kuasa di Selangor dan Hulu Selangor di tawan kembali pada PRU 13 nanti.

Terima kasih kepada seluruh pengundi di Hulu Selangor, kerajaan PR Selangor tidak sekali-kali akan memungkiri janjinya. Tolak politik perkauman, tolak Wak Khir.


Harakah Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails