Wednesday, March 10, 2010

Pilihanraya PBT : Najib Takut banyak negeri terlepas sebenarnya..

Jika Najib bersetuju untuk mengadakan pilihan raya PBT, habislah dia. Banyak negeri akan terlepas dari genggaman Barisan Nasional. Sebaliknya, kalau Najib tak bersetuju, maka akibat lain pula menantinya. Pakatan Rakyat akan memperoleh kelebihan kerana mereka tidak hanya dianggap lebih demokratik, tetapi juga lebih progresif.

THE CORRIDORS OF POWER

Raja Petra Kamarudin

Sebenarnya, pelaksanaan pilihan raya PBT adalah berbahaya bagi kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Anda benar-benar tak tahu hasil pilihan raya itu nanti. Anda membaling dadu dan berharap bahawa nombor yang diperoleh memenuhi kehendak anda. Tapi siapa yang mampu mengawal balingan buah dadu?

Sedarkah anda bahawa sejak 8 Mac 2008, Pakatan Rakyat begitu lembab dari segi pelaksanaan pilihan raya PBT? Sebenarnya, saya tak salahkan mereka, pun. Kita ambil contoh Kelantan. Apa akan jadi jika PBT di Kelantan (yang dikuasai PAS) dikuasai UMNO? Kacaulah jadinya dek kerana PBT tak mengikut arahan kerajaan negeri. UMNO dapat memperalatkan PBT bagi mensabotaj PAS dan menjatuhkan kerajaan negeri.

Inilah yang menjadi kebimbangan Pakatan Rakyat, dan inilah sebabnya mereka sangat berhati-hati dalam dua tahun kebelakangan ni. Perkara ni seterusnya mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Gerakan masyarakat sivil, badan bukan kerajaan, blogger dan sebagainya mengeluh tentang betapa Pakatan Rakyat cakap tak serupa bikin. Ini (pilihan raya PBT) adalah salah satu janji yang dibuat Pakatan Rakyat pada pilihan raya Mac 2008, yang mana ia masih belum ditunaikan sehingga sekarang.

Akhirnya, Pakatan Rakyat tak boleh lagi bertangguh. Suka ataupun tidak, mereka terpaksa mengumumkan pelaksanaan pilihan raya PBT. Tapi ia bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan Pakatan Rakyat secara sendirian. Pelaksanaan pilihan raya PBT bukannya macam nak adakan jualan hujung minggu. Ia melibatkan hal undang-undang yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Pihak yang mempunyai kuasa bagi melaksanakan pilihan raya PBT adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Misalnya, Pakatan Rakyat boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat kelulusan daripada Sultan (ataupun Gabenor bagi negeri-negeri yang tidak bersultan). Tapi selepas tu, mereka perlu memaklumkan kepada SPR Majlis bahawa DUN telah dibubarkan (ataupun kerusi tertentu kini kosong), dan terserahlah kepada SPR untuk memutuskan masa pilihan raya akan diadakan.

Hakikat yang sama terpakai bagi pilihan raya PBT. SPR adalah pihak yang mempunyai kuasa bagi menguruskan pilihan raya itu. Tapi ia hanya boleh dilakukan jika terdapat peruntukan undang-undang bagi melaksanakannya. Kalau tak, maka undang-undang baru perlu diperkenalkan, yang membolehkan dan memperuntukkan pelaksanaan pilihan raya PBT.

Inilah masalah yang akan dihadapi Pakatan Rakyat. Parlimen dikawal oleh Barisan Nasional dan bukannya Pakatan Rakyat. Barisan Nasional tak mahu pilihan raya PBT diadakan atas sebab yang sama yang menghantui PAS. Jadi, usaha ini (pengenalan undang-undang baru) pasti akan dihalang di Parlimen.

Mari kita ambil Perak pula sebagai contoh. Katakanlah mereka mengadakan pilihan raya PBT di Perak, yakni sebuah negeri Barisan Nasional. Katakan pula Pakatan Rakyat menguasai semua ataupun sebahagian besar PBT. Bolehkah anda bayangkan betapa peningnya Barisan Nasional nanti? Perak akan menuju ke arah yang bertentangan dengan arahan kerajaan negeri. Dalam keadaan itu, Pakatan Rakyatlah yang menguasai Perak, dan bukannya Barisan Nasional.

Selain tu, Barisan Nasional tak boleh mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri-negeri Pakatan Rakyat sahaja. Jika pilihan raya PBT diadakan, maka ia perlu melibatkan seluruh negara. Apakah natijahnya kalau hanya empat negeri Pakatan Rakyat yang mengadakan pilihan raya PBT, sedangkan negeri-negeri Barisan Nasional tak berbuat demikian? Kalau begitu, maka pada pilihan raya akan datang, para pengundi di negeri-negeri itu akan mengundi Pakatan Rakyat supaya mereka juga dapat mengadakan pilihan raya PBT.

Lim Guan Eng telah mengambil langkah yang begitu bijak dan saya memang angkat topi padanya. Dia merenung Najib dan Najib yang berkedip terlebih dahulu. Khalid Ibrahim juga telah membuat pengumuman yang serupa. Ustaz Azizan dan Tok Guru Nik Aziz juga harus mengumumkan bahawa Kedah dan Kelantan akan mengikut jejak langkah kedua-dua negeri itu. Ini pasti memerangkap UMNO.

Jika Najib bersetuju untuk mengadakan pilihan raya PBT, habislah dia. Banyak negeri akan terlepas dari genggaman Barisan Nasional. Sebaliknya, kalau Najib tak bersetuju, maka akibat lain pula menantinya. Pakatan Rakyat akan memperoleh kelebihan kerana mereka tidak hanya dianggap lebih demokratik, tetapi juga lebih progresif.

Seperti yang saya katakan tadi, Lim Guan Eng telah mengambil langkah yang bijak. Barisan Nasional kini dah masuk ke dalam jeratnya. Guan Eng, saudaralah wira kami! Hidup Guan Eng!


Translated by Jason from original artical published here.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails