Tuesday, March 23, 2010

Biar Mereka berpaling tadah, jangan risau...

Kita tidak perlu bimbang dengan mereka yang berpaling tadah dan saya fikir ia lebih baik bagi parti.

Oleh Zainal Abidin Nor

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tidak perlu risau dengan ahli-ahli yang berpaling tadah dan bertindak keluar parti kerana rentetan peristiwa ini akan memperkukuhkan lagi parti dan gagasan Pakatan Rakyat (PR).

"Saya percaya KEADILAN akan menjadi lebih mantap dengan pemergian mereka ini," kata Penyelaras PR Zaid Ibrahim dalam satu temubual di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada bekas ahli parlimen KEADILAN seperti Zahrain Mohamad Hashim, Tan Tee Beng, Mohsin Fazli dan Zulkifli Noordin yang kini menjadi wakil bebas di parlimen.

Zaid yang juga bekas menteri undang-undang berkata, "kita tidak perlu bimbang dengan mereka yang berpaling tadah dan saya fikir ia lebih baik bagi parti."

Ditanya sama ada beliau percaya beberapa lagi ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri dari parti KEADILAN akan meninggalkan parti seperti mana dakwaan sesetengah pihak beliau berkata, "Sepanjang yang saya tahu, setakat ini tidak ada. Isu ini sengaja dimainkan oleh Umno-Barisan Nasional (BN) bagi mengucar-kacirkan Pakatan," terang beliau.

Mengenai serangan peribadi terhadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim di parlimen baru-baru ini, beliau menjelaskan, "memang ini dirancang oleh mereka untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Kesungguhan media arus perdana yang pro-Umno-BN ini memainkan isu yang sama setiap hari menunjukkan mereka cuba mengalih perhatian rakyat dari isu-isu yang lebih kritikal.

Menurut beliau, kerajaan Umno-BN pimpinan Perdana Menteri Najib Razak ini tidak akan dapat bertahan lama dan akan tumbang pada pilihan raya yang akan datang.

"Saya yakin BN akan tumbang pada pilihan raya akan datang kerana rakyat sedar dan tahu tentang perangai buruk mereka, amalan rasuah yang parah dan pembohongan para pemimpinnya," ujar beliau.

Zaid berkata, dalam isu royalti minyak yang dituntut oleh kerajaan negeri Kelantan misalnya, mereka berbohong kepada rakyat mengenai tiga batu nautikal sedangkan ianya tidak disebut dalam perjanjian di antara Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri.

Katanya, "mereka menggunakan wang Petronas untuk membina Putrajaya, menyelamatkan projek-projek kroni dan banyak lagi bentuk penyelewengan yang mereka lakukan.

"Berapa banyak wang Petronas yang mereka ambil dan salah gunakan, kita pun tidak tahu kerana tidak ada sistem perakaunan yang sempurna dan tidak telus," tambah beliau.

Baru-baru ini katanya, bekas perdana menteri Mahathir (Mohamad) mendakwa penggantinya Abdullah (Ahmad Badawi) telah menggunakan lebih RM250 juta wang Petronas untuk tujuan-tujuan tertentu, lebih banyak dari masa pentadbirannya (Mahathir).

"Semasa pentadbiran Mahathir sendiri berlakunya ketirisan dalam pengurusan kewangan yang melibatkan berbilion ringgit dan kita tidak tahu secara pasti berapakah jumlah sebenar yang terlibat," katanya.

Menurut beliau, ekonomi kita akan terus merundum jika mereka ini terus memerintah negara ini kerana ekonomi kita tidak lagi berdaya saing, pengaliran modal keluar lebih banyak dari aliran modal yang masuk ke negara ini.

Penglibatan sektor swasta semakin kurang untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan para pelabur serta usahawan tempatan lebih suka melabur di luar negara kerana hasil pulangan dan keuntungan yang lebih tinggi.

"Para pekerja kita tidak mahir, kurang produktiviti, tidak berinovatif, tidak kreatif dan tidak memberi nilai tambah dalam pekerjaan mereka," tambahnya.


FreeMalaysiaToday

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails