Monday, March 29, 2010

TG Nik Aziz kekal mursyidul am lima tahun lagi

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini dilantik semula sebagai mursidul am PAS untuk sesi 2010-15.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kedua majlis syura ulamanya di pejabat agung PAS,di ibu negara pagi ini.

Pelantikan itu sekali gus menutup ruang spekulasi berhubung kedudukan tokoh popular PAS itu yang melanda sejak minggu lalu apabila kedudukannya bergantung kepada sokongan 16 lagi anggota majlis tersebut.

Spekulasi tercetus minggu lala apabila majlis syura ulamanya tidak membuat sebarang pelantikan terhadap pengerusi dan timbalannya, sebaliknya hanya melantik lima anggota tambahan.

Majlis tersebut mempunyai 17 anggota - masing-masing empat wakil daripada jawatankuasa pusat dan dewan ulama, dua orang daripada dewan Pemuda dan Muslimat serta empat lagi anggota tambahan.

Sementara itu, dalam mesyuarat hari ini juga, Datuk Dr Haron Din turut dilantik semula sebagai timbalan mursyidul am bagi membantu tugas-tugas Nik Aziz sebagai pengerusi majlis tertinggi dalam parti.

Hormati keputusan, Nik Aziz terima

Turut dilantik sebagai anggota tambahan: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak, Pesuruhjaya PAS Perlis Hashim Jasin dan bekas timbalan presiden Hassan Syukri.

Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang ketika ditemui pemberita di parlimen mengesahkan pelantikan Nik Aziz dan Dr Haron selama lima tahun.

Tambahnya, Nik Abdul Aziz sebelum ini yang menyatakan kegembiraan sekiranya tidak dilantik semula, bertindak demikian dengan "moral yang tinggi."

Ditanya mengenai pertimbangan anggota majlis berkenaan terhadap tahap kesihatan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi berkata menteri besar Kelantan itu dilihat masih mampu menjalankan tugas-tugasnya.

Sementara itu, walaupun membayangkan enggan dilantik semula sebagai pemimpin nombor satu dalam PAS, Nik Aziz hari ini dijangka mengumumkan kesediaannya memikul semula tanggungjawab dengan segera.

Menurut setiausaha politiknya Wan Nik Wan Yussof, satu kenyataan akhbar berhubung perkara itu akan dikeluarkan lewat petang ini.

“Beliau terima. Tetapi (bertugas) macam dulu juga, kalau sakit tidak dapatlah hadir ke mesyuarat,” katanya kepada Malaysiakini tengah hari ini.

“Penerimaan tersebut dibuat bagi menghormati keputusan majlis syura ulama. Berdasarkan pengalamannya juga, beliau wajar dilantik semula.”

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails