Friday, March 5, 2010

Jais arah henti keluar sijil halal kepada peniaga Selangor

Katanya Jais tidak pernah memberikan kebenaran dan mengiktiraf syarikat berkenaan yang mengeluarkan sijil logo halal.. tapi kenapa syarikat itu boleh beroperasi?

Hairan ni...


SHAH ALAM, 5 Mac — Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini mengarahkan enam syarikat yang terbabit mengeluarkan sijil dan logo halal supaya tidak lagi mengeluarkan sijil berkenaan kepada peniaga dan pemilik premis makanan di Selangor.

Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata enam syarikat berkenaan ialah Bahtera Lagenda Sdn Bhd, Islamic Food and Research Council, SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council SEA dan IFANCA International.

Beliau berkata Jais sebelum ini tidak pernah memberikan kebenaran dan mengiktiraf syarikat berkenaan yang mengeluarkan sijil logo halal kepada beberapa premis makanan di negeri itu terutamanya di kedai kopi dan medan selera.

Mohammed Khusrin berkata syarikat terbabit juga didapati tidak melakukan pemantauan selepas mengeluarkan sijil logo halal kepada pemohon seperti yang dilakukan oleh Jais dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Berkuat kuasa hari ini hanya sijil logo halal yang dikeluarkan Jais dan Jakim sahaja yang diiktiraf untuk diguna pakai di semua premis makanan di Selangor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya syarikat terbabit diarahkan untuk tidak menerima sebarang permohonan sijil halal dari mana-mana pihak berkuat kuasa serta merta kerana sijil logo halal yang dikeluarkan adalah diragui terutama membabitkan syarat pengeluaran dan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan.

Beliau berkata tempoh tiga bulan diberikan kepada syarikat berkenaan supaya menyelesaikan segala urusan membabitkan pemprosesan sijil logo halal yang telah diterima sebelum ini.

“Kepada mereka yang belum memiliki sijil logo halal atau mahu memperbaharui diingatkan supaya hanya melakukannya melalui Jais dan Jakim,” katanya.

Mohammed Khusrin berkata mereka yang masih engkar dengan arahan Jais boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 (b) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Antara syarat bagi mendapatkan sijil dan logo halal dari Jais dan Jakim ialah memastikan bekalan bahan mentah kering atau basah menggunakan sijil logo halal yang sah dan menggunakan khidmat sekurang-kurangnya dua tukang masak Muslim.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails