Wednesday, March 17, 2010

Biar Malik jawab isu idam jawatan TKM1 - Mansor

GEORGETOWN - “Itu antara dia (Mohamad Fairus) dengan Abdul Malik. Saya tak mahu masuk campur,” kata Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman ketika ditanya mengenai perang mulut antara bekas penjawat jawatan berkenaan, Mohamad Fairus Khairuddin dengan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Abul Kassim.

Mohamad Fairus dalam satu kenyataan baru-baru ini mendakwa, Abdul Malik mengidamkan jawatan TKM1 yang kini disandang Mansor selepas beliau meletwak jawatan.

Mansor yang kelihatan kurang selesa ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, beliau tidak perlu memberi apa-apa komen kerana kenyataan Mohamad Fairus yang ditujukan kepada Abdul Malik tidak ada kena mengena dengan dirinya.

“Dia tujukan kenyataan itu kepada Abdul Malik, jadi saya tidak rasa saya patut memberi komen. Suatu hari nanti, giliran saya pula diserang sepertiyang terjadi kepada Abdul Malik,” katanya.

Sehubungan itu, kata Mansor, lebih baik Abdul Malik sendiri yang menjawab tuduhan Mohamad Fairus.

Mansor berkata, dua hari lalu, beliau ada terserempak dengan Mohamad Fairus dalam satu majlis di Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya nampak dia saja tapi kedudukan kami agak jauh, jadi kami tidak berpeluang bertegur,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Koperasi di sini, semalam.

Mansor sebelum itu mengumumkan, MMK Koperasi akan menganjurkan Karnival Koperasi Negeri Pulau Pinang 2010 selama dua hari mulai 27 Mac ini di Tapak Ekspo Seberang Jaya.

“Penganjuran karnival koperasi kali pertama ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk memajukan gerakan koperasi khususnya memberi galakan dan menyediakan platform perniagaan kepada mereka.

“Ia dapat meningkatkan hasil jualan dan kontrak tempahan bagi produk serta perkhidmatan koperasi selain mewujudkan jalinan perniagaan strategik dan persaingan sihat dalam kalangan koperasi, agensi dan jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelanggan,” katanya.

Karnival itu akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Abdul Rahman Abbas pada jam 3 petang 27 Mac.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails