Monday, March 15, 2010

Hishammuddin sahkan Ketua Polis Negara baru Sept ini

Kelmarin dia menafikan laporan akhbar China Press bahawa Tan Sri Musa Hassan akan melepaskan jawatan Ketua Polis Negara (KPN), Hari ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan akan berlaku rombakan peringkat tertinggi pasukan polis.


Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 15 Mac - Pengganti Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara akan dilantik apabila kontrak beliau berakhir September ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan memberikan butiran lanjut berhubung pengganti Musa yang kontraknya telah disambung selama setahun pada September lalu.

Oleh itu kata Hishammuddin, proses peralihan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dilakukan dan ia akan diumumkan kemudian.

“Saya sudah tahu siapa yang akan menggantikan Ketua Polis Negara, saya sudah tahu siapa yang akan mengetuai jawatan pengarah bahagian jenayah komersial.

“Saya sudah tahu siapa yang akan mengambil alih. Jadi tidak perlu kita membuat spekulasi dan membuat laporan tanpa asas,” kata beliau di bangunan Parlimen hari ini.

Sabtu lalu Hishammuddin dan Musa menafikan satu laporan dibawa oleh China Press bahawa Ketua Polis Negara telah mengemukakan surat letak jawatan.

Tempoh khidmat Musa sebagai Ketua Polis Negara akan berakhir September ini.

Laporan itu muncul sehari selepas Pesuruhjaya Polis Datuk Ramli Yusoff dibebaskan daripada tiga tuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider yang disiarkan hari ini Ramli orang ketiga paling kanan sehingga beliau digantung daripada jawatannya sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial berkata, beliau akan melapor diri dalam waktu terdekat.

Hishammuddin menjelaskan proses rombakan dalam PDRM tidak hanya melibatkan Ketua Polis Negara tetapi beberapa pegawai kanan dalam pasukan itu.

“Dalam perkara ini, ia tidak hanya melibatkan Ketua Polis Negara tetapi empat pengarah lain daripada tujuh bahagian dalam PDRM yang akan bersara tahun ini.

“Sebenarnya seorang pengarah sudah pun mula bercuti, tiga atau enam bulan sebelum meninggalkan perkhidmatan,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails