Sunday, March 7, 2010

Umno guna media serang PR

BAYAN BARU, 7 Mac: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyelar Umno dan Barisan Nasional (BN) yang menggunakan media arus perdana untuk menyerang Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah beberapa negeri sekarang.

Menurut Lim, ketakutan yang amat sangat oleh Umno dan BN menjadikan mereka resah dan bimbang dengan kebangkitan rakyat yang terus menyokong PR walaupun serangan demi serangan mereka lakukan.

"Oleh kerana kita tidak mendapat pengadilan daripada media arus perdana, maka tindakan memberi penerangan sebenarnya kepada rakyat harus dilaksanakan.

“Justeru itu rakyat harus sedar media arus perdana tidak bersikap adil kepada kita PR walaupun kita mendapat mandat daripada rakyat untuk memerintah," kata Lim lagi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP membidas Umno dan BN yang cuba memecahkan kekuatan yang ada dalam PR dengan memanipulasikan pelbagai berita yang tidak benar.

"Suka saya nyatakan di sini bahawa dakwaan mereka daripada Umno dan BN yang mengatakan PR berpecah dan hilang keyakinan rakyat adalah satu fitnah jahat yang sengaja mereka taburkan bagi mengalih pandangan rakyat terhadap pelbagai isu rasuah,korupsi dan ketidakadilan yang telah dan sedang mereka laksanakan.

"Sehubungan itu, saya suka yakinkan kepada semua yang hadir bahawa Kerajaan DAP, PAS dan PKR akan tetap bersama menerajui Kerajaan Pakatan Rakyat walaupun adanya usaha daripada Umno dan BN untuk menjatuhkan Kerajaan PR yang sedia ada sekarang ini.

"Mereka tidak boleh menjatuhkan kita kecuali kuasa rakyat sahaja yang mampu mengalihkan pemerintahan yang sedia ada,"katanya lagi.



Lim berkata demikian semasa menyampaikan ucapan beliau dalam majlis Sambutan 2 Tahun Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang yang telah diadakan di Sungei Nibong.



Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Mohd Salleh Man, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr Mansor Othman dan kepimpinan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.


Sumber berita : HarakahDaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails