Wednesday, March 3, 2010

Zainal Sakom Gadai Tanah YBK

Inilah yang berlaku bila Harta Kerajaan dikatakan Harta UMNO, dan Harta UMNO pula dikatakan Harta Mak Bapak mereka!!!

Oleh Norasikin Samsi

Kerajaan Negeri Selangor mendedahkan Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan (PYBK) telah menggadaikan tanah pemberian kerajaan negeri bernilai RM100 juta kepada sebuah bank.

Antara pengarah PYBK yang meluluskan cagaran itu ialah Datuk Zainal Abidin Sakom, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Batang Kali dan juga pengerusi YBK.

Lebih mengejutkan ialah ketika menerajui YBK, Zainal turut menjadi pemegang saham utama dalam sebuah syarikat swasta yang dilantik untuk memajukan tanah-tanah yang diberikan kerajaan negeri.

Semua butir-butir itu terkan-dung dalam laporan mengenai YBK yang selama ini disimpan daripada pengetahuan awam atas alasan ia disimpan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri menggunakan kuasa-kuasanya untuk mendedahkan semua maklumat mengenai YBK kepada orang ramai.

Beliau berkata, mesyuarat exco terkejut apabila dimaklumkan PYBK bukan dimiliki sepenuhnya olehYBK tetapi juga oleh sekurang-kurangnya dimiliki dua syarikat lain.

“YBK hanya memiliki 12,500 unit saham dalam PYBK,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada 24 Februari lalu.

Menurut beliau, pemegang saham lain, Prihatin Ehsan Holding Sdn Bhd memiliki 6,200 unit saham manakala Fajar Synergy Sdn Bhd memiliki 6,250 unit saham.

Ketika menjadi pengerusi YBK dan pengarah PYBK, Datuk Zainal Abidin turut menjadi pengarah syarikat Prihatin Ehsan Holding Sdn Bhd yang memajukan tanah-tanah kerajaan negeri yang diberikan kepada yayasan itu.

Dua pemaju dilantik oleh kerajaan Umno-BN pada 8 Mac 1995 untuk memajukan 2165 ekar tanah berkenaan iaitu syarikat Tenaga Ehsan Sdn Bhd dan Shah Alam Properties Berhad.

“Pengerusi YBK Zainal Sakom didapati memiliki majoriti saham dalam sebuah syarikat yang dilantik sebagai pemaju tanah iaitu syarikat Tenaga Ehsan. Maklumat ini antara maklumat penting yang akan didedahkan secara berperingkat menerusi kertas putih yang telah kita janjikan,” katanya.

Khalid juga berkata, kerajaan negeri mahu mendapatkan penjelasan mengenai urusniaga tertentu yang dikendalikan bersabit tanah yang disumbangkan oleh kerajaan negeri.

“Mesyuarat exco berpendapat, penemuan-penemuan mengenai milikan saham dan pelantikan pengurus projek pembangunan tanah perlu diperjelaskan kepada kerajaan negeri untuk mengetahui jika PYBK diuruskan dengan baik oleh YBK,” tegas Menteri Besar lagi.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini turut menegaskan maklumat mengenai urustadbir dan YBK akan terus didedahkan secara berperingkat.

“Semua maklumat mengenai pengurusan YBK ini sangat penting kerana ia melibatkan harta kerajaan negeri yang telah diserahkan kepada YBK dan sekutunya untuk program basmi kemiskinan. Kerajaan negeri menegaskan pengurusan harta milik YBK perlu dibuat secara telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Yaakob Sapari menyifatkan tindakan tegar Zainal menggadai tanah milik kerajaan negeri kepada bank bagi memenuhi keinginan peribadi beliau bersama teman segandingnya sebagai perbuatan khianat kerana melanggar syarat yang ditetapkan kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau juga menyifatkan keengganan yayasan itu mendedahkan laporan audit kewangannya membuktikan sikap tidak bertanggungjawab beliau terhadap amanah yang digalas.

Justeru, Yaakob menggesa YBK bersifat profesional dalam isu ini dan tidak berfikiran politik sempit yang mana hanya akan merugikan rakyat.


Rakyat Marhaen

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails