Tuesday, March 2, 2010

PAS, DAP tetap sokong DSAI sebagai Ketua Pembangkang.



Oleh Clara Chooi dan G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 2 Mac — Ekoran tindakan dua Ahli Parlimen PKR keluar parti itu dan kemungkinan ada 10 lagi yang akan berbuat demikian dalam waktu terdekat, Pakatan Rakyat (PR) kelihatan masih jauh daripada sasarannya ke Putrajaya dan menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen dalam pilihan raya umum ke-13.

Malah bekas setiausaha agung Datuk Salehuddin Hashim, yang meletakkan jawatannya Januari lalu semalam tidak menolak kemungkinan PR akan kehilangan kedudukannya menguasai satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.

Justeru kata Penasihat DAP Lim Kit Siang, yang menganggap tindakan membelakangi parti itu sebagai sesuatu yang berkemungkinan “memedihkan dan menyeksa”, tetapi PR perlu melalui “proses pembersihan diri”.

Tanpa mengulas lanjut, Lim dalam nada kelihatan ‘kecewa’ memberitahu The Malaysian Insider bahawa jika PR mahu memperoleh kembali keyakinan rakyat, mereka perlu “membersihkan rumah tangga” mereka.

“Walaupun ia memedihkan dan sesuatu yang menyeksa tetapi kita perlu melaluinya,” kata beliau.

Lim tidak mahu bercakap panjang mengenai soal kedudukan kumpulan wakil rakyat Bebas di Parlimen tetapi hanya berkata: “Biar mereka adakan teater mereka dulu dan kita akan tengok apa yang akan berlaku.”

“Yang hendak saya katakan di sini ialah Pakatan perlu melalui proses pembersihan diri,” kata wakil rakyat ini.

Pandangan beliau turut diakui oleh bekas setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar yang mahu PR melihat “perkembangan semasa sebagai satu proses pembersihan dalaman” untuk memperkukuhkan pakatan itu ke arah Putrajaya.

“Pakatan berada dalam suasana paling kritikal sekarang... ini kita harus anggap sebagai satu proses pembersihan di mana mengeluarkan wakil-wakil yang tidak memiliki semangat Pakatan,” kata beliau dengan memberikan semangat kepada rakannya dalam PKR supaya tidak “kecewa” dengan perkembangan semasa.

“Kami dalam PAS akan bersama dengan PKR untuk menghadapi suasana ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat dan anggota jawatankuasa kerja PAS pusat ini.

Beliau juga berkata, PR berpendirian untuk mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ketua pembangkang walaupun akan berlaku perubahan kerusi antara PKR dan DAP ekoran tindakan beberapa Ahli Parlimen keluar parti.

Dalam pada itu Pengerusi lajnah perpaduan kebangsaan PAS, Mujahid Yusof Rawa bagaimanapun mengetepikan andaian kewujudan blok wakil-wakil Bebas, fenomena baru dalam Parlimen negara ini.

“Tiada anggota perundangan Bebas yang sebenarnya (di negara kita). Mereka sama ada di sini (dalam Pakatan) atau di sana (Barisan Nasional),” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Parit Buntar ini memberikan contoh di mana tiga Adun Perak masing-masing dua dari PKR dan seorang dari DAP bertindak keluar tahun lalu, menjadi wakil rakyat mesra BN.

“Ini cuma satu permainan politik. Mereka mengumumkan bahawa mereka meninggalkan sekarang dan kemudian mereka akan berkata mesra kepada Barisan,” katanya.

Walaupun mereka yang bertindak keluar ini kekal sebagai Bebas, kata Mujahid beliau meramalkan blok yang diwujudkan mereka akan berfungsi sebagai sokongan kepada kerajaan BN untuk mendapatkan sokongan dua pertiga di Parlimen.

Naib Presiden PKR Dr Lee Boon Chye pula memberitahu mereka yang keluar itu akan merasakan halangan masing-masing untuk benar-benar menjadi Ahli Parlimen Bebas di Parlimen.

“Dalam situasi sekarang pun, walaupun dengan adanya barisan pembangkang yang kuat dengan kerusi satu pertiga, kami merasakan sukar untuk mengimbangi penguasaan Barisan, apa lagi anda sebagai Bebas,” katanya.

Salehuddin semalam secara terbuka mengakui lebih ramai Ahli Parlimen parti itu akan keluar — dipercayai lebih daripada 10 orang.

Menjawab soalan desas-desus akan ada 10 anggota Dewan Rakyat akan keluar dalam waktu terdekat, Salehuddin semalam membayangkan jumlah itu “mungkin lebih.”

“Ya (akan ada yang akan keluar)... tolak kumpulan sosialis, tolak NGO, tolak kroni... anda kira sendiri, anda akan dapat jawapan,” kata beliau kepada wartawan ketika menemani Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng umum keluar PKR dan jadi Ahli Parlimen Bebas.

Justeru itu apabila ditanya sama ada BN akan memperoleh balik majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, beliau yang turut telah keluar PKR bulan lalu memberitahu:

“Mereka keluar jadi ahli bebas, Pakatan Rakyat akan hilang satu pertiga (kedudukan kerusi) tetapi tidak bermakna BN akan menang (dapat balik) majoriti dua pertiga,” katanya.

Tan mengumumkan keluar parti, sekali gus memainkan peranan sebagai wakil rakyat Bebas tetapi bukan mesra-BN. Tiga minggu lalu rakannya dari Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim bertindak keluar untuk memainkan peranan sebagai wakil Bebas.

Ketika ditanya sama ada tindakan ahli-ahli Parlimen PKR menjadi wakil rakyat Bebas akan mewujudkan blok baru di Parlimen, Salehuddin berkata, anggota PKR sudah mengambil pendirian mereka dan kemungkinan ada wakil dalam DAP dan PAS juga mahu berbuat demikian.

Kini di Parlimen BN mempunyai 137 kerusi manakala PKR dan DAP masing-masing 28 dan PAS pula 23 serta seorang dari Parti Sosialis Malaysia. Lima yang lain ialah wakil rakyat Bebas termasuk dua bekas anggota PKR.

BN memerlukan 11 kerusi untuk kembali menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails