Monday, March 22, 2010

Lagi kenyataan berbau perkauman oleh MP dari BN..

Kalaulah ada MP dari Pakatan Rakyat yang mengeluarkan kata-kata berbau perkauman sebegini rupa, pasti banyak laporan Polis yang dibuat keatas mereka..

Oleh G. Manimaran dan Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Di sebalik suasana hangat sepanjang sidang Parlimen Rabu lalu dengan ‘perang mulut’ di kalangan wakil rakyat, timbalan speaker dan ahli-ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan berbaur rasis tanpa mereka sedari.

Penyata rasmi diperoleh dari laman web Parlimen menunjukkan, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata orang Melayu pernah tinggal di kawasan hutan sebelum pelaksanan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Abdul Rahman pula direkodkan meminta Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan sama ada mahu kembali ke estet — kata-kata yang dilihat sebagai satu tanggapan perkauman.

Situasi ini berlaku ketika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang membahaskan titah ucapan diraja.

Tajuddin mencelah ucapan Anwar dengan mempersoalkan pendirian Ketua Umum Pakatan Rakyat itu terhadap dasar ekonomi pro-Melayu dan untuk menjelaskan bahawa ia sebenarnya telah berjaya mengubah taraf hidup orang.

“Mari kita berbincang berdasarkan kepada fakta. Okey bincang soal Dasar Ekonomi Baru, Yang Berhormat Permatang Pauh menafikan tentang kejayaan Dasar Ekonomi Baru.

“Yang Berhormat, berapa ramai orang yang telah berjaya dibandingkan dahulu dengan sekarang. Mungkin tidak semuanya kaya, takkan semuanya hendak jadi jutawan, ‘billion one’ tetapi kalau kita lihat keadaan ekonomi orang Melayu dibandingkan dahulu dengan sekarang ibarat bumi dengan langit. Ini kita boleh lihat sendiri, kenapa kita nafikan ini semua, kita tidak minta pun pujian, kita tidak minta kredit ‘but this is the reality of today’, Melayu tidak lagi duduk dalam hutan, duduk di atas pokok, duduk...,” katanya.

Ketika itu, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dari DAP pula bangun sambil berkata, “siapa cakap Melayu duduk dalam hutan? Umnolah.”

Tindakan itu memaksa Wan Junaidi meminta beliau agar duduk.

Gobalakrishnan pula cuba untuk menyertai suasana yang mula hangat itu tetapi mikrofonnya ditutup.

Ia disusuli dengan kenyataan Wan Junaidi, “Yang Berhormat Padang Serai kalau ada hendak balik estet, baliklah sekarang.”

Kenyataan Wan Junaidi diiringi tepukan beberapa wakil rakyat manakala Gobalakrishnan didengar berkata, “balik.”

Bagaimanapun tidak pasti sama ada ia merujuk “balik” atau “baik”.

Ketika Timbalan Speaker berkata sekiranya wakil-wakil rakyat meneruskan sikap macam itu Parlimen perlu diubah sebagai tempat budak-budak, Gobalakrishnan menambah, “mana ada orang Melayu duduk dalam hutan.”

Ketika dihubungi, Wan Junaidi mengesahkan kenyataan yang dibuat beliau tetapi menegaskan, tidak bermaksud mahu menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Ia sama seperti meminta orang Melayu supaya ‘balik kampung,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Wan Junaidi memberitahu kenyataan beliau itu tidak harus dilihat di luar konteks, sebaliknya harus dibaca bersama pertukaran kata-kata lisan semasa sidang.

Dalam pada itu, Gobalakrishnan pula memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau kecewa jika benar timbalan speaker mengeluarkan kenyataan itu.

Bagaimanapun beliau mengakui tidak dengar dengan jelas kenyataan Wan Junaidi dan oleh itu mahu meneliti pekrara itu hari ini sebelum menentukan tindakan susulan.

“Saya perlu meneliti penyata rasmi terlebih dahulu pada hari Isnin (hari ini) dan akan meminta kenyataan itu dikeluarkan jika benar timbalan speaker menggunakan kata-kata itu,” kata wakil rakyat penggal pertama itu dari Parti Keadilan Rakyat.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails