Friday, March 26, 2010

Dr Zainal: Pejuang Parti Yang Sukar Dicari Ganti

HULU LANGAT 25 Mac - Pimpinan KEADILAN merasakan kehilangan besar kepada perjuangan parti dengan pemergian Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia akibat barah otak malam tadi.

Pernah memegang jawatan empuk sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor ketika bersama Umno satu ketika dahulu, Dr Zainal mengambil keputusan mengharungi perjuangan KEADILAN bersama pemimpin lain tatkala KEADILAN hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim merasakan kehilangan besar bagi diri beliau yang pernah berjuang bersama-sama Dr Zainal.

"Allahyarham Dr Zainal adalah rakan seperjuangan kami walaupun beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Besar tetapi mengambil keputusan menyertai kami dalam keadaan parti yang tidak begitu memberangsangkan.

"Beliau sanggup mengambil risiko bersama kami dan akhirnya beliau mewakili rakyat Hulu Selangor sebagai Ahli Parlimen. Kami sangat bersedih kerana kehilangan seorang rakan, seorang akademia dan seorang yang sanggup berjuang dengan kami.

"Beliau menyertai kita semasa kita belum lagi dalam keadaan yang baik iaitu ketika PKR sebagai parti yang mempunyai kerusi yang terendah iaitu sebanyak satu kerusi tetapi beliau sanggup bersama-sama dengan kita," kata Khalid ketika ditemui media selepas menziarahi jenazah Allahyarham di rumah beliau di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Hulu Langat malam tadi.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor Syed Shahir Syed Mohamud berkata kehilangan Dr Zainal adalah signifikan bagi parti kerana beliau dianggap antara pemimpin Umno yang terawal mengambil pendirian menyokong KEADILAN.

"Allahyarham Dr Zainal adalah antara pemimpin awal daripada Umno yang mengambil sikap yang tegas iaitu beliau menyertai PKR lama sebelum beliau bertanding pada 2008.

"Pada saya ini satu pendirian yang baik dikalangan pemimpin yang mahu melihat sesuatu perubahan yang berlaku dinegara kita. Ini satu kehilangan yang sukar diganti dan kita menerimanya sebagai kehendak Allah SWT," kata Syed Shahir.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Elizabeth Wong pula menyifatkan Dr Zainal sebagai insan yang baik hati sepanjang hayat beliau.

"Walaupun beliau sakit sejak beberapa bulan kebelakangan ini beliau tetap menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Ahli Parlimen. Saya berasa sedih dan terkejut apabila mendengar berita pemergian beliau. Kita masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan beliau telah meninggalkan kita," ujar Elizabeth.

Setiausaha KEADILAN Selangor, Hamidi Hassan menyanjung Dr Zainal yang banyak menyumbang pendapat dan pandangan bagi mengukuhkan kedudukan parti peringkat negeri.

"Dr Zainal menyertai PKR pada tahun 2005 dan kami ketika itu mengalu-alukan penyertaan beliau kerana pengalaman luas beliau. Pengalaman lama beliau beliau dalam politik Selangor banyak membantu kita dan beliau pernah menjadi Pengerusi PKR Selangor satu ketika sebelum diambil alih oleh Tan Sri Khalid.

"Beliau banyak memberi pandangan dan pendapat untuk kebaikan parti. Beliau juga memimpin Cabang Hulu Langat dan ia berjalan dengan lancar sehinggalah beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen," kata Hamidi.

Ditanya persediaan KEADILAN Selangor menghadapi pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi Hulu Selangor, beliau berkata parti telah membuat persediaan sejak awal apabila mengetahui Dr Zainal mengalami sakit yang serius.

"Parti memang ada buat persediaan sebab kita akur telah lama sakit. Persediaan untuk jentera pilihan raya memang telah kami sediakan dan insyaAllah kita akan terus pertahankan kerusi kita di Hulu Selangor. Calon kita serahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk putuskan dan segala persiapan akan kita gerakkan dengan lebih lancar ini untuk memastikan kerusi itu terus berada ditangan kita," jelas beliau lagi.


Suara-Keadilan.com

AL FATIHAH! Buat Allahyarham...

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails