Saturday, March 6, 2010

SPR: Tambah kerusi perlukan sokongan dua pertiga

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Di sebalik tindakan tiga Ahli Parlimen PKR menjadi wakil rakyat Bebas di Dewan Rakyat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui persempadanan semula bahagian pilihan raya khususnya sebarang pertambahan kerusi memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.

Sehubungan itu SPR menjelaskan, pihaknya belum lagi memikirkan soal berkaitan dengan urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya yang tempoh lat lapan tahun semasa hanya akan berakhir Mac 2011.

Mengambil kira tempoh tersebut, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya hanya akan membuat keputusan sama ada perlu dilakukan kajian semula ataupun sebaliknya apabila berakhirnya lat lapan tahun sempadan semasa.

“Kita belum lagi bercakap apa-apa mengenai urusan persempadanan, masih terlalu awal sebab lat lapan tahun sempadan bahagian pilihan raya semasa hanya akan berakhir Mac 2011.

“Sama ada hendak membuat kajian semula ataupun tidak, ia hanya akan diputuskan selepas lat lapan tahun berakhir. Kita akan adakan mesyuarat selepas Mac 2011.

“Jika SPR memutuskan untuk membuat kajian semula bahagian pilihan raya, maka urusan ini mesti siap dalam tempoh dua tahun daripada tarikh cadangan persempadanan semula dipamerkan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Wan Ahmad memberitahu pejabat-pejabat pilihan raya negeri sudah pun memulakan kerja-kerja awal mengumpul data yang boleh membantu urusan kajian semula sempadan pilihan raya jika mahu dijalankan kelak.

“Kerja awal ini berkaitan dengan aspek pertumbuhan pembangunan, kemajuan infrastruktur, peningkatkan penduduk dan pergerakan penduduk dan sebagainya... yang akan membantu SPR dalam menentukan sama ada perlu dijalankan kajian ataupun sebaliknya,” katanya.

Kali terakhir urusan persempadanan bahagian pilihan raya siap dijalankan adalah pada 2003 di mana ia menambah kerusi Dewan Rakyat kepada 222 dan diguna pakai dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Urusan itu dimulakan pada 2002 dan diwartawakan dua tahun kemudian.

Berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu, lazimnya sempadan bahagian pilihan raya semasa akan digunakan dalam dua kali pilihan raya.

Justeru, pemerhati melihat kemungkinan akan ada persempadanan semula kali ini tetapi sama ada ia akan digunakan ataupun sebaliknya bergantung pada bila kerajaan memanggil pilihan raya umum ke-13.

Mandat semasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri kecuali Sarawak akan berakhir pada Mei 2013.

Ekoran siri tindakan Ahli Parlimen PKR keluar parti itu kini timbul persoalan sama ada BN akan memperolehi kembali majoriti dua pertiga di Parlimen.

Ia sangat penting untuk urusan kelulusan seperti persempadanan semula bahagian pilihan raya.

Kini BN mempunyai 137 kerusi manakala Pakatan Rakyat 78 kerusi, Bebas empat, Parti Sosialis Malaysia satu dan Parti Maju Sabah dua.

Wan Ahmad berkata, SPR perlu memaklumkan kepada Parlimen syor mereka sama ada perlu menjalankan kajian semula persempadanan semula pilihan raya ataupun sebaliknya.

“Sama ada hendak buat kajian atau pun, kita kena maklum kepada perdana menteri, kemudian kepada Kabinet dan Parlimen... juga kepada Dewan-dewan Undangan Negeri.

“Jika mahu kekal dengan sempadan semasa (dengan bilangan kerusi semasa) tanpa melibatkan apa-apa kajian, SPR kena maklumkan kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Tarikh cadangan persempadanan semula itu boleh bermula bila-bila masa selepas lat lapan tahun berakhir Mac 2011.

Walaupun keseluruhan urusan persempadanan semula itu perlu disiapkan dalam dua tahun sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, lazimnya akan mengambil masa 12 hingga 18 bulan.

The Malaysian Insider difahamkan berdasarkan senario semasa proses kelulusan persempadanan semula bahagian pilihan raya akan melalui proses yang sukar.

BN tidak memiliki majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat manakala empat negeri pula dikuasai Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor.

Pulau Pinang pernah tidak meluluskan laporan urusan persempadanan pilihan raya yang membawa kepada peningkatan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negerinya pada 1994.

Oleh itu ia menggunakan sempadan lama pada pilihan raya umum 1995.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails