Monday, March 29, 2010

P094 : Muhyidin tolak Muhamad Taib sebagai calon BN

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin secara lembut menolak cadangan agar Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib dicalonkan Umno sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Saya tak fikir Muhamad Mohd Taib setuju," kata Muhyidin ketika ditanya wartawan tentang cadangan Umno Hulu Selangor agar bekas MB Selangor itu dipilih sebagai calon BN.

Muhamad adalah bekas Adun Batang Kali, salah satu DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor. Umno Hulu Selangor mencadangkan beliau dipilih sebagai calon dalam pilihan raya kecil kawasan itu nanti.

Mereka yakin, jika Muhamad dipilih, BN akan menang mudah sebagaimana rekod yang ditunjukkan BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang apabila bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dipilih sebagai calon.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu masih yakin kerusi Parlimen Hulu Selangor akan diperuntukkan kepada wakil parti itu walaupun Umno terus menggesa agar ia diserahkan kembali kepada parti dominan Barisan Nasional (BN) itu.

“Saya berharap begitu, berharap MIC akan dibolehkan bertanding lagi di Hulu Selangor dan kekal pada tradisi yang telah pun dipersetujui selama ini,” kata Samy Vellu (gambar) ketika dihubungi laman web The Malaysian Insider hari ini.

PKR pula sedang mempertimbangkan lima nama yang telah disyorkan untuk dipilih sebagai calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

“Kami ada terima tiga hingga lima nama. Pucuk kepimpinan akan mempertimbangkan nama-nama ini,” kata Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh.

Nama yang disebut-sebut ialah Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Cabang Kelan Jaya Syed Shahir Syed Mohamud yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Ketua Cabang Sabak Bernam Badrul Amin, peguam dan akitivis N. Surendran dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Datuk Zaid Ibrahim.

Sebelum ini, Harakahdaily menyiarkan tulisan Ketua Pengarangnya, Zulkifli Sulong yang meramalkan Datuk Zaid Ibrahim bakal menjadi calon PKR dalam pilihan raya Hulu Selangor ini.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails