Wednesday, March 31, 2010

Proksi Najib, Muhyiddin bertarung di Sabah

Dalam satu insiden menghentak meja, Ketua Menteri Musa Aman dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Shafie Apdal dilaporkan bertikam lidah di depan Muhyiddin.

Fuh!! Sampai menghentak meja dah.. sikit hari lagi hentak dengan kerusilah tu...


Oleh staf FMT

KOTA KINABALU: Pertikaman lidah di antara pemimpin-pemimpin peringkat tertinggi di Sabah dilihat sebagai pertarungan di antara proksi Perdana Menteri Najib Tun Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin.

Dalam satu insiden menghentak meja, Ketua Menteri Musa Aman dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Shafie Apdal dilaporkan bertikam lidah di depan Muhyiddin.

Shafie, ahli parlimen daerah pantai timor Sabah, Semporna, merupakan naib presiden Umno yang pertama dari negeri itu dan dilihat sebagai budak kesayangan Najib.

Sejak akhir-akhir ini, di kalangan Umno tersebar berita Musa, yang setakat ini mampu mengekalkan pengaruhnya sebagai Ketua Umno Sabah, akan dibawa ke Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

Apabila Muhyiddin membuat lawatan tiga hari ke negeri itu dua minggu lalu susulan lawatan Ketua Menteri Melaka Ali Rustam ke sana, beliau merasmikan satu mesyuarat di kalangan pemimpin-pemimpin Sabah.

Perbalahan mengenai peruntukan kewangan

Menurut para pemimpin Umno yang hadir di dalam mesyuarat tertutup itu, perbincangan di adakan mengenai peruntukan kewangan dari kerajaan persekutuan untuk pembangunan luar bandar, hingga mencetuskan perbalahan di antara Musa dan Shafie.

Mereka yang hadir mendakwa Musa menekankan bahawa semua peruntukan daripada kerajaan pusat yang disalurkan menerusi kementerian di bawah Shafie, hendaklah disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Mereka menyatakan Shafie bagaimanapun bertegas bahawa peruntukan kerajaan persekutuan hendak diuruskan oleh kementeriannya memandangkan kerajaan negeri mempunyai peruntukannya sendiri untuk pembangunan luar bandar.

Kebuntuan ini menyebabkan Musa dan kemudian Shafie menghentak meja bagi mempertahankan pendapat masing-masing dengan Muhyiddin lebih menumpukan perhatian kepada hujah Musa.

Kejadian ini membuat Umno yakin Muhyiddin menyebelahi Musa menentang Shafie, yang disebut-sebut akan memegang jawatan ketua menteri itu nanti.

Perbalahan di antara Musa dan Shafie berhubung bahagian-bahagian Umno di Sabah sudah diketahui ramai di arena politik negeri.

Pada pilihan raya bahagian Umno Sabah dua tahun lalu, para penyokong Musa secara terbuka menyokong calon-calon yang bertanding menentang para pemimpin yang mempunyai kaitan dengan Shafie.

Insiden terbaru di antara ketua menteri dan naib presiden Umno itu memberi persepsi yang berbeza dan kini ditafsirkan sebagai pergaduhan di antara proksi Najib dan Muhyiddin bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

Perbalahan Musa-Shafie dilihat oleh setengah-setengah pemerhati sebagai perebutan untuk menguasai wang yang akan mengalir dari Kuala Lumpur bagi memperkukuhkan cengkaman mereka dalam bahagian-bahagian Umno Sabah melalui peruntukan projek-projek.

Musa dilihat sebagai pemimpin Umno Sabah terkaya dengan memegang kewangan negeri, konsesi balak dan projek-projek negeri manakala Shafie cuba melebarkan pengaruhnya dengan peruntukan-peruntukan terbaru untuk pembangunan luar bandar di Sabah.

Dengan mempunyai jumlah perwakilan yang kedua terbesar di negara ini pada perhimpunan agung Umno, Sabah boleh mempengaruhi keputusan-keputusan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin peringkat nasional.

Musa yang memegang tampuk ketua menteri lebih lima tahun, sejak akhir-akhir ini berusaha mengukuhkan kedudukannya ke atas parti itu.

Sebilangan ahli-ahli Umno mengadu mereka tidak menerima peruntukan negeri yang sepatutnya melalui Musa kerana mereka dikenal pasti sebagai penyokong Shafie.

Mereka menganggap Musa adalah seorang ahli perniagaan yang licik dan Shafie tidak boleh menandinginya apabila menggunakan projek dan wang untuk kekal berkuasa.

Jadi, apabila berita mengenai hentakan meja bocor, khabar-khabar angin mula berterbangan bahawa Musa terpaksa mengundur diri.

Menguji ‘kocakan air’ politiik

Cakap-cakap di kalangan politik di Sabah ialah Muhyiddin, Menteri Pertahanan Ahmad Zaid Hamidi dan Menteri Pengajian Tinggi Khalid
Nordin bergabung untuk menguji ‘kocakan air’ politik menentang kem Najib dan sepupunya Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein.

Sejak kemasukan Umno ke Sabah pada tahun 1990, para perwakilan telah memainkan peranan mereka bagaimana pertarungan di antara proksi-proksi pada peringkat nasional terjadi.

Ketika bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyokong Allahyarham Ghafar Baba untuk jawatan timbalan presiden Umno, 14 bahagian Umno yang diketuai oleh bapa saudara Sakaran Dandai menentang Dr Mahathir.

Mereka menghantar memorandum menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim hingga memaksa Dr Mahathir menggugurkan sokongannya terhadap Ghafar.


freemalaysiatoday

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails