Monday, March 1, 2010

“Saya mendapat petunjuk untuk masuk Umno,” - Fairus

Fairus berkata beliau mendapat petunjuk untuk menyertai Umno, parti pilihan terbarunya ini, selepas solat sunat sejak tiga bulan lalu.

“Saya mendapat petunjuk untuk memilih masuk Umno,” kata beliau ketika ditanya mengapa memilih parti dominan Barisan Nasional ini.



Fairus nafi masuk Umno kompromi dibersihkan SPRM

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Bekas timbalan ketua menteri I Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin (gambar) menafikan beliau menyertai Umno sebagai satu kompromi selepas dibersihkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu.

Penyertaan beliau diterima oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak serta-merta dengan “senang hati” malam tadi.

Fairus juga menandatangani borang penyertaan ke dalam Umno di hadapan Najib.

“Saya hendak menafikan sekeras-kerasnya. Saya tidak bersalah. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Saya sudah dua kali dibersihkan (oleh SPRM),” kata Fairus pada sidang media selepas majlis Perjumpaan Kepimpinan Tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Bersama Perdana Menteri Malaysia yang turut dihadiri Najib.

Dua minggu lalu SPRM mengumumkan pihaknya telah menutup kes terhadap lapan personaliti berprofil tinggi termasuk Fairus yang disiasat ketika berada dalam kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

Beliau telah disiasat oleh SPRM berhubung kes rasuah melibatkan syarikat kuari di Seberang Perai.

Terdahulu Fairus dengan berpakaian ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong mengumumkan beliau keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu khususnya hilang kesabaran ekoran isu polemik kalimah “Allah”.

“Sebagaimana saya katakan dulu, saya memantau perkembangan politik... saya pun ada had kesabaran,” katanya.

Ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan untuk membersihkan namanya, Fairus, 33, berkata beliau tidak perlu melakukan apa-apa untuk menebus imejnya atas alasan tidak membuat sebarang “kesalahan.”

Fairus berkata beliau mendapat petunjuk untuk menyertai Umno, parti pilihan terbarunya ini, selepas solat sunat sejak tiga bulan lalu.

“Saya mendapat petunjuk untuk memilih masuk Umno,” kata beliau ketika ditanya mengapa memilih parti dominan Barisan Nasional ini.

Ketika ditanya sama ada beliau hilang kepercayaan terhadap Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fairus berkata, sudah cukup memadai dengan mengatakan “pucuk kepimpinan.”

Fairus berkata beliau memutuskan untuk meletakkan jawatan timbalan ketua menteri dan ADUN Penanti awal tahun lalu untuk mengekalkan kestabilan dalam PKR.

“Saya sudah membuat yang terbaik dengan membuat pengorbanan untuk parti demi kestabilan parti dan pakatan,” kata beliau sambil menambah beliau mengambil untuk melepaskan jawatan timbalan ketua menteri kerana tidak mahu mewujudkan suasana kucar-kacir.

“Ada pihak dalam parti yang mahukan jawatan (timbalan ketua menteri) dan menimbulkan pelbagai masalah, tetapi saya ambil keputusan (letak jawatan) kerana mahu jaga kestabilan dalam parti,” katanya.

Fairus mengakui beliau pernah berhadapan dengan tekanan daripada segelintir orang dalam PKR agar mengosongkan jawatan dalam kerajaan dan sebagai wakil rakyat.

Mengenai keputusan bekas pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Hashim yang mengumumkan keluar parti itu bulan lepas, Fairus memberitahu, mereka membuat komen masing-masing berdasarkan pemantauan profesional sendiri.

“Selari dengan amalan demokrasi kita harus menerima pandangan tetapi mengapa mengenakan tekanan ke atas mereka yang memberikan pandangan,” katanya.

Selain Zahrain difahamkan beberapa wakil PKR akan keluar dalam waktu terdekat ini.

Ada dua Ahli Parlimen lain dari PKR juga mengecam kepimpinan PKR dan mereka sedang disiasat lembaga disiplin.

Bagaimanapun Fairus menafikan beliau keluar PKR semalam kerana dipengaruhi oleh rakan-rakannya yang bertindak sedemikian.

“Mereka tidak menelefon saya, saya pun tidak berhubungan dengan mereka... kalau mereka hendak menyertai Umno, saya alu-alukan mereka,” katanya.

Bahagian Umno yang beliau akan sertai tidak disahkan oleh pucuk kepimpinan.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula berkata pihaknya akan menggunakan pengalaman Fairus bersama bekas Ketua Angkatan Muda PKR Ezam Mohd Noor dan beberapa bekas pemimpin parti itu dalam program kempen mereka.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails