Tuesday, March 16, 2010

Anwar Tarik Rayuan Gugurkan Hakim, Mahu Terus Soalbalas Saiful

Oleh Dzulkarnain Taib

KUALA LUMPUR 16 Mac - Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menarik balik rayuan permohonan menggugurkan hakim dalam perbicaraan fitnah terhadap beliau.

Ketua Peguambela, Karpal Singh berkata penarikan tersebut adalah kerana Anwar tidak mahu melengahkan lagi perbicaraan dan mahu meneruskan prosiding mahkamah secepat mungkin.

"Kita telah mengkaji kedudukan perbicaraan dalam konteks rayuan menggugurkan Hakim Mohamad Zabidin dan kami telah memutuskan untuk menarik balik permohonan ini dan menyegerakan perbicaraan tanpa apa-ap penangguhan lagi.

"Kita telah menghantar Notis Penarikan kepada Mahkamah Rayuan pagi tadi," kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

Anwar yang berada pada sidang media yang diadakan di Pejabat Ketua Pembangkang berkata pasukan peguamnya mahu menghantar mesej yang jelas kepada pihak mahkamah bahawa beliau mahu menyegerakan perbicaraan dan soalbalas terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Saya ingin nyatakan bahawa media arus perdana tidak pernah melaporkan bahawa pihak pendakwa sehingga kini gagal menyerahkan dokumen dan bahan bukti yang telah kami pohon sejak sebelum mula perbicaraan," kata Ketua Pembangkang itu.

Sehubungan itu Karpal menambah tindakan menarik balik rayuan menggugurkan hakim membuktikan bukan Anwar yang cuba melengah-lengah perbicaraan tetapi sebaliknya.

Beliau juga berkata apabila perbicaraan bersambung pada 25 Mac kelak mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan bagi tujuan soalbalas Mohd Saiful.

"Kami telah tarik balik rayuan, hakim tidak ada pilihan selain meneruskan perbicaraan sebagaimana Peraturan 73 Mahkamah Rayuan.

Pada 18 lalu giliran pihak peguambela Anwar menyoalbalas Mohd Saiful tetapi perbalahan timbul apabila Anwar diminta mengemukakan rayuan terhadap keputusan hakim tidak mahu menarik diri dari membicarakan kes tersebut.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Mac sebagai tarikh sebutan kes sementara menunggu keputusan rayuan Anwar kepada Mahkamah Rayuan terhadap penolakan permohonan Anwar oleh Mahkamah Tinggi untuk hakim perbicaraan menarik diri daripada mendengar kes itu.


Suara-Keadilan.com

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails