Sunday, March 21, 2010

Laporan Polis beramai-ramai terhadap Anwar..

Mereka akan menggunakan apa saja untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat yang diketui oleh DS Anwar Ibrahim..

Kita tunggu dan lihat.. adakah DS Anwar Ibrahim berjaya memecahkan rekod laporan Polis yang masih dipegang oleh Karpal Singh?



Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 21 Mac — Siri laporan polis yang pernah disaksikan sejak awal tahun lalu dijangka berterusan - kali ini membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berhadapan dengan serangan politik, ekoran pendedahan kononnya Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan ketua pembangkang itu sebagai Perdana Menteri sekiranya rancangan “16 September” menjadi kenyataan.

Pendedahan dakwaan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim yang telah keluar Parti Keadilan Rakyat di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Pagi ini, Pemuda Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan dijangka membuat laporan polis agar Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar disiasat di bawah Akta Hasutan.

Ia dipercayai laporan polis pertama terhadap Anwar yang berhadapan dengan siri serangan politik sejak saban tahun.

Malah sudah ada desakan agar Anwar disiasat di bawah Akta Hasutan atas alasan cuba menjejaskan ketenteraman awam dengan membuat dakwaan sedemikian dengan mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong.

The Malaysian Insider difahamkan laporan dibuat susulan kenyataan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing Presiden dan Timbalan Presiden Umno bahawa Anwar boleh disiasat oleh pihak berkuasa.

Salah seorang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula memberitahu Anwar boleh disiasat di bawah Akta Hasutan.

“Laporan polis dibuat mungkin selepas kenyataan dibuat oleh Perdana Menteri hari ini,” kata seorang pemimpin Umno ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada akan ada laporan yang kemungkinan dibuat di bandar-bandar lain susulan langkah Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Difahamkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan juga akan berbuat demikian selepas ini sebagaimana pernah disaksikan dalam isu-isu melibatkan agama dan kedudukan raja-raja Melayu.

Antara siri aduan polis yang menyaksikan rekod ialah laporan terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh.

Awal tahun lalu sebanyak 103 laporan polis dibuat terhadap kenyataan Karpal yang juga peguam terkenal, didakwa membuat kenyataan hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung kekacauan politik di negeri Perak.

Baru-baru ini polis dilaporkan menerima 45 aduan daripada pelbagai pihak terhadap bekas pegawai khas Najib, Datuk Nasir Safar yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis, yang telah menyinggung perasaan orang bukan Melayu.

Lazimnya polis boleh memulakan siasatan berdasarkan walaupun satu laporan, yang boleh dibuat oleh anggota polis sendiri.

Semalam Najib berkata pihak berkuasa akan meneliti sama ada berlaku pelanggaran undang-undang berhubung dakwaan ketua pembangkang itu.

“Terserah kepada pihak berkuasa, mereka (pihak berkuasa) akan meneliti sama ada apa-apa yang patut dilakukan.

“Dari segi siasatan, mungkin ada undang-undang yang telah dilanggari oleh sesiapa. Saya serah kepada pihak berkuasa,” katanya.

Rabu lalu, Zahrain yang juga bekas pengerusi PKR Pulau Pinang mendakwa Anwar yang `menjaja’ nama Tuanku Mizan Zainal Abidin kononnya Seri Paduka menunggu di Istana Negara untuk mengesahkan jumlah wakil rakyat Barisan Nasional yang melompat parti untuk menyertai pembangkang.

Zahrain juga mendakwa Anwar mengaitkan peranan anggota tentera.

Bekas Panglima ATM Tan Sri Abdul Aziz Zainal bagaimanapun menafikan dakwaan Anwar bahawa usahanya untuk menubuhkan kerajaan pada 16 Sept itu mendapat sokongan ATM.

Dalam pada itu Hishammuddin berkata Kementerian Dalam Negeri menyerahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menyiasat kenyataan Zahrain tentang usaha Anwar mengambil alih kerajaan pada 16 Sept 2008.

Hishammuddin berkata, tindakan sememangnya boleh diambil terhadap Anwar terutamanya kerana menghasut.

Selain kemungkinan siasatan di bawah Akta Hasutan, Anwar mungkin akan berhadapan dengan tindakan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen berhubung kenyataannya mendakwa APCO Worldwide, agensi perunding yang dilantik oleh kerajaan bagi menaikkan imej Malaysia merupakan pihak yang berada di belakang slogan 1Israel.

Menurut Anwar, agensi perunding itu dipimpin oleh bekas Duta Israel ke Amerika Syarikat.

Dakwa Anwar, APCO pada 1999 telah menjadi penasihat kepada Barak untuk mengadaptasi slogan 1 Israel.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails