Wednesday, March 10, 2010

Wajah Dan Peta Politik Malaysia Sudah Berubah



Oleh Rusnizam Mahat

SEREMBAN 10 Mac - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setelah dua tahun kemenangan besar Pakatan Rakyat gagasan itu semakin teguh dan mantap dan sukar digugat walaupun diasak serta ditekan berterusan oleh Umno dan Barisan Nasional.
Ini kerana rakyat berdiri teguh di belakang Pakatan Rakyat yang memberi kekuatan dan dorongan untuk membawa perubahan total yang diharapkan rakyat selama lebih 50 tahun di bawah Umno-BN.

Berucap di Commerce Square, Seremban malam tadi dihadapan lebih 10,000 penyokong yang tidk berganjak walaupun terpaksa mengharungi hujan lebat tanpa henti sempena majlis sambutan ulangtahun kedua kemenangan Pakatan Rakyat, Anwar berkata dengan semangat jitu yang ditunjukkan rakyat Negeri Sembilan tidak mustahil Umno akan rebah di negeri itu pada pilihan raya akan datang.

"Malam ini pemimpin-pemimpin Umno Negeri Sembilan tidak boleh tidur. Semangat rakyat tinggi menggunung. Berapa tinggi gunung Kilimanjoro, tinggi lagi semangat rakyat Negeri Sembilan," ujar Anwar.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden KEADILAN Azmin Ali, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sembilan Datuk Kamarul Baharin Abas serta pimpinan Pakatan Rakyat pusat dan negeri.

Anwar yang berucap dengan penuh semangat berkata walaupun pelbagai tekanan dan ujian yang dihadapi Pakatan Rakyat sepanjang dua tahun pentadbirannya namun sambutan rakyat terhadap KEADILAN, PAS dan DAP lebih hebat berbanding sebelum ini.

Beliau tegas menyatakan hanya pemimpin yang berjuang untuk prinsip diterima dalam Pakatan Rakyat manakala pemimpin yang berjuang untuk mendapatkan kekayaan dan projek akan disingkirkan.

"Wajah dan peta politik Malaysia sudah berubah. Kita sekarang ambil pendekatan yang jelas berdasarkan apa yang benar. Sebab itu apabila ditanya mengapa kita memilih untuk memecat Ahli Parlimen KEADILAN meskipun jumlah kita menurun, kita pecat sebab kita berani, kerana kita mengambil keputusan yang tepat dan benar serta tidak tunduk kepada mereka," tegas Anwar lagi.

Pada masa yang sama Ketua Umum KEADILAN itu turut mengulas isu integriti dan keselamatan negara membabitkan isu pembelian kapal selam dan kehilangan enjin pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia.

"Ini isu keselamatan negara kita. Sebab itu mereka (Umno) tak tahan dengan PAS, DAP dan KEADILAN sebab kita suarakan, walau hadapi risiko. Kalau kita tidak suarakan rakyat tidak akan tahu. Kalau perang, kapal selam tak boleh selam, kapal selam tak boleh naik, bermakna kalah Malaysia," tegas Anwar.

Berhubung isu penggunaan kalimah Allah bukan sahaja KEADILAN malah PAS dituduh sebagai pro-Kristian.

Sementara di Pulau Pinang pula Ketua Menteri Lim Guan Eng dituduh merampas hak orang Melayu.

Hakikatnya kata Anwar pentadbiran Guan Eng di Pulau Pinang telah banyak membantu kaum Melayu di negeri itu berbanding semasa ia ditadbir Gerakan-Barisan Nasional.

"Di Pulau Pinang, Cina majoriti, kita angkat Cina. Cina yang prihatin masalah rakyat, yang ada peribadi yang baik, yang tak rampas tanah kita, Cina yang tak rasuah, itu Cina kawan kita.

"Saya tahu Lim Guan Eng tegas, bagi arahan jelas tak akan ambil saham negeri, tak ambil tanah negeri, tak ambil kontrak negeri. Tanya Menteri Besar Umno, Ketua Menteri Umno, ya memang dia kata tak ambil satu kontrak, dia ambil 14 kontrak! Mana ada pemimpin Umno yang tak ambil (rasuah).

"Kerajaan negeri semasa Umno-Gerakan perintah peruntukan untuk majlis agama setakat RM12 juta sahaja. Tetapi apabila Pakatan Rakyat memerintah peruntukan untuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang meningkat daripada RM12 juta kepada RM24 juta," tambah beliau.

Kata Anwar, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang hidupnya secara sederhana turut menjadi mangsa fitnah dan tuduhan jahat pemimpin Umno.

Beliau mempersoalkan mengapa tiada siasatan dilakukan terhadap pemimpin Umno-BN yang memunggah kekayaan negara untuk diagihkan kepada kroni mereka.

"Kenapa tidak boleh diagihkan kepada rakyat terbanyak. Kenapa mesti adik Najib, kenapa mesti menantu Abdullah Badawi, kenapa mesti jadi anak Mahathir, dah kaya beli kilang arak terbesar di Filipina. Ini yang kita lawan, kita lawan soal prinsip. Saya Melayu, saya tetap Melayu, saya tetap pertahankan Melayu. Tapi apa bezanya saya dengan Umno. Saya Melayu Muslim, saya pertahankan hak Melayu tetapi saya tetap pertahankan juga hak Cina dan India di negara ini," tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Dalam isu Konspirasi II yang dihadapi beliau, Anwar berkata beliau tidak gentar kerana tidak bersalah melakukan perbuatan itu yang hanya merupakan satu konspirasi jahat.

"Ada orang kata orang tuduh supaya saya disiasat. Siasatlah. Saya tak marah polis siasat, saya marah kerana terlibat dalam konspirasi jahat dan fitnah orang," kata Anwar yang turut menjelaskan fatwa Pengerusi Majlis Ulama Sedunia, Sheikh Dr Yusuf Al Qaradawi mengenai fitnah dan tohmahan yang dihadapi beliau.

Anwar berkata Pakatan Rakyat akan tetap menyuarakan pelbagai isu membabitkan masalah rakyatdan soal kebobrokan kerajaan di Parlimen.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan memetik kata-kata pejuang bahasa dan anak kelahiran Negeri Sembilan, Pendita Zaaba dalam buku beliau yang ditulis sekitar 1920 mengenai prinsip perubahan.

"Daripada kepercayaan yang bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar (ala Umno) kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan pemikiran (ala Pakatan Rakyat). Daripada keyakinan dan ikhtiqad yang kering dan terpesong (ala Umno) kepada ikhtiqad yang subur dan merdeka (ala Pakatan Rakyat). Daripada kezaliman pemerintahan dan kerosakan hawa nafsu (ala Umno) kepada kesolehan dan keadilan (ala Pakatan Rakyat)," tegas Anwar.

Lagi gambar sila lihat di sini

Sumber berita dari sini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails