Friday, March 26, 2010

Zalimnya Juara Rakyat, Madu diberi dibalas Tuba. (Kenyataan Media)

Berikut adalah kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh wakil penduduk pada 23 Oktober 2009...

Walaupun penduduk kampung adalah golongan yang sangat setia kepada parti pemerintah khususnya UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu). Dan mereka berbangga dengan menyokong UMNO/BN..

Akhirnya... Madu diberi, Tuba dibalas..

Bukalah mata wahai Rakyat Johor!!

Lihatlah dengan mata hati...


JAWATANKUASA BERTINDAK
SETINGGAN KAMPUNG DENAI PINGGIRAN

Kenyataan Media

23hb Oktober 2009


PERMOHONAN
BANTUAN KEWANGAN(SAGUHATI) DARIPADA PIHAK KERAJAAN


Kami penduduk Kg Denai Pinggiran, Tampoi Johor telah menerima notis daripada Pentadbir Tanah Johor Bahru untuk mengosongkan tanah kampung kami dalam masa 2 minggu daripada tarikh notis dikeluarkan pada 15hb Oktober 2009. Sehubungan itu pihak kami memohon jasa baik pihak Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dan Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman untuk memberi bantuan kewangan atau saguhati kepada penduduk kampung sebagai timbalbalas kepada pengorbanan penduduk kampung yang telah tinggal lebih 20 tahun. Asas-asas permohonan kami adalah seperti berikut :

1. Kampung kami telah diteroka sejak 20 tahun yang lalu. Sebelum ini tanah ini adalah kawasan hutan yang menakutkan penduduk setempat. Kami telah membersihkan kawasan ini. Selama ini kami tidak mendapat bekalan air dan elektrik. Dengan penuh kesabaran, kami sesama penduduk saling bermuafakat membangunkan kampung ini dengan segala kekurangannya. Anak-anak dan cucu-cucu kami dibesarkan di sini. Kampung ini mempunyai sentimental value kepada kami semua. Kami sangat sayangkan kampung ini. Walaubagaimana pun kami memahami pihak kerajaan mempunyai keutamaan lain untuk membangunkan kawasan ini.

2. Penduduk kampung bekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan bagi membantu membangunkan negara ini termasuk perindustrian, pendidikan, perniagaan, pentadbiran dan lain-lain lagi. Secara tidak langsung penduduk kampung membekalkan tenaga buruh yang murah kepada pengembangan ekonomi negara. Penduduk kampung sangat komited dengan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan.

3. Penduduk kampung adalah golongan yang sangat setia kepada parti pemerintah khususnya UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu). Kami telah banyak kali menyokong parti ini dalam pilihanraya sebelum ini. Kami telah berkempen dengan sepenuh hati bagi menarik sokongan pengundi menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN). Atas sokongan padu ini BN telah menang mudah diperingkat DUN Kempas dan Parlimen Pulai.

4. Penduduk kampung kami adalah mejoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Sebahagian kami berpendapatan di bawah paras kemiskinan. Kelembapan ekonomi global masakini telah menyebabkan sebahagian kami kehilangan pekerjaan. Kehidupan di bandar besar seperti Johor Baharu memerlukan komitmen kewangan yang besar. Kami juga perlu menyara keluarga yang serba-serbinya memerlukan kewangan. Tawaran menyewa di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas juga memerlukan bayaran deposit dan sewa bulanan yang cukup membebankan kami.

5. Kami juga sangat tertarik dengan pendekatan pihak Kerajaan Negeri Johor dalam menangani isu setinggan di Kg. Seri Serdang Baru, Kg Seri Jaya Baru, Perling dan Kg Pasir, Tampoi. Penyusunan semula kampung mereka telah memberi peluang kepada penduduk memiliki tanah yang cukup strategik. Sebahagian penduduk di Kampung Gudang Beras, Kempas yang telah dipindahkan, menerima bantuan kewangan sebanyak RM10,000 ribu bagi sebuah rumah. Mereka amat bersyukur kerana kewangan tersebut dapat membantu mereka membina kehidupan baru.

6. Dalam jawapan kepada Dewan Undangan Negeri Johor pada November 2008, telah dinyatakan bahawa pada mesyuarat kerajaan negeri Johor bertarikh 14hb Ogos 2007 kerajaan negeri telah membuat keputusan bahawa kerajaan persekutuan perlu menjelaskan ¼ bayaran premium tanah kawasan tanah Hospital Permai sebanyak RM108,492,450 kepada kerajaan negeri Johor. Sebagai kerajaan yang perihatin kepada rakyat, tentulah pihak kerajaan boleh memperuntukan sebahagian kecil daripada nilai premium ini kepada rakyat untuk mengurangkan bebanan kami.

7. Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah mengariskan keutamaan membela rakyat sebagai agenda utama melalui slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kami merasakan agenda ini adalah sangat bersesuaian dengan kehendak masakini. Rakyat pelbagai lapisan memerlukan sentuhan secara terus pada mereka. Bantuan kewangan merupakan sentuhan yang sangat bermakna kepada penduduk kampung yang rata-ratanya adalah golongan yang memerlukan bantuan kewangan pihak kerajaan.

Berdasarkan kepada keutamaan pihak kerajaan untuk membangunkan kawasan ini maka kami sedia berkorban untuk pindah daripada kampung halaman kami. Sebagai timbalbalasnya pihak kami memohon pihak kerajaan memberi sumbangan kewangan bernilai RM30,000 setiap keluarga bagi membina kehidupan baru selepas berpindah.

Sehubungan itu pihak kami memohon agar kami diberi masa untuk tinggal di kampung ini sehingga sumbangan daripada pihak kerajaan diterima.

Permohonan ini kami akan serahkan Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dalam pada selasa 27hb Oktober 2009 di Kuala Lumpur/Putrajaya.


Sekian, Terima Kasih. Wassalam


Hasilnya...



Lagi gambar-gambar sila lihat di sini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails