Thursday, March 25, 2010

Najib Timbang Tambah Lesen Judi Lagi

KUALA LUMPUR 25 Mac - Kerajaan Umno-Barisan Nasional bercadang memperluaskan lagi aktiviti judi di negara ini apabila menimbang untuk meluluskan lesen perjudian dalam bidang sukan.

Pertimbangan permohonan lesen tersebut dikatakan mempunyai hubungan dengan pertandingan Piala Dunia yang akan diadakan di Afrika Selatan pada pertengahan tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu semasa menghadiri Persidangan Pelaburan Asia Credit Suisse ke-13 di Hong Kong dengan menyatakan Malaysia sedang menilai cadangan untuk meluluskan perjudian sukan di negara ini bagi menjadikan perjudian itu sah dan mempunyai lesen.

Ahli Parlimen Rasah Loke Siew Fook mahu Perdana Menteri memberi penjelasan mengenai kenyataan beliau itu.

"Saya minta Perdana Menteri hadir ke Parlimen minggu depan bagi menjelaskan kenyataan beliau pada persidangan tersebut. Kita mahu beliau jelaskan kepada rakyat tentang pertimbangan beliau ingin meluluskan permohonan perjudian sukan di Malaysia. Kalau beliau berani keluar kenyataan di Hong Kong maka dia perlu berani jelaskan di Parlimen.

"Kenapa Perdana Menteri hendak pertimbangkan permohonan tersebut, kerana nak bersaing dengan negara lain? Kerajaan sepatutnya meneliti impak besar yang akan timbul kepada rakyat, akan lebih ramai akan berjudi dan membuat pinjaman dengan along dan sebab along akan timbul unsur jenayah," jelas Loke pada sidang akhbar di Parlimen pagi tadi.

Beliau menegaskan menurut laporan media asing, AFP News dan Asiaone Malaysia akan pertimbangkan perjudian sukan yang sah.

"Jelas kenyataan tersebut bahawa Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan masih pertimbangkan lesenperjudian dan mengambil kesempatan dengan kedatangan Piala Dunia nanti bagi meluluskan lesen tersebut,"sambungnya lagi.

Pendirian yang telah di nyatakan oleh Najib juga menarik perhatian Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail.

"Sebelum ini semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau telah meluluskan lesen perjudian yang telah dipohon oleh Berjaya Group bagi syarikat Ascot Sport Sdn Bhd dalam perjudian sukan dengan perjanjian selama 20 tahun tetapi permohonan itu telah dibatalkan oleh Tun Abdullah Badawi selepas beliau mengambil tampuk pemerintahan negara.

"Tetapi tindakan untuk meluluskan permohonan yang telah dibatalkan sebelum itu telah di ambil oleh Najib untuk dibuat pertimbangan semula. Apakah kayu ukur yang digunakan oleh kerajaan dalam membuat pertimbangan dalam meluluskan permohonan tersebut.

"Adakah kerajaan terdesak dalam mendapat sumber kewangan bagi mengisi tabung kewangan negara sehingga tidak merujuk kepada aspek sosial sebelum membuat keputusan, kalau tujuan ini semata-mata maka keputusan itu tidak munasabah.

"Keberanian Najib cuma berani mendedahkan kenyataan itu di luar negara sahaja tetapi dalam akhbar tempatan Bahasa Malaysia dia tidak berani mengeluarkan kenyataan tersebut, ini jelas dia takut untuk berdepan dengan rakyat yang menentang perjudian di Malaysia," tegas Saifuddin.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad juga menekankan agar Perdana Menteri perlu jelaskan pendiriannya yang sebenar agar rakyat faham apa polisi yang dibawa oleh beliau.

"Kalau benar perkara ini sedang dipertimbangkan oleh kerajaan maka jelas Najib telah melanggar polisi yang telah dibawa oleh Pak Lah sebelum ini.

"Dalam keadaan tedesak kerajaan untuk mencari pendapatan baru, kerajaan gagal dalam menghormati pendirian rakyat di negara ini sehingga tidak mengambil kira tentang kesan impak gejala sosial jika mereka yang berjudi ini tertekan dengan hutang.

"Sifat kerajaan ingin meluluskan lesen perjudian sukan disifatkan sebagai mengalak rakyat untuk terus berjudi dan berhutang. Saya juga mencabar Najib perlu hadir dan jelaskan kepada kami jangan berdiam diri sahaja," tegasnya.

Sebelum ini Pakatan Rakyat mendesak kerajaan agar mengawal tindakan meluluskan pengeluaran lesen judi dan juga cabutan khas agar dapat mengawal masalah sosial negara ini. Pakatan

Rakyat akan terus menekan Perdana Menteri agar menjelaskan pendirian kerajaan dalam hal perjudian dan juga perkembangan terbaru ini.


Suara-Keadilan.com

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails