Wednesday, April 7, 2010

Anak Felda Hulu Selongor bangkit tuntut perubahan

Selepas 30 tahun dibelit kemiskinan dan prasarana serba kekurangan, anak-anak Felda di Hulu Selangor kini bangkit menuntut perubahan.

Mereka berhimpun, berbincang dan akhirnya bersepakat bahawa satu-satunya cara mengangkat taraf kehidupan warga Felda adalah dengan campurtangan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anak-anak Felda dinafikan tanah untuk membina teduhan idaman untuk keluarga masing-masing. Mereka tidak dibenarkan mewarisi tanah ibu-bapa mereka walaupun keturunan mereka telah meneroka dan membesar bersama-sama pokok-pokok sawit yang diusahakan turun-temurun.

Persatuan Anak Peneroka dan Generasi ke-2 Felda atau ANAK, bersama-sama penduduk Felda Gadangsa, Felda Soeharto dan Felda Sungai Tengi kini menggembleng usaha memastikan mangsa pelan pertanian mega kerajaan pusat ini mendapat pembelaan sewajarnya.

Penyelaras Program perhimpunan ANAK, Mohammed Salleh Ri berkata, masalah penempatan ini berlaku kerana Felda tiada mekanisma khas untuk masa depan anak peneroka. Menginsafi nasib mereka kini terletak sepenuhnya pada ehsan atau ketidakpedulian kerajaan Pusat, penduduk dan ANAK bersama-sama menyerahkan memorandum kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika tokoh itu berkunjung ke Sungai Tengi Ahad lalu.

Menurut Salleh Ri, sehingga ke hari ini penduduk masih mengharapkan janji-janji dari pilihanraya-pilihanraya lalu ditunaikan Perdana Menteri Najib Abdul Razak. Namun sekali lagi mereka dikecewakan.

Apa yang mereka tuntut adalah tanah untuk jaminan masa depan generasi Felda akan datang, bukan gula-gula pilihanraya dan elaun 1500 ringgit sebulan. Persoalan yang bermain di hati warga Felda adalah, mengapa BN membelakangi matlamat Felda yang digariskan Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak.

Selepas 30 tahun, rumah Felda Gadangsa, Felda Soeharto dan Felda Sungai Tengi masih sekecil 30 tahun lalu. Bila mereka berpeluang ke pekan atau ke kota berhampiran, mereka terpana melihat banglo-banglo besar yang tidak mungkin dapat mereka kecapi dibawah sistem Felda hari ini. ANAK akan mengadakan program perhimpunan anak-anak peneroka yang dijadualkan pada 23 dan 24 April ini bagi membuat penerangan kepada peneroka serta sesi dialog dengan menteri besar.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails