Thursday, March 18, 2010

Jangan jadi Munafik, Zulkifli Noordin...

Jangan jadi munafik ketika berkopiah dan bercakap berjela-jela tentang Islam. Sebagai seorang profesional, jangan saudara Zul merendahkan diri saudara setaraf Ibrahim Ali, hanya kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.


Zul Noordin, kita ikut konvensyen mana?

Oleh Zukri Aksah


Saya terbaca kenyataan Zulkifli Noordin, salah seorang Ahli Parlimen bebas, bahkan dia satu-satunya Ahli Parlimen bebas yang menjadi bebas kerana dipecat, bukan keluar parti! Dalam kenyataannya dia menasihati Anwar Ibrahim supaya berundur dari jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Alasannya mudah, parti yang diwakili Anwar, PKR (juga parti Zul Noordin sebelum ini) tidak lagi menjadi parti terbesar di kalangan parti-parti bukan dalam kerajaan di Dewan Rakyat.

Zul Noordin selaku pengamal undang-undang, cuba merasionalkan kenyataannya ini menggunakan hujah perlembagaan, hujah undang-undang. Dalam bahasa undang-undangnya dia menggunakan istilah konvensyen. Sefaham saya konvensyen yang disebutnya adalah konvensyen berperlembagaan (constitutional convention) kerajaan berparlimen gaya Westminster yang sepatutnya menjadi amalan negara kita sebagai bekas sebuah koloni British, dan juga sebagai salah sebuah negara anggota Komanwel.

Sesuai dengan Sidang Dewan Rakyat ke-12 penggal ketiga yang baru bermula dan dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung, moleklah rasanya saya berusaha mencerahkan sedikit pemikiran pembaca dengan isu berkaitan demokrasi berparlimen di negara kita ini.

Ketua Pembangkang Parlimen

Saya sedar tentang wujudnya konvensyen ini, iaitu mengikut kebiasaannya, jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen disandang oleh pemimpin dari parti terbesar dari kalangan parti-parti yang bukan dalam kerajaan. Tetapi saya amat-amat berharap supaya Zul Noordin tidak menyalahguna ilmu undang-undangnya untuk menyatakan sebahagian dari kebenaran, sedang pada masa yang sama menyorokkan pula sebahagian darinya. Janganlah biarkan kebencian politik saudara sampai memusnahkan terus intelektualiti yang kita ada.

Bukankah kenyataan tentang konvensyen dalam perlantikan Ketua Pembangkang itu ada sambungannya, bukan setakat itu sahaja? Bukankah berdasarkan konvensyen berperlembagaan kerajaan berparlimen mengikut gaya Westminster ini juga, Ketua Pembangkang selalunya adalah pemimpin yang dilihat sebagai Perdana Menteri alternatif kepada pemegang jawatan sedia-ada, sebagai ketua kepada kerajaan alternatif yang dikenal sebagai kabinet bayangan? Saudara sendiri semasa dalam PKR pernah mendokong citra Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya, bukan? Apakah saudara merasa Haji Hadi atau Lim Kit Siang boleh menggantikan tempatnya?

Kalaupun Zul Noordin merasa boleh, jika kalangan pimpinan PAS dan DAP masih menerima ketokohan Anwar sebagai Perdana Menteri alternatif, sebagai ketua kepada kerajaan alternatif yang dinamakan sebagai kabinet bayangan itu, maka mereka pun mengikut konvensyen.

Masalahnya, selaku pengamal undang-undang, ada soalan yang Zul Noordin perlu jawab, sebenarnya konvensyen mana yang kita ikut? Sebab konvensyen yang disebutnya ini tidak pula diikuti bila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan dalam kes MB lawan MB, Nizar Jamaluddin lawan Zambry Kadir.

Kes MB kembar Perak

Mengikut konvensyen berperlembagaan kerajaan berparlimen gaya Westminster, usul undi tidak percaya hanya boleh berlaku di dalam Dewan, tidak boleh di mana-mana tempat lain, wa’ima di dalam istana sekalipun. Hakim yang membaca teks penghakiman dalam kes MB lawan MB ini ternyata melanggar konvensyen bila mana mengesahkan kedudukan Zambry dengan alasan bahawa tiada peruntukan usul undi tidak percaya dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Memang ia tiada kerana ia berdasarkan konvensyen (kebiasaan)!

Hakim ketika itu membuat keputusan dengan mengenepikan konvensyen berperlembagaan kerajaan berparlimen gaya Westminster, tetapi mengikut perlembagaan negara-negara seperti Jerman dan Sepanyol. Mengapa Zul Noordin waktu itu tidak pula sibuk-sibuk mahu mencari populariti, menggunakan latar belakang undang-undangnya bercakap tentang konvensyen? Jangan jadi munafik ketika berkopiah dan bercakap berjela-jela tentang Islam. Sebagai seorang profesional, jangan saudara Zul merendahkan diri saudara setaraf Ibrahim Ali, hanya kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

Saya tidak mengatakan Zul Noordin salah, tetapi saya mengatakannya tidak berapa betul. Tambah lagi, berdasarkan kata-kata dan tindakannya sebelum dia dipecat dari PKR, Zul Noordin juga ternyata seorang yang tidak mengikut konvensyen (kebiasaan). Bagaimana pandangan seorang yang ternyata melanggar konvensyen (kebiasaan) boleh menjadi kredibel bila bercakap tentang konvensyen (kebiasaan)?

Lembaga Disiplin Parti

Kepada Zul Noordin, ingin saya mengingatkan bahawa bukanlah satu konvensyen (kebiasaan) untuk seorang ahli parti (ketika saudara masih menjadi ahli PKR) untuk bertindak tidak mengiktiraf Majlis Pimpinan Parti sendiri bila saudara mempertikaikan pilihan Majlis Pimpinan Parti saudara dalam melantik anggota lembaga disiplin parti yang membicarakan kes saudara, seterusnya tidak mengiktiraf pula lembaga disiplin yang dilantik itu. Bukanlah juga satu konvensyen (kebiasaan) mana-mana parti politik sekalipun, ahli yang dihadapkan ke lembaga disiplin pula yang punya kuasa untuk memilih keanggotaan lembaga disiplin tersebut. Konvensyen mana yang saudara pakai?

Ingatan saya lagi buat Zul Noordin, jangan salah langkah dalam usaha saudara untuk memotretkan diri saudara sebagai pejuang Islam di khalayak politik Malaysia. Saudara mahu menjadi hero Islam di negara ini dengan bersuara lantang menentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Adalah satu konvensyen (kebiasaan) juga, Islam di era Nabi Muhammad s.a.w, orang bukan Islam dibenar untuk menggunakan kalimah Allah. Habis, saudara mahu menjadi hero Islam menggunakan konvensyen Islam yang mana? Konvensyen Islam Nabi Muhammad s.a.w atau konvensyen Islam Umno?

Saya menulis tentang ini bukan kerana saya ahli PKR, bukan kerana saya memuja Anwar, kerana saya bukan kedua-duanya! Zul Noordin pun tahu tentang ini. Jika mahu bercakap tentang demokrasi, seseorang itu mestilah dilihat hidup berlandaskan demokrasi, jika mahu bercakap tentang iman, seseorang itu mestilah hidup didasari iman. Lalu, jika mahu bercakap soal konvensyen (kebiasaan), maka kita mestilah pula dilihat sebagai orang yang sentiasa patuh dan akur kepada konvensyen (kebiasaan). Zul Noordin patuh kepada konvensyen mana? Konvensyen berperlembagaan, konvensyen Islam, konvensyen Pakatan, atau konvensyen Barisan, atau bukan kesemuanya? Atau bercelaru sampai gagal ditentukan?

Mentang-mentanglah Zul Noordin sekarang ini sudah menjadi Ahli Parlimen bebas, katanya akan wujud blok bebas di Parlimen sebagai kuasa ketiga dan konon khabarnya akan diketuai oleh Ibrahim Ali, maka Zul Noordin si peguam pun turut sama terheret menjadi seperti Ibrahim Ali? Bodoh tidak boleh diajar, cerdik tidak boleh ditegur…


*Zukri Aksah ialah bekas aktivis keADILan (PKN - PKR), pernah terpilih sebagai Exco AMK selama dua penggal. Beliau meninggalkan PKR pada tahun 2007, kini sebagai kolumnis Harakahdaily.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails