Tuesday, March 30, 2010

PERKASA yang PERASAN..

Perkasa hanya bertindak sebagai pelengkap kepada Umno dalam memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu. Jadi kita tidak lihat mereka mampu mengubah pergerakan sesebuah parti politik di Malaysia


Pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang terbesar, Perkasa yang mengadakan mesyuarat agung tahunan sulungnya kelmarin, dilihat tidak mampu memainkan peranan sebagai penentu kuasa politik sebaliknya hanya akan merugikan Umno dalam jangka panjang, kata pemerhati dan penganalisis politik.

Sehubungan itu menurut Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Perkasa hanya dilihat sebagai pelengkap kepada perjuangan Umno bukannya penentu kuasa politik.

“Kita tidak lihat Perkasa mampu mempengaruhi kuasa politik sebaliknya kewujudannya bersama Umno hanya akan melumpuhkan perjuangan mereka.

“Perkasa hanya bertindak sebagai pelengkap kepada Umno dalam memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu. Jadi kita tidak lihat mereka mampu mengubah pergerakan sesebuah parti politik di Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mohamad Agus memberitahu, majoriti ahli Perkasa adalah individu-individu yang telah menerima perjuangan Umno sejak dari dulu.

“Majoriti ahli Perkasa adalah orang Umno dan ini jelas sekiranya Umno tidak memperjuangkan hak orang Melayu kesannya dilihat lebih kepada Umno bukan parti-parti politik lain.

“Jadi sekiranya Umno tidak memperjuankan hak serta kepentingan orang Melayu maka Perkasa akan bangkit dan memainkan peranan mereka sebagai sebuah pertubuhan yang memperjuangkan orang Melayu,” katanya.

Tambahnya, Perkasa tidak berupaya untuk menjatuhkan mana-mana parti politik melalui undi pada pilihan raya umum kerana keputusan itu terletak di tangan rakyat bukan mereka.

“Perkasa boleh kata apa sahaja kerana penentu undi bukan pada mereka tetapi rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kelmarin yang memberi amaran kepada parti-parti politik negara ini, khususnya Umno agar tidak “bermusuh” dengan pertubuhan bukan kerajaan itu, sekiranya mahukan sokongan dalam pilihan raya umum.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif firma kajian pandangan umum Merdeka Center, Ibrahim Suffian pula memberitahu Perkasa dilihat sebagai pasangan kepada Umno dalam memperjuangkan hak orang Melayu sahaja.

“Perkasa berfungsi sebagai gandingan kepada Umno bukan sebagai penentu kuasa politik. Ini kerana asas, tujuan serta perkara yang diperjuangkan tertumpu kepada prinsip asas Umno.

“Selain itu, Perkasa dilihat sebagai pendesak kepada Umno dan akan bertindak sekiranya Umno mengetepikan hak keistimewaan orang Melayu.

“Kalau mengatakan Perkasa sebagai penentu kuasa politik ia tidak tepat kerana pengundi dan rakyat yang berhaluan kanan akan tetap bersama Umno berbanding parti-parti politik lain,” katanya.

Ibrahim berkata, implikasi daripada kenyataan Ibrahim supaya tidak “bermusuh” dengan pertubuhan itu terutamanya Umno adalah supaya parti Melayu itu membuka mata dan pada masa yang sama tidak meninggalkan asas perjuangan mereka.

“Apabila Perkasa mengeluarkan kenyataan begitu ia secara tidak langsung akan membuka mata Umno agar tidak mengetepikan perjuangan orang Melayu.

“Boleh katakan Umno dan Perkasa adalah selari cuma Umno adalah sebuah parti besar serta perlu seimbang dengan parti komponen yang lain manakala Perkasa pula hanya sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak orang Melayu,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Profesor Madya Dr Ghazali Mayhuddin juga selari dengan pandangan mereka dengan memberitahu bahawa Perkasa tidak mampu bertindak sebagai kuasa penentu politik kerana pertubuhan itu dilihat hanya berlegar-legar di kalangan individu tertentu.

“Mungkin apa yang diperjuangkan hanya bersifat retorik semata-mata dan ia tidak akan memberikan sebarang impak yang besar kepada penentu kuasa politik.

“Rakyat sudah matang serta boleh berfikir secara rasional malah mampu menilai dalam membuat keputusan tepat terutamanya dalam perkara ini,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan agar tidak “bermusuh” dengan pertubuhan bukan kerajaan itu seolah-olah berbaur ugutan kepada parti-parti politik.

“Kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim seolah-olah berbaur ugutan kepada parti-parti politik dan ini jelas membuktikan bahawa Perkasa mempunyai agenda yang lebih bersifat peribadi bukan kepada komuniti.

“Mungkin agenda serta tujuan kewujudan Perkasa tertumpu kepada kepentingan peribadi bukan komuniti seperti yang dikatakan.

“Kita tidak tahu apa motif mereka jadi buat masa sekarang kita hanya perlu tunggu dan lihat sahaja,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails